Wednesday, December 9, 2015

Rombongan

Dalam keadaan tertekan dengan kerja yang sarat di ladang, seorang rakan sekerja mengajak aku menyertai rombongan kahwin di Muar. Aku tanpa berfikir panjang terus bersetuju.

Kami di sambut dengan paluan kompang dan lagu-lagu rakyat oleh pasukan warisan kesenian kompang kg sungai muda.


Aku tidak kenal akan siapakah gerangan pasangan mempelai itu. Setibanya di halaman rumah pengantin, kami menuju ke khemah hidangan makanan, acara-acara yang terjadi tidak kami hiraukan. Kami lebih tertumpu pada hidangan yang disediakan.


Namun dalam entri ini, aku hanya ingin menekankan betapa kami, rombongan pihak gadis berasa sangat diraikan dengan paluan kompang dan hidangan yang enak. Pada yang mampu, mungkin boleh meraikan rombongan pasangan anda dengan sewajarnya dan pada yang kurang mampu, berbuatlah yang seadanya. Jangan dijadikan permulaan suatu kebaikan itu penuh dengan kesulitan. 

Saturday, December 5, 2015

Menunggu

Dua minggu yang lepas adalah antara hari yang bersejarah dalam hidup aku. Hari yang menyaksikan aku membuat keputusan yang besar dalam hidup aku. Hari yang menyaksikan aku cuba untuk memberitahu kepada diri aku sendiri bahawa aku sudah sedia untuk memikul beban dan tanggungjawab serta komitmen yang berterusan sehingga ke akhir hayat aku.

Petang itu aku memulakan perjalanan aku untuk keesokan hari punya misi. Dari selatan tanah air menuju ke negeri Selangor. Bermacam-macam perkara bermain dalam kepala bercampur dengan sedikit gementar. Aku lebih banyak termenung sambil merenung ke luar tingkap bas. Hujan renyai sedang membasahi bumi tuhan ini. Aku ralit memerhatikan titisan hujan yang mengalir perlahan-lahan menuruni permukaan kaca tingkap bas ekspress yang sedang sombong membelah kegelapan malam ini.

Setibanya aku di TBS, aku turun dari bas lalu menuju ke balai menunggu. Bermacam-macam kelibat manusia yang berada di sana. Ada yang duduk berseorangan di atas kerusi. Ada yang terbaring tidur siap berselimut, ada juga yang berjalan mundar-mandir tanpa arah tujuan. Aku hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Aku duduk termenung seorang diri sambil menunggu adik aku datang menjemput.

Adik aku sampai. Kami terus memecut ke Bangi. Waktu menunjukkan pukul  1-2 pagi. Masih banyak remaja-remaja yang kelihatan merempit di sekitar lebuh raya. Masing-masing beria-ria menunjukkan kejaguhan. Aku hanya tersenyum sumbing. Ini suatu perkara yang tidak elok. Aku hanya menggelengkan kepala. Aku dan adik aku singgah di kedai mamak untuk makan sambil menonton tayangan bola sepak el classico. Kami bersembang sambil sedikit sebanyak bercerita tentang diri masing-masing. Tentang hidup dan juga tentang hati dan perasaan. Aku perlu akui, perkara sebegini jarang berlaku.



Subuh menjelma sewaktu aku selesai makan dan menonton bolasepak. Aku singgah di sebuah masjid untuk solat, membersihkan diri dan berehat seketika sebelum aku pergi menyempurnakan misi aku. Perasaan resah dan gelisah bermain di fikiran. Masalah tempat kerja, kewangan, keluarga dan misi aku ini silih berganti bermain dalam akal fikir aku. Aku tidak dapat melelapkan mata walau sekejap pun.

Apabila mentari mula garang memancarkan sinar, aku bersiap-siap untuk melaksanakan misi aku. Misi yang hampir tertangguh oleh kerana kepayahan untuk mendapatkan cuti dari tempat kerja yang sememangnya sentiasa sibuk dengan pelbagai perkara untuk dilakukan.

