Monday, November 28, 2016

Untuk awak


Awak..

Sedari zaman menuntut ilmu lagi diri ini sudah mengintai-ngintai akan kelibat awak. Saya tidak dapat nafikan sebuah keinginan dan perasaan yang semakin lama semakin menebal membalut hati saya. Namun saya cekalkan juga hati untuk menekan perasaan ini agar ianya tidak menguasai jiwa dan raga saya. Saya cuba untuk menganggap ini hanyalah sebuah mainan perasaan yang cuba untuk mengelabui akal fikir saya. Alhamdulillah, tuhan berkenan untuk mengurniakan kekuatan kepada saya agar memendamkan rasa ini. Sepanjang lebih 3 tahun saya berperang dengan diri ini agar tidak meluahkan rasa yang mungkin mengganggu gugat jiwa awak.


Awak..

Masihkah awak ingat, sewaktu belajar dulu, kita pernah sama-sama memberi minum susu kepada anak lembu sewaktu praktikal di kluang?

Masihkah awak ingat, sewaktu kursus ko-kurikulum bridget perdana di merang, sewaktu kita semua dikehendaki meredah hutan kecil di waktu malam, sewaktu kita semua berehat di tepi jalan, sewaktu saya sedang berbaring berlantaikan tar hitam, awak yang kebetulan berada disamping mengipas saya dengan kipas kecil di tangan?

Masihkah awak ingat, sewaktu belajar dulu, awak begitu berang apabila saya memanggil awak kakak sehinggakan sanggup membaling anak-anak batu?

Masihkah awak ingat, pernah kita sama-sama menyembelih ayam. Awak memegang dan saya tukang sembelihnya?

Masih banyak lagi kenangan yang bersisa andai mahu untuk saya segarkan kembali. Namun biarlah setakat ini coret kenang-kenangan ini. Biarlah yang lainnya saya simpan dalam benak ingatan. Biarlah saya tersenyum sendiri andai sekali-sekala ianya muncul di tabir ingatan.  

                                                                                                                                    
Awak..

Sesungguhnya segala apa yang terjadi antara kita tidak pernah dirancang. Ianya seakan-akan kebetulan. Kehendak kursus yang kadang-kadang memerlukan kita bekerja bersama telah menghasilkan buah kenangan yang sungguh manis bagi saya. Namun begitu, tidak pernah kita bergurau senda, berhilai tawa bersama. Terima kasih kerana tidak membenarkan semua itu terjadi dulu. Terima kasih kerana tidak melayan saya yang cuba untuk mengusik. Terima kasih kerana dingin terhadap saya. Terima kasih kerana tidak melayan saya yang dahulunya berserabut menahan rasa. Terima kasih kerana menjadi seorang yang bagi saya layak untuk dipanggil wanita. Wanita yang menjaga apa yang perlu di jaga.  


Awak..

Saya tidak faham apakah yang istimewa sehingga hati ini terpaut. Sehingga hati ini seakan-akan sudah tertutup untuk mengenali hati budi mereka yang lain. Sehinggakan mereka yang lain yang cuba mendekati hanya dipandang sepi. Kadang-kadang hati ini cuba menyelidiki apakah yang terlalu unik disitu. Apakah halnya sehingga hati ini sukar untuk melepaskan? Mungkinkah keserdehanaan yang terserlah dalam diri awak menjadi punca kepada segala kegalauan rasa ini? punca kepada sebuah keinginan yang sangat dalam ini?


Awak..

Setelah kita berpisah sementara apabila tamat belajar, pernah juga hati ini berusaha untuk membunuh segala rasa yang tercipta. Pernah hati ini cuba mendustakan diri dengan mengatakan segala yang dirasa hanyalah sebuah permainan yang tidak membawa erti apa-apa. Tidak sekejap juga saya berperang dengan perasaan ini namun saya akhirnya tertewas. Dikala saya seolah-olah sudah melupakan, saya telah dikhianati. Saya telah dikhianati oleh layar ingatan sendiri. Layar ingatan itu menderhaka kepada tuannya dengan menayang kembali kenangan lalu yang telah sekian lama ingin tuannya pendamkan.


