Saturday, November 3, 2018

Jauh

Jauh. Itulah yang bermain difikiran sewaktu ingin pergi ke Kelantan untuk menghadiri majlis kenduri perkahwinan iparku. Kenapa di cari pasangan yang tinggal terlalu jauh. Bukankah nanti sukar untuk balik kampung dan sebagainya? Pasti masa, tenaga dan harta akan banyak dihabiskan untuk tujuan itu.

Aku kadang-kadang tidak mengerti akan perangai manusia ini. Suka mengambil jalan yang susah walhal banyak lagi jalan lain yang terbentang luas. Namun begitu aku akur bahawasanya aku juga tergolong dalam golongan ini. Golongan yang degil ini. Itulah yang dinamakan penangan perasaan yang membuat aku dan juga adik ipar aku mengambil keputusan untuk menyunting bunga yang jauh dari kampung halaman. itulah yang dinamakan keinginan untuk menyemai kasih dan sayang bersama insan tersayang sehingga membuatkan kami tekad untuk menghadapi cabaran-cabaran hidup yang mendatang.




 Semoga keputusan ini mendapat berkat dariNya dan iparku dapat mengatur hidupnya dengan sebaik-baiknya. Semoga penyatuan dua jiwa ini membawa kebaikan dan kebahagian untuk kedua-dua buah keluarga. Amiiinnn...

Doaku Untuknya

Alhamdulillah si gadis kecil ini akhirnya berjaya menemukan pasangan hidupnya. Jalan ceritanya tidaklah serumit drama cinta tv tiga namun ianya tetap akan meninggalkan kenangan yang akan menghasilkan senyuman apabila dikenang.





Sangat sukar untuk ayah melepaskan anak gadisnya, bimbang-bimbang anak gadisnya tidak dihargai sepenuhnya oleh sang suami. Begitu jauh bezanya penerimaan ayah sewaktu aku melafazkan keinginan aku untuk berkahwin berbanding adik aku. Ayah seakan-akan terlalu over-protective. Itulah sikap ayah apabila anak-anaknya berhadapan dunia luar. Naluri seorang ayah yang sentiasa cuba untuk melindungi anak-anaknya semampu mungkin. Semoga kami sekeluarga bersyukur dan redha dengan ayah, kurniaan tuhan yang satu ini atas segala kekurangan dan kelebihan yang dimilikinya. 

Aku berharap kak banyak bersabar dalam melayari rumah tangganya. Aku yakin dan pasti dia akan berhadapan banyak ujian terutama dengan keadaan kerja yang menghakis tenaga fizikal dan mentalnya. Namun itulah ujian hidup yang bukan hanya kak, tapi semua wanita bekerjaya hadapinya. Aku bersyukur kak menemukan seorang insan yang pada pandangan pertama aku kena dengan apa yang dimahukan oleh kak. Semoga mereka berdua sekufu dan mempunyai fikrah yang sama dalam mengemudi bahtera hidup ini agar ianya belayar lurus dan terus ke syurga.

Semoga segala persamaan dan perbezaan antara dua keluarga ini akan membawa rahmat dalam kami mengenal dan mempelajari erti hidup ini. Amiiinnn

Hatcheri

        Dari sebuah kehidupan di ladang ternakan ayam, kini aku beralih ke pusat penetasan ayam oleh sebab perancangan pihak pengurusan yang sentiasa berubah. Sudah setahun pertukaran tempat kerja ini terjadi dan sudah setahun juga aku cuba untuk mendidik dan memupuk minat terhadap suasana baru ini. Bagiku suasana di tempat baru ini kurang mencabar dan agak membosankan berbanding di tempat lama aku.

        Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa banyak juga ilmu baru yang telah aku pelajari disini. Aku mendisiplinkan masa, mengatur kerja dan juga menggilapkan lagi skil menguruskan manusia. aku juga dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru, berhadapan dengan karenah dan telatah akak-akak, mak cik- mak cik dan juga abang-abang. Dan satu perkara yang aku pasti, semua tempat kerja mempunyai politik yang tersendiri. Terpulang kepada ketua di tempat masing-masing untuk menguruskannya. Disini juga sedikit sebanyak aku cuba untuk belajar bahasa Hindi.

Aku tidak tahu berapa lama lagi aku dapat bertahan disini. Mereka inilah antara penguat hati untuk aku terus berkhidmat disini.





 Andai ruang dan peluang terbuka untukku, pasti aku akan berkelana ke tempat baru bagi mengkayakan lagi ilmu dan pengalamanku dan juga sebagai perancangan untuk aku sebumbung dengan buah hatiku. InsyaAllah... 


#sungguh aku kaku dan beku untuk berbicara setelah lama tidak mencoretkan rasa di ruang ini. 