Berkemeja hitam dan seluar khakis berwarna krim, aku memulakan langkahku dengan bergerak menuju ke destinasi bersama adik aku dengan sebuah kereta kecil yang disewa.  Sedikit lesu setelah menempuh perjalanan jauh dan tidak tidur semalaman. Aku hanya termenung dan seakan-akan merenung apakah reaksi pihak yang bakal aku kunjungi. Aku hanya tersenyum tawar dengan bebelan adik aku yang menyuruh aku bertenang sedangkan dirinya sendiri yang tidak keruan. 



Selepas zohor, kami sampai ke destinasi yang dituju. Aku sebenarnya berkunjung ke rumah ibu-bapa seorang gadis yang telah lama mengusik hati ini. Gadis yang mencuri tumpuan hati ini sejak  enam tahun lepas. Gadis yang pertama menghadirkan rasa ingin berpunya di hati ini. Gadis yang sederhana. Gadis yang mendera rasa. Gadis yang tidak memberi tumpuan terhadapku sebagaimana tumpuan aku terhadapnya. Gadis yang punya sifat keibuan. Gadis yang air mukanya menenangkan jiwa. Gadis yang tidak mampu untuk aku faham fiilnya. Inilah sedikit sebanyak yang boleh aku simpulkan tentang gadis ini.

Kami bercerita seperti biasa. Aku dengan adik aku serta keluarganya. Si gadis aku tidak tahu ke mana perginya.  Dari satu cerita ke satu cerita. Bertanya tentang kerjaya, keluarga, sanak saudara dan sebagainya. Sedikit yang aku boleh simpulkan ialah keluarganya menerima kedatangan kami dengan hati yang terbuka. Ibu bapa dia ramah orangnya. Aku tidak merasa terlalu janggal dan kekok berhadapan dengan mereka.

Dan kemuncaknya tiba apabila si ibu bertanyakan hajat aku bertandang ke rumah mereka. Aku pun meminta izin agar si gadis turut serta mendengar apa yang ingin aku perkatakan. Pada petang itu,  dihadapan adik aku, dia, ibu,abah, adik serta pakcik dan makciknya, aku meluahkan hasrat hati aku untuk menyunting si gadis menjadi teman hidup aku. Dan jika dia dan keluarganya bersetuju, rombongan keluarga aku akan menyusul selepas ini.

Alhamdulillah selesai sudah satu episod dalam hidup aku. Aku pulang dengan perasaan yang lega.  Lega kerana aku telah meluahkan keinginan yang telah sekian lama terpendam dan bermain dalam fikiran aku.  Pada malam itu, aku dan adik aku pergi bermain boling untuk melepaskan saki-baki rasa gementar dan untuk aku meraikan kelegaan hati ini.



Dan tidak lama selepas itu, aku memberitahu gadis  itu bahawasanya aku dan keluarga aku akan redha dengan segala apa keputusan yang bakal diberikan oleh dia dan keluarganya. Aku menyuruhnya mengambil sedikit masa untuk memikirkan tentang aku, kerja aku, keluarga aku, kewangan aku dan jarak antara keluarga kami agar tiada berbangkit masalah di kemudian hari. Buatlah pertimbangan yang sewajarnya.

Sejak dari itu sehingga ke hari ini aku masih menunggu.

Menunggu dalam sebuah kelegaan rasa  yang tidak berdasar dan bertepi.

Menunggu sebuah keputusan yang akan banyak mengubah hidup aku.

Moga apa sahaja keputusannya, aku kuat untuk terima.

Moga aku redha dengannya.




Saturday, November 28, 2015

Terima Kasih Si Babi Hutan

Sebuah novel yang disangka hanya berkisar tentang perjalanan hidup apabila berpisah dengan anak kandung, konflik dengan mahkamah syariah dan balai polis. Setelah di baca, rupa-rupanya ia lebih daripada itu. 