Awak..

Di hari raya beberapa tahun yang lepas kenapa tiba-tiba awak memulakan perbualan dengan saya? Kenapa mesti awak bertanya akan khabar saya? Kenapa setelah sekian lama tidak berhubung, awak kembali menghantui diri ini? Walaupun hanya beberapa pesanan ringkas, ianya sudah cukup untuk menggegarkan jiwa dan raga saya. Ianya sudah cukup untuk menyegarkan kembali kenangan-kenangan lalu. ianya sudah cukup untuk memungkinkan kembali harapan-harapan masa lalu saya. 

Awak.. 

Maafkan saya kerana sudah tidak mampu untuk memendam rasa. Perasaan ini sudah tidak mampu untuk ditahan lagi. Ya saya mengaku, saya lemah untuk terus memendam rasa ini seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dua hari panggilan saya tidak bersahut dan masuk hari raya ketiga awak menjawab panggilan saya. Terima kasih kerana sudi menjawab panggilan saya. Ianya salah satu peristiwa yang besar dalam hidup saya. Buat kali pertamanya, saya telah berterus-terang kepada seorang gadis akan perasaan saya. Ya, saya sukakan awak. Maafkan saya kerana telah sedikit sebanyak mengusik hati awak.


Awak..

Saya sedar setelah membuat pengakuan itu, saya mula menghubungi awak. Walaupun tidaklah terlalu kerap, ianya sudah cukup untuk saya tahu dan mengerti bahawa awak sedang dalam keadaan yang sihat dan sejahtera. terima kasih tuhan atas nikmat ini. 

Namun begitu kadang-kadang saya keliru kerana setiap kali dihubungi reaksi awak tidak sama. Kekadang ceria, kekadang hambar. Sampai suatu tahap saya bimbang, awak tidak senang dengan cara saya menghubungi awak untuk bertanya khabar. Oleh kerana itu saya mula menjarakkan waktu untuk menghubungi awak. Saya mulai jarang menghubungi awak.


Awak..

Dalam waktu setahun dua itulah saya mula mengumpul kekuatan diri dan keberanian serta sedikit ilmu untuk bekalan menghadapi segala macam kemungkinan yang bakal datang. Waktu ini juga saya berusaha untuk mengukuhkan kewangan agar segala perancangan yang bakal saya laksanakan tidak terkandas ditengah jalan. Masih banyak yang pincang dalam perancangan ini namun jika menunggu waktu yang sempurna, mungkin tiada kesempatan lagi bagi saya. 


Awak..

Di saat saya bertanyakan awak untuk berkunjung ke rumah awak, saya sudah tekad, saya mesti pergi juga. Dengan atau tanpa keizinan awak sebab saya merasakan itu hak saya. Hak seorang pemuda untuk bertanyakan gadis pilihannya. Soal terima atau tidak itu yang soal yang kedua ketiga dan seterusnya. Saya tidak mampu menidakkan bahawa diri ini gementar namun apabila teringatkan diri awak, perasaan berani itu semakin menebal. Setelah mendapat izin kedua orang tua, saya pergi jua menemui ibu dan abah awak.  


Awak..

Sungguh hati ini sangat takut andai perasaan yang sudah sekian lama disemai ini tidak dapat untuk bercambah dan seterusnya hidup subur dan mekar hingga akhirnya. Hanya kepada tuhan saya pohon agar segala macam rasa ini dapat disatukan dalam sebuah ikatan yang utuh dan teguh.


Awak..

Disaat menunggu keputusan dari awak, hati ini berkecamuk dengan segala macam rasa dan pelbagai prasangka bermain dalam kepala. Mujurlah sedikit sabar yang dikurniakan mampu untuk menahan diri ini daripada bertindak diluar jangka.


Awak..

Setelah mendapat tahu akan keputusannya, hati saya melonjak gembira bagaikan dunia ini saya yang punya. Diri ini seakan-akan sudah gila ingin menggantung banner di lebuh raya sebagai medium hebahan kepada semua.