Wednesday, October 24, 2018

Kisah Rokiah

Rokiah menyepak-nyepak helaian daun yang berguguran dihadapan rumahnya itu. Dedaun jambu air yang berwarna kekuningan itu dikumpul-kumpul dengan kakinya disuatu sudut. Akan dibakar apabila betul-betul kering nanti kelak. Jambu-jambu yang sudah masak dan lembik bertaburan disekeliling pokok jambu itu. Rokiah memandang sepi pada jambu-jambu yang sudah buruk dan dihurungi lalat dan juga beberapa spesis serangga yang Rokiah sendiri tidak pasti jenisnya. Rokiah mendongak dan melihat masih banyak buah jambu yang berada di atas pokok. Ada yang baru kemerah-merahan dan ada juga yang sudah merah menyala menanti untuk dipetik dan dimakan. Namun ada juga yang masih putik yang sedang gugur rambu-rambu bunga jambunya.



Rokiah termenung seketika melihat melihat kepelikan jambu ini.
"Mengapa tidak sekali terus masaknya. Terlalu jauh beza. Berada pada pokok yang sama, suasana yang sama. Ah pendek kata semuanya sama," getus hati Rokiah.

Sama juga dengan manusia. Setiap orang pasti akan melalui detik masa yang berbeza. Setiap orang pasti akan mempunyai tingkat pembelajaran dan pengalaman yang berbeza-beza.

Ada yang fizikalnya matang dahulu, ada yang fizikalnya matang kemudian.
Ada yang belajar dahulu, ada yang belajar kemudian.
Ada yang bekerja dahulu, ada yang bekerja kemudian.
Ada yang berkahwin dahulu, ada yang berkahwin kemudian.

Kahwin. Ya kahwin. Persoalan ini sangat memberatkan benak otak Rokiah. Manakan tidak. Usianya yang sudah mahu menginjak 30 an tapi masih solo. Rokiah yang masih tidak mempunyai pasangan hati ini sentiasa perlu berwaspada dengan asakan bertalu-talu pertanyaan berbisa rakan-rakan dan juga saudara-mara. Hati Rokiah memberontak setiap kali mendapat undangan perkahwinan daripada saudara-mara dan juga rakan taulan.

"Kenapa mesti dia, kenapa bukan aku dahulu?' itulah persoalan yag selalu bermain di fikiran Rokiah.

Acap kali Rokiah mengeluh apabila mengenangkan situasi dia berada sekarang. Mana mungkin untuk dia berkenal-kenalan dengan sang lelaki jika seluruh hidupnya banyak dihabiskan di reban ayam.

Rokiah seorang usahawan dibidang ternakan. Permulaan dia menceburi bidang ternakan dulu, bukan sedikit yang mencemuhnya. Ada-ada saja komen yang tidak sedap didengar datang dari kawan-kawan, saudara-mara dan juga keluarganya sendiri. Namun dia nekad untuk meneruskan usahanya. Dan sekarang hasilnya dia berjaya menambah ternakan ayamnya dari 25k kepada 100k. Usahanya kini membuka mata banyak pihak. Banyak pihak yang memuji dan keluarganya sendiri tumpang bangga dengan kejayaannya.

Namun begitu, dia telah menjadi seperti katak di bawah tempurung, hidupnya hanya di reban ayam yang jauh terperuk didalam ladang kelapa sawit. Kerana itulah hatinya masih sepi tanpa penghuni. Rokiah mengurut-ngurut kepalanya. Pening bukan kepalang lagi rasanya apabila memikirkan perkara ini. Sejak kebelakangan ini Rokiah perasan dia mula mudah lembut hati dan banyak melunakkan suara dengan pekerja-pekerja lelakinya. Dulu tidak begitu. Adakah mainan perasaan serta hormon badan yang memungkinkan untuk dia berperangai sebegitu?

Ah, Rokiah buntu. Dia menyepak jauh sebiji jambu busuk berhampiran kakinya lalu melabuhkan punggung gebunya di pangkin dihadapan rumahnya. Dia menyandarkan badannya pada sandaran kayu pada pangkin tersebut lalu perlahan-lahan menarik nafas panjang. Dia menahan nafas seketika sebelum menghela nafas sekali dengan satu keluhan panjang.

Dia memejamkan mata sambil memikirkan situasinya sekarang. Dia terbayangkan pekerja-pekerjanya. Ada yang hensem, ada yang cerah, ada yang gelap dan ada juga yang pandai bermain kata, mengambil berat akan dirinya persis sang suami melayani seorang isteri. Rokiah mengerti dia sekarang tiada pilihan calon suami. Hanya pekerja-pekerjanya sahaja didepan mata. Sudah pasti apa yang ada depan mata menjadi pilihan. Apabila sudah tiada pilihan, yang biasa-biasa pun jadi intan permata. Ibarat jambu yang bertaburan itu juga. Bila sudah banyak macam tu, dibiarkan saja membusuk tapi jika hanya beberapa biji di atas pokok itu, pasti saban hari diintai dan dinanti

Rokiah tergelak seorang diri sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Apa bodohnyalah aku ni. Terfikir yang bukan-bukan," jadi betul baru tahu.