Sebuah novel yang bercerita tentang monolog dalaman penulis apabila dihentam dengan hebat oleh masyarakat sekeliling serta salah faham yang berlaku ke atas dia dan keluarga. Juga sedikit sebanyak menceritakan akan pertembungan ilmu fekah dan makrifah atau lebih tepat lagi dikatakan pertembungan antara golongan fekah dan makrifah. Ilmu yang benar ada ruang untuk dicemari oleh fahaman yang salah. 

Sudah lama aku tidak membaca. Terbit suatu perasaan yang aneh seusai membaca novel ini. Sedikit sebanyak pengajaran yang diperoleh pasti akan dipraktik dalam hidup ini.




Rabi Thapa

 Nama seorang pekerja Nepal yang berada di bawah seliaaan aku. Namun begitu dia terpaksa pulang kerana gagal pemeriksaan kesihatan. Dia disyaki menghidap kanser paru-paru tahap dua. Apabila aku mendapat berita ini, satu ketukan tepat terkena hati aku. Setelah lama bekerja bersama-sama, diwaktu aku mula serasi dengan dia, ini khabar yang aku terima. Ia sedikit sebanyak menggundah gulanakan perasaan aku. Rabi Thapa seorang pekerja yang sangat rajin. Pukul satu ke dua pagi masih berada di reban walaupun ianya bukanlah atas arahan aku. kerja-kerja lain juga tidak bertangguh dan mutu kerjanya juga tidak perlu untuk aku persoalkan.

Pernah sekali seorang bangla bertanya kepadanya

Monir: hei apa pasal you kerja rajin-rajin. gaji dapat sama juga.

Rabi: mesti kerja betul-betul. nanti bos suka, bos mau terus kerja. sini kerja ok. banyak tempat kerja susah. duit banyak habis. tada tuker kerja pun agent senang.



Pernah juga saya bertanya kepadanya tentang macam mana kerja disini.

Rabi: dulu agent hantar saya sini, cakap you kerja dulu satu bulan dua bulan. you tada tahan. saya hantar lain kerja. saya suka sini kerja. bos ok, kawan-kawan semua ok. tada gaduh-gaduh. curi-curi tada.

saya hanya tersenyum. betul, sememangnya suasana kerja disini aman dan harmoni.

banyak perkara yang saya belajar tentang nepal daripada dia. tentang jalan atau lebuhraya lereng bukit yang sempit dan dan sangat berbahaya, tentang pantang larang memakan lembu disana, tentang keadaan cuaca di sesetengah tempat yang ekstrim di nepal, pergolakan politik dengan kebanjiran orang hindustan, tentang makanan, buahan dan cara hidup disana.



Makan malam terakhir bersamanya sebelum dia berangkat pulang ke Nepal. Sedikit penghargaan atas kesungguhannya selama ini.

setiap insan yang hadir dan pergi daripada hidup kita sedikit sebanyak pasti akan memeberi peluang untuk kita belajar sesuatu daripadanya. tinggal hanya kita untuk mengambila pengajaran atau terus tidur bermain dengan angan-angan semata-mata.






Friday, July 31, 2015

Inspirasi

Kisah ini sudah beberapa bulan berlalu namun ianya masih seakan-akan segar dalam fikiran saya. Kisah yang sedikit sebanyak memberi inspirasi dalam saya menjalani hidup yang penuh dugaan rasa ini. Kisah yang saya sukar untuk percaya kerana pelakonnya bagi saya bukanlah setekad itu untuk menghasilkan kisah yang begitu berkesan memberi impak ke atas hati kecil saya. Ya, saya sudah tersilap dalam mentafsirkan sikap dan keazaman sahabat saya ini.

Sahabat saya ini jika dilihat secara luarannya adalah seorang yang pasif dan tidaklah terlalu agresif dalam membuat sesuatu perkara ataupun keputusan. Dia juga seorang yang agak pendiam dan tidak banyak bercakap. Dalam sebuah kesempatan yang dikurniakan tuhan, saya bertemu sahabat saya ini disebuah kedai makan.