Awak..

Namun begitu saya juga gementar dan gelisah akan onak dan duri yang bakal mewarnai perjalanan hidup kita. Saya takut andai helaian tipis sabar yang saya miliki terkoyak dan akhirnya awak terluka.


Awak..

Akhirnya titik mula perjuangan kita bersama sudah tiba. Terima kasih tidak terhingga atas kesudian ini. Segunung penghargaan masih tidak cukup untuk menggambarkan betapa syukurnya saya apabila seorang bidadari sudi untuk singgah dan terus menetap di hati ini. Moga hatinya juga terbuka untuk saya fahami dan penuhi.




Awak..

Bergandinglah bersama saya dalam menghadapi segala ranjau dalam kehidupan ini. Siapa tahu jika awaklah kekuatan yang tuhan kurniakan kepada saya?  Siapa sangka jika awaklah asbab untuk tuhan kurniakan rezeki kepada saya? siapa mengerti jika awaklah yang tuhan datangkan untuk mengingatkan saya akan tanggungjawab dan amanah yang saya pikul terhadap orang tua kita, keluarga kita dan juga orang sekeliling kita? Siapa yang mampu faham akan semua hal ini kalau bukan kita?


Awak..

Usaha dan doa pilihan kita dan hasilnya milik Dia..



Saturday, November 5, 2016

Sakhtivel

Kisah ini berkisar tentang kehidupan seorang pekerja ladang yang berbangsa india dan beragama hindu. dan sebenarnya, jika rajin bertegur sapa, beramah mesra bersama pekerja-pekerja ini, akan tersingkap berbagai-bagai kisah hidup yang tidak disangka-sangka. yang membuatkan kita menginsafi diri. yang membuatkan kita bersyukur betapa bertuahnya kita di bumi ini. di tanah melayu ini. 

Sakhtivel nama pemuda yang aku ingin ceritakan kisah ringkas hidupnya ini. Aku dengan tidak sengaja telah memulakan perbualan dengannya setelah mendapat tahu bahawa beberapa bulan lagi dia akan berhenti kerja dan terus pulang ke india. Aku agak hairan kerana dia masih muda, kuat dan bertenaga untuk terus gagah bekerja menyara keluarga di India sana.

Hampir dua belas tahun lelaki berkulit gelap ini bekerja di Malaysia. 10 tahun pertama dia bekerja di Malaysia, dapat dia membeli sebidang tanah dan mendirikan sebuah rumah untuk keluarga kecilnya berteduh. Kemudiannya, dia sambung bekerja selama 2 tahun di ladang ayam. Dalam jangka waktu itu, dia dapat mendirikan sebuah kandang lembu dan membeli 7 ekor lembu untuk dibela dan dibiakkan. 

Kadang-kadang aku seperti berasakan mereka yang datang bekerja di Malaysia ini sangat beruntung kerana dalam jangka waktu yang tertentu, mereka dapat mengumpulkan harta di negara masing-masing.

Sakhtivel sedang gigih mencuci reban


Setelah rancak bercerita tentang keluarganya, sakhtivel mula menyentuh kenapa dia perlu berhenti kerja dan pulang ke india. Sesekali sakhtivel mengunyah tembakau yang sedia ada di dalam mulutnya lalu meludah liur pekat berwarna keperangan.

Beberapa bulan lepas dia sebenarnya telah pulang bercuti di india. Sebulan setengah selepas kembalinya dia ke Malaysia untuk sambung bekerja, bapanya meninggal dunia. Sakhtivel tidak dapat pulang kerana kesempitan wang. Dia sangat kecewa dan tidak beberapa lama selepas itu kekecewaannya bertambah apabila ibunya pula sakit-sakit.

Sudah beberapa bulan dia kelihatan gelisah kerana ibunya berkata bahawa jika ayahnya meninggal dia tidak pulang, pasti bila ibunya meninggal dia juga tidak pulang. Semuanya kelihatan hambar dan tawar pada sakhtivel selepas mendengar sendiri ucapan yang muntah dari mulut ibunya itu. Hilang selera makan sakhtivel. Setelah beberapa lama sakhtivel nekad mengambil keputusan untuk pulang. Baginya ibu lebih penting dari segalanya. Dia mahu pulang untuk menjaga ibunya. Dia mahu pulang untuk menjaga keluarganya. Untuk urusan kerja, itu semua boleh diatur kembali nanti.