Rokiah bermonolog seorang diri. Rokiah mengakui dia seorang perempuan yang lemah. Terlalu mudah dipujuk rayu, terlalu mudah tewas pada permainan seorang lelaki.

Razi. Itulah nama jejaka seberang yang pernah menakluk jiwa dan raganya. Razi merupakan pekerja Rokiah yang paling rapat. Dia banyak membantu Rokiah, menolongnya menguruskan ladang ternakannya. Pada hemat Rokiah, Razi sangat baik. Kata-katanya sangat menghiburkan hati. Falsafah hidup yang diceritakan sangat menarik minat Rokiah. Kata-kata Razi semuanya dirasakan betul.

Lantaran itu Rokiah mula bercinta dengan Razi.  Rokiah tidak tahu mengapa. Walaupun Razi sudah beristeri, Rokiah tetap tertarik dengannya. Dan sudah pasti hati dan perasan yang sudah kelabu ini mengatakan Razi seorang yang sangat baik. Rokiah tidak pernah terfikir akan hinanya seorang suami yang merantau mencari rezeki untuk anak isteri cuba bermain cinta dengan gadis lain. Rokiah juga tidak pernah terfikir akan hinanya seorang gadis yang cuba menagih cinta seorang suami yang merantau demi masa depan anak dan isterinya.

Rokiah menggelengkan kepala sambil mengenangkan kebodohannya. Modal Razi hanyalah cinta, hati dan perasaan yang kononnya tidak mampu ditahan. Rokiah juga hampir terlanjur dengan Razi. Mujurlah hanya ciuman yang sempat singgah di bibir mulusnya sebelum dia sendiri yang menolak ajakan Razi. Sungguh berbeza Razi yang sebelum ini dirasakannya sangat baik sanggup mengajak dia melakukan perbuatan terkutuk itu.  Sungguh tuhan pemilik alam ini masih sayang padanya. Sungguh tuhan tidak mahu Rokiah hanyut dibuai perasaan dan nafsu yang tak berkesudahan.

"Wahai diri, akal masih ada. Kenapa engkau tidak mahu berfikir," kata hati Rokiah.

Razi dan Rokiah berpisah apabila Rokiah berpindah ke tapak ladang lain manakala Razi mengikut kata hatinya berkelana ke tempat lain. Tiada langsung usaha untuk Razi mencari tempat kerja yang dekat dengan Rokiah. Rokiah hampa.

Sudah perangai manusia, jika tekanan hidup menguasai diri, keputusan yang diambil juga pasti tidak akan selari dengan prinsip diri yang sebelum ini kononnya baik dan dihormati. Ianya terjadi kepada ramai manusia dan hanya yang benar-benar teguh akan kekal dengan falsafah hidup yang dicanang selama ini.

Rokiah bangkit dari pangkin apabila sinar merah sang mentari yang sudah hampir tenggelam diufuk barat menerjah matanya. Dia berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam rumah untuk bersiap menunaikan solat maghrib pula.

Rokiah sudah serik. Rokiah sudah benci dengan diri sendiri yang sangat mudah terawang-awangan apabila dipuji. Namun itu kisah dulu. Kini Rokiah sudah mengambil pengajaran. Bagi Rokiah sekarang pekerja adalah pekerja, buat silap akan ditegur di marah. Tiada lagi gurauan antara mereka.

 
Rokiah tidak mahu pisang berbuah dua kali. Rokiah tidak mahu diakhir nanti, sang lelaki hanya mengucapkan maaf dan berlalu pergi tanpa sedikit pun mengambil tahu akan perasaan hati yang sudah berharap dan menanti.

Dan jika ada pun yang berbasa-basi mengatakan bahawa diri Rokiah disayangi, merasa sangat kesal kerana tidak dapat menjaga perasaan hati Rokiah, namun hakikatnya sang lelaki tetap berlalu pergi, meninggalkan Rokiah terkapai-kapai seorang diri.

Apatah lagi warga seberang, pasti risikonya lagi tinggi. Sudah terlalu ramai yang tertipu dengan penampilan malaikat sang lelaki. Sanggupkah Rokiah menaifkan diri, menyanggupi diri untuk menghadapi risiko yang pasti kesannya akan diingat sampai mati?

Rokiah perlu bijak membuat pilihan. Rokiah tidak boleh terlalu mengikut kata hati, mengikut perasaan. Rokiah tidak boleh terpengaruh kisah cinta cerita sakti dongeng khayalan. Rokiah tidak  boleh buta mata apabila frasa kuasa cinta mengatasi segalanya mengelabui jiwa.

Usai solat maghrib, Rokiah mengangkat tangan menadah doa agar tuhan mengampuninya. Agar tuhan mengurniakan yang terbaik untuk hidupnya. Amiiinn....