Kami duduk bercerita perihal keadaan masing-masing dan juga bertanya khabar rakan-rakan yang lain. kami berbual-bual sehinggalah terkeluar dari mulut salah seorang daripada kami akan topik berkenaan dengan jodoh.

Saya tidaklah terlalu seronok apabila berbicara soal ini kerana saya tidak punya banyak cerita untuk dikhabarkan namun begitu sahabat saya yang cukup sukar untuk berbicara hal peribadi itu telah membuat pengakuan yang sangat memberi inspirasi kepada saya.

“aku sebenarnya pernah pergi minta anak dara orang. Yang pertama, aku pergi minta gadis Pahang. Kau tahu aku tak pandai bercakap kan? Aku rasa masa jumpa emak dengan ayah dia, aku bercakap macam orang bodoh. Tak teratur langsung. Tapi maksud aku sampai. Aku nak menyunting anak dara mereka. Macam-macam mana pun aku nak juga budak tu. aku nak berubah. Aku nak nikah. Nak ada bini. Nanti senang  apabila hati tenang, nak fokus pada belajar pun senang. Ini tidak, asyik teringat perempuan. Gadis tu dan keluarga dia minta sedikit masa untuk mereka berfikir sebelum mereka buat keputusan. Akhirnya si gadis tu tolak aku. Itulah kali pertama aku rasa kecewa. Perasaan dia memang sakit. Aku seperti orang mati hati, kontang jiwa. Aku rasa macam bangkai hidup.”

Begitulah kisah sahabat saya ini. Dan perisitiwa ini berlaku semasa dia masih belajar. Ya, semasa dia dan saya masih belajar. Semasa saya masih terkial-kial untuk mengenal erti hidup, sahabat saya itu sudah jauh ke hadapan mengorak langkah. Walaupun langkahnya terkulai di tengah jalan, sekurang-kurangnya dia sudah melangkah. Dia sudah tahu dan dia mahu pergi ke destinasi yang menjadi pilihan dia. Dia yakin akan rezeki yang tuhan telah tetapkan untuk setiap insan bernama manusia.

“kali ini aku berkenan dekat orang Kelantan pula. Aku tak pernah telefon bercakap dengan dia. Kalau berhubung aku mesej je. Aku bukan pandai bercakap dengan gadis ni. Aku pergi berjumpa dengan emak ayah dia di Kelantan setelah aku bagitahu dia aku nak pergi ke rumah dia dengan hajat yang besar. Dia bersetuju untuk benarkan aku berjumpa dengan orang tua dia. Aku pun pergi jumpa orang tua dia. Aku dengan tak pandai bercakapnya berjaya bagitahu yang aku nak budak tu. aku tak tahu la apa mereka fikir pasal aku. Dengan selekehnya lagi. Cakap pun tersekat-sekat. Dan aku tak sangka yang budak tu dengan emak ayah dia terima aku…yeaayyyyy sungguh rasa hati aku waktu tu…tapi lepas tu aku pulak ada masalah. Tempat kerja aku tiga bulan tak bayar gaji. Aku terpaksa batalkan rancangan nak menikah dan bagitahu perempuan tu masalah yang aku hadapi. Perempuan tu terima seadanya. Mungkin bukan jodoh aku dengan dia. Tapi aku rasa bersalah sangat dekat perempuan tu tapi aku tak boleh buat apa. Tapi aku redha. Kali ni aku dah tenang sikit walaupun tak jadi nikah. Mungkin pengalaman lepas banyak ajar aku. Sekarang aku dah tak fikir sangat pasal nikah ni. Aku fikir nak cari duit je.”

Inilah dia kisah kedua sahabat saya yang jodohnya masih tak kesampaian. Sewaktu menceritakan kisah ini dia sedang menganggur mencari kerja. Sungguh berliku dan berbeza jalan hidup setiap manusia.

Kisah hidup sahabat saya ini sangat memberi inspirasi kepada saya kerana dia sangat berani mengambil langkah dalam membentuk kisah hidupnya sendiri. Keberanian yang lahir dari keinginan dia itulah yang sangat memberi inspirasi kepada saya.