Biarlah sakhtivel dengan keputusannya untuk pulang. Semoga itu yang terbaik untuk dirinya. Namun begitu, di pihak kami di ladang, sudah pasti terasa satu kehilangan. Kehilangan seorang pekerja yang tidak perlu dipertikai akan keupayaan dan kudratnya untuk bekerja.



Thursday, November 3, 2016

Darinya Untukku


Di penghujung garisan ini… hati ini bukan sekadar mengharap awak mengucapkan kata-kata sabar..sebenarnya diri ini mengharap awak setia berdiri dibelakang memberi sokongan.. ingin bersama-sama beriringan melalui liku-liku kehidupan.. yg teguh dikala hati ini rapuh dilanda dugaan..


Di penghujung garisan ini.. Diri ini telah berhenti mencari siapakah gerangan pemilik hati ini.. yang sanggup terima segala episod gelap dan terang.. yang sudi untuk mencari sebuah kesabaran dalam melayan setiap kerenah.. 


Dan…dipenghujung garisan ini.. Telah ditemui insan yang bernama suami.. semoga kehadirannya dapat menguatkan semangat yang pudar.. semoga bahagia jd milik kita.. Welcome to my life dear husband...





Sebuah nukilan rasa yang sangat aku hargai. Aku tidak pasti sudah berapa kali aku cuba menghayati setiap bait-bait kata ini. Dengan nukilan ini, sekurang-kurangnya aku dapat lebih mendalami apa yang bermain dilubuk hati kamu wahai isteri…

Dengan izin Nya, kita akan berusaha untuk hubungan ini…


Terima kasih atas secebis luahan hati untuk temanmu ini…

Alhamdulillah

Alhamdulillah

Segala puji bagi tuhan pemilik alam. yang telah memberi keizinan terhadap hambanya ini untuk menggalas satu lagi amanah. Amanah yang jika tidak dijaga dengan elok, amanah yang jika tidak dipimpin sebetul-betulnya, mampu untuk mengheret aku ke neraka jahanam. Dan amanah ini juga jika kena dengan caranya akan membawa aku ke syurga. MasyaAllah...

Tanggal 3 september 2016 merupakan hari bersejarah untuk aku. Aku telah berhasil memberikan seorang menantu kepada mak dan ayah aku dan aku juga mendapat ibu dan abah yang baru. Adik-adikku mendapat seorang kakak ipar manakala aku mendapat beberapa orang adik ipar.

Dan untuk diriku, aku telah berjaya menamatkan pencarian bidadari hati ini.Aku telah berhasil mengikat sebuah perjanjian yang ingin dan mahu aku teruskan sehingga ke akhir hayat aku. Moga keinginan yang mendalam ini mendapat perkenan dariNya.




" Ya ALLAH, aku memohon kepada-Mu kebaikannya, dan kebaikan segala yang Engkau ciptakan pada dirinya. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan segala keburukan yang Engkau ciptakan pada dirinya" 

Wednesday, November 2, 2016

Ikatan


Segala puji bagi tuhan yang menciptakan kita semua.


Syukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberi aku satu lagi keizinan untuk melangkah. Tanggal  26/3 menyaksikan aku telah memeterai sebuah ikatan janji yang membolehkan aku untuk kenal dirinya dengan lebih dekat lagi. InsyaAllah jika tiada apa halangan yang menimpa pasti kami akan terus melangkah  ke fasa yang seterusnya.




Terima kasih bakal peneman hati kerana telah bersetuju untuk mengikat tali pertunangan bagi mengenal hati budi diri ini. Setelah bertunang pasti banyak dugaan dan cabaran perasaan yang bakal menguji. Aku mesti kuat untuk apa yang aku inginkan dalam hidup ini…