Saturday, November 5, 2016

Sakhtivel

Kisah ini berkisar tentang kehidupan seorang pekerja ladang yang berbangsa india dan beragama hindu. dan sebenarnya, jika rajin bertegur sapa, beramah mesra bersama pekerja-pekerja ini, akan tersingkap berbagai-bagai kisah hidup yang tidak disangka-sangka. yang membuatkan kita menginsafi diri. yang membuatkan kita bersyukur betapa bertuahnya kita di bumi ini. di tanah melayu ini. 

Sakhtivel nama pemuda yang aku ingin ceritakan kisah ringkas hidupnya ini. Aku dengan tidak sengaja telah memulakan perbualan dengannya setelah mendapat tahu bahawa beberapa bulan lagi dia akan berhenti kerja dan terus pulang ke india. Aku agak hairan kerana dia masih muda, kuat dan bertenaga untuk terus gagah bekerja menyara keluarga di India sana.

Hampir dua belas tahun lelaki berkulit gelap ini bekerja di Malaysia. 10 tahun pertama dia bekerja di Malaysia, dapat dia membeli sebidang tanah dan mendirikan sebuah rumah untuk keluarga kecilnya berteduh. Kemudiannya, dia sambung bekerja selama 2 tahun di ladang ayam. Dalam jangka waktu itu, dia dapat mendirikan sebuah kandang lembu dan membeli 7 ekor lembu untuk dibela dan dibiakkan. 

Kadang-kadang aku seperti berasakan mereka yang datang bekerja di Malaysia ini sangat beruntung kerana dalam jangka waktu yang tertentu, mereka dapat mengumpulkan harta di negara masing-masing.

Sakhtivel sedang gigih mencuci reban


Setelah rancak bercerita tentang keluarganya, sakhtivel mula menyentuh kenapa dia perlu berhenti kerja dan pulang ke india. Sesekali sakhtivel mengunyah tembakau yang sedia ada di dalam mulutnya lalu meludah liur pekat berwarna keperangan.

Beberapa bulan lepas dia sebenarnya telah pulang bercuti di india. Sebulan setengah selepas kembalinya dia ke Malaysia untuk sambung bekerja, bapanya meninggal dunia. Sakhtivel tidak dapat pulang kerana kesempitan wang. Dia sangat kecewa dan tidak beberapa lama selepas itu kekecewaannya bertambah apabila ibunya pula sakit-sakit.

Sudah beberapa bulan dia kelihatan gelisah kerana ibunya berkata bahawa jika ayahnya meninggal dia tidak pulang, pasti bila ibunya meninggal dia juga tidak pulang. Semuanya kelihatan hambar dan tawar pada sakhtivel selepas mendengar sendiri ucapan yang muntah dari mulut ibunya itu. Hilang selera makan sakhtivel. Setelah beberapa lama sakhtivel nekad mengambil keputusan untuk pulang. Baginya ibu lebih penting dari segalanya. Dia mahu pulang untuk menjaga ibunya. Dia mahu pulang untuk menjaga keluarganya. Untuk urusan kerja, itu semua boleh diatur kembali nanti.

Biarlah sakhtivel dengan keputusannya untuk pulang. Semoga itu yang terbaik untuk dirinya. Namun begitu, di pihak kami di ladang, sudah pasti terasa satu kehilangan. Kehilangan seorang pekerja yang tidak perlu dipertikai akan keupayaan dan kudratnya untuk bekerja.



No comments:

Post a Comment