Semoga selepas ini, inspirasi yang di rasa mampu menguatkan hati saya untuk mendapatkan dan menggapai segala keinginan dan kemahuan saya dalam hidup ini. apabila semakin banyak pengalaman dan pengajaran yang saya alami di sepanjang perjalanan hidup saya ini, saya akui perjalanan hidup kita semua ini adalah suatu proses yang sentiasa memerlukan kita untuk belajar. saban hari, pasti akan ada benda baru yang kita tempuhi. saban hari, pasti akan ada pilihan-pilihan yang memerlukan kita untuk membuat keputusan. Terserah kepada kita untuk menentukan jalan manakah yang hendak kita tempuhi dalam mewarna-warnikan hidup kita ini.


Monday, July 20, 2015

Si Kecil Molek


Hari itu, Syahir Saifuddin termenung dipangkin dihadapan rumahnya. Kelihatan seorang demi seorang staf sebuah kolej swasta di seberang jalan rumahnya pulang. Ada yang cantik dan hensem, ada yang hodoh, ada yang sekeping dan ada juga yang lebar. Ada yang berpakaian kemas, ada yang seksi semacam dan ada juga yang selekeh seperti sarung nangka.

Jam menunjukkan angka lima. Kebiasaannya bas muncul pukul lima lebih sedikit tetapi hari ini berdisiplin pula pemandu bas itu. Tepat pukul lima pula datangnya. Manusia berpusu-pusu menaiki bas tersebut dan kemudian bas buruk itu pun berlalu meninggalkan asap hitam berkepulan. Hadapan kolej itu mulai lengang dan ketika itulah kelibat seseorang menarik perhatian Syahir Saifuddin. Seorang gadis yang mungkin pelajar atau mungkin juga staf disitu. Tapi hati Syahir saifuddin kuat mengatakan bahawa gadis itu adalah seorang pelajar.

Gadis itu terkedek-kedek berjalan melepasi pintu pagar kolej tersebut. Dia melangkah longlai sambil kepalanya menunduk ke bumi. Mungkin sudah mengerti yang dia sudah tertinggal bas dan juga mengerti yang bas seterusnya hanya akan muncul pada angka enam.

“Bagaimanakah untuk menghasikan satu jam yang bermakna. Mungkin ini yang berlegar dikepala gadis itu”,telah Syahir saifuddin

Syahir saifuddin sengaja memerhati tingkah laku gadis tersebut. Bertubuh kecil molek. Berbaju kurung kemerahan yang berbunga merah. Sungguh ayu. Tapi bagi syahir saifuddin, jika dilonggarlabuhkan sedikit lagi pakaiannya, pasti bertambah sopan gadis itu. Jika diganti tudung yang agak singkat dan jarang itu dengan yang sepatutnya, pasti bertambah ayunya. Syahir Saifuddin tersengih-sengih seorang diri sambil menggaru-garu tubuhnya yang tidak berbaju itu.
Gadis itu berseorangan menunggu. Pasti sungguh memeritkan menunggu seorang diri tanpa teman. Syahir saifuddin berfikir untuk pergi menemani gadis itu.

“ Ah jangan kau menggila syahir saifuddin, dalam situasi sekarang, berseorangan lebih baik baginya, juga lebih baik bagimu, jangan cuba mencipta suasana yang memungkinkan fitnah melanda. Mungkin niatmu baik, mahu menemani tetapi adakah niatmu dapat dihidu manusia lain? Jangan hampiri dia, berduaan begitu akan menimbulkan syak, akan mengundang fitnah manusia berhati-perut kotor. Lagipun kau tiada apa-apa urusan dengannya. Apatah lagi engkau tidak mengenalinya.” Suara dalam diri Syahir Saifuddin membantah.

“Habis jika aku mengenalinya, rapat dengannya?” Syahir Saifuddin menduga.

“Ah tidak usah kau bermain kata. Janganlah menghampirinya. Walau rapat macam mana sekalipun engkau dengan dia, berhati-hatilah kerana ianya tidak mengubah hakikat bahawa dia seorang perempuan dan engkau seseorang lelaki. Jika kau masih menghampirinya, akan menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap engkau dan juga dirinya. Jika betul kau mengasihaninya, biarkanlah dia.”

“ Tapi niatku baik. Mengapa mahu terlalu memikirkan persepsi masyarakat. Bukankah segalanya bermula dengan niat? Lagipun bukannya aku bertepuk tampar dengannya. Pasti tidak timbul persepsi-persepsi yang tidak sedap didengar itu.” tingkah syahir saifuddin yang semakin keliru dan sangsi.

“ Mengapa memikirkan persepsi masyarakat? Syahir Saifuddin, kau mesti mengerti, kita hidup bermasyarakat, jika tidak mahu memikirkan persepsi masyarakat, hidup di hutan belantara bertemankan binatanglah jawabnya. Syahir Saifuddin, aku adalah engkau, engkau adalah aku dan aku tahu engkau juga syak, sangsi adakah betul apa yang ingin engkau lakukan ini. Baiklah Syahir Saifuddin, agamamamu adalah agama yang mengajar engkau meninggalkan perkara yang syak, syubhah untuk meninggikan imanmu. Lantas apakah yang ingin kau lakukan?”

Syahir Saifuddin mengalah lalu membatalkan niat mahu menegur, mahu menemani gadis itu. Biarlah dia sendiri. Tidak perlu dirisaukan kerana pengawal keselamatan kolej ada tercangak disitu. Lain pula jika keselamatannya tergugat jika dia berseorangan. Mungkin ada juga sebab yang relevan untuk dia menemani gadis itu. Syahir Saifuddin tersenyum sendirian memikirkan kemungkinan-kemungkinan hidup yang mungkin berlaku.

Rembang petang itu menjadi saksi betapa geramnya dia kerana sudah terlepas bas untuk mahu segera pulang ke rumah. Digertapnya gigi lalu dihentaknya kaki ke bumi. Dia tahu hanya gigi yang sakit, hanya kaki yang merana tapi mungkin itu satu cara yang berkesan untuk dia meluahkan kegeramannya.Gadis itu termenung sambil menongkat dagunya. Sesekali dia menguis-menguis kakinya ke tanah.

Dan ketika itulah sebuah kancil buruk keluar dari pekarangan kolej itu. Seorang lelaki kelihatan disebalik cermin gelap kancil itu. Mereka kelihatan bertegur sapa sambil tersenyum. Tidak berapa lama kemudian si gadis kelihatan menggeleng-geleng apabila lelaki itu membuka pintu keretanya lalu kancil buruk itu meluncur pergi bersama tuannya.

“Mungkin rakan si gadis agaknya.” congak Syahir Saifuddin. Tapi mengapa tidak ditumpangnya saja rakannya itu. bukankah itu lebih menyenangkan daripada termenung menunggu bas pukul enam petang. Sampai-sampai sahaja dirumah, pasti sudah hampir maghrib. Entah apa yang difikirkan gadis itu.” Syahir Saifuddin bermonolog. Dan monolog itu dijawab oleh suara dalamannya.

“ Syahir Saifuddin, mengapa engkau hanya memikirkan sebuah kesenangan tanpa memikirkan betulkah jalan yang diambil untuk mencapai kesenangan itu? Tidakkah kau lihat, jika gadis itu menerima pelawaan lelaki itu, bukankah ertinya mereka akan berdua-duaan didalam kereta itu?”

“Tapi mereka tidak berbuat apa-apa jauh sekali untuk bercanda. Bagaimana jika niat lelaki itu memang baik, hanya ingin menolong gadis itu?” balas Syahir Saifuddin.

“Baik atau jahat niat lelaki itu tidak mengubah kenyataan bahawa mereka pasti akan berdua-duaan dan sudah pasti setan bakal menjadi peneman mereka. Pernahkah niat yang baik itu mampu mengusir makhluk yang ketiga itu?” suara hatinya semakin bijak berbicara.

“Betul begitu tetapi tidak kasihankah terhadap gadis itu menunggu seorang diri? Wajarkah jika dia menumpang rakannya itu dianggap tidak elok?” soal Syahir Saifuddin.

“Entahlah Syahir Saifuddin. Engkau bayangkan jika gadis itu menerima pelawaan lelaki itu, apa yang akan difikirkan oleh mereka yang melihat? Pasti akan terdengar bisik-bisik yang kurang elok. Contohnya.” Eh semalam aku tengok si polan anak si polan tu naik kereta dengan lelaki” ... sudah pasti buruk tanggapan mereka kan? Dan yang lebih terkesan lagi, ianya sudah sedikit sebanyak mencalar maruah diri dan ibu bapa gadis itu. Engkau patut mengerti, perempuan sebelum kahwin menjaga maruah diri dan ibu-bapa, apabila bergelar isteri, dia menjaga maruah diri dan suaminya pula.”

Syahir Saifuddin termenung memikirkan intipati suara hatinya. Sepi seketika ruang dalam dirinya. Khali.

Sambil dia berkira-kira untuk melempar persoalan lain, suara hatinya terlebih dahulu memecahkan kesepian dalam dirinya.

“Tapi engkau tidak perlu runsing, tidak perlu khuatir Syahir Saifuddin. Bukannya tidak boleh untuk ditumpang rakannya itu. Jika keselamatannya tergugat, jika dia mempunyai urusan yang perlu disegerakan, jika bas tidak pasti ada ataupun tidak, ianya mungkin perlu, ianya tidak salah bagi gadis itu menumpang rakannya itu. Tapi kau sudah lihat sendiri, keselamatan gadis itu terjaga dan sudah pasti setiap hari akan ada bas pada pukul enam. Cumanya sekelumit pengorbanan yang diperlukan untuk menanti dengan sabar jam enam itu tiba. Bukankah orang selalu bercakap penantian itu suatu perjuangan?” soal suara itu.

“Betul juga kata-katamu. Mungkinkah si gadis kecil berbaju kurung berbunga merah ini berfikiran seperti itu juga. Aku pasti tidak ramai yang sanggup menunggu sepertinya.” Syahir saifuddin mengiyakan kata hatinya sambil menerbitkan rasa kagum terhadap si kecil molek berkurung merah itu.

Syahir Saifuddin tahu, itu semuanya bergantung atas keinginan, kemahuan masing-masing dalam menjaga apa yang perlu dijaga. Keinginan untuk menjaga iman senipis kulit bawang dari terus menipis dan terkoyak serta kemahuan untuk menjaga maruah diri dan orang yang tersayang dari tercalar oleh selumbar kehidupan.

Syahir Saifuddin meraba-raba pusatnya sambil menggaru-garu keruping yang sudah mula menggelupas di kepala lututnya yang tidak pernah aman dari palitan luka. Syahir Saifuddin sudah mula kesejukan ditampar bayu petang. Dia membetulkan boxernya yang hampir terlondeh lalu melangkah masuk ke rumahnya.

” Ah Syahir Saifuddin, aku dikerah berfikir yang baik, yang betul tapi engkau selalu cuba menidakkan buah fikiranku dengan tindakanmu. Kau perlu ingat, suaraku datangnya dari perahan akalmu. Kenapa terlalu sukar Syahir Saifuddin? Buruk benar memikirkan tubuhmu berboxer sahaja. Elokkah tubuh berjeragatmu dipamer dikhalayak umum?” getus sebuah suara hati yang hanya mampu bersuara.

Syahir Saifuddin melangkah longlai memasuki rumahnya. Ya, dia selalu memikirkan alangkah indahnya hidup bersyariat tetapi terlalu sukar baginya menterjemahkan fikiran itu dalam bentuk tindakan. Dan dia yakin dan pasti disinilah perlunya apa yang dikatakan sebuah perjuangan itu.




Aku akui

Andai dapat undurkan putaran dunia, kan ku ubah semula kata-kata dan tingkah-lakuku….sekadar memetik ayat sebuah lagu. Begitulah manusia, begitu ingin kembali membaiki diri, memperbetulkan kesilapan lampau. Entri pada kali ini hanyalah untuk aku kenang kembali apa yang telah aku lakukan semenjak empat lima tahun yang lepas sehinggakan aku merasa jiwa ini kosong. Jiwa ini kosong dengan tiada pengisian yang sebenar-benarnya. Kemanisan ukhuwwah berjemaah telah lama tidak dapat aku kecapi.

Aku akui,

Aku sekarang sangat jauh dari teman-teman yang suka untuk duduk berbual-bual soal agama, berdiskusi perihal ketuhanan dan juga bersama-sama menghadiri majlis-majlis ilmu. Sungguh jiwa aku terasa kosong. Aku terasa sangat haus. Sehingga banyak aspek dalam hidup aku terganggu. Aku sangat dahagakan ilmu, sangat rindukan usrah-usrah dan sangat mendambakan bimbingan murabbi.

Aku akui,

Empat tahun di UniSZA telah aku sia-siakan dengan tidak mencari teman mahupun Jemaah yang mempunyai fikrah untuk hidup beragama dalam erti kata mengamalkan agama dengan sebenar-benarnya. Aku lebih banyak berseorangan dan aku juga akui aku tidak pandai untuk mengajak rakan-rakan yang lain untuk turut serta bersama aku mengamalkan agama. Aku hanyut dan membiarkan rakan-rakan di sekeliling juga hanyut. Aku juga hanya memandang sepi sifat-sifat terpuji yang terselit dalam diri setiap rakan-rakan aku tanpa terfikir untuk mencontohi mereka.

Astaghfirullah, sedikit faham dan sedar yang dikurniakanNya tidak aku guna sebaik-baiknya untuk menyeru orang disekeliling untuk dekat padaNya. Amanah yang dikhianati…astaghfirullah.

Aku akui,

Semenjak meniti alam kerja di ladang ini, kesibukan dan keletihan menjauhkan lagi aku dari fikrah untuk berjemaah. Ketiadaan masa dan tiada saluran yang betul membuatkan aku hanya berkhayal, berangan untuk menyertai sesebuah jemaah tanpa berbuat apa-apa.



Disaat tuhan memberi sedikit kesedaran ini, aku akan cuba bangkit walau dengan apa cara sekalipun. Aku akan cuba untuk hidup. aku akan muhasabah diri. Aku akan cuba untuk menyuburkan kembali sisi suci dalam hati agar ianya tumbuh membesar dan keluar memecahkan kotoran hati dan kejelikan jiwa yang sekian lama menimbus diri.



Aku akui,

Hanya dengan izinNya azam ini akan terlaksana…





Teman lama

Alhamdulillah

Di bulan puasa baru-baru ini aku telah dikurniakan sedikit masa lapang untuk menziarahi seorang sahabat yang telah lama ingin aku temui, ziarahi dan berkongsi cerita dengannya. Dari selatan tanah air, aku bergerak menaiki bas menuju ke Kuantan. Perasaan hati ini memang berbunga-bunga kerana ingin berjumpa teman lama dan juga selepas berjumpa dengannya, aku akan pulang ke kampung tercinta.

Aku sampai di terminal bas yang baru di kuantan lima minit sebelum waktu berbuka puasa. Usai berbuka dan menunaikan solat maghrib, aku menunggu seketika sebelum teman aku tiba menjemput dengan Nissan almeranya.

Kami bertarawih di masjid kampus matrikulasi uia dan ini merupakan tarawih dua rakaat pertama dan terakhirku di bulan ramadhan ini. Selesai solat, kami menuju ke medan selera Ana Ikan Bakar untuk menjamu selera. Satu perkara yang menggeletek hati aku ialah teman aku ini masih lagi dengan perangai lamanya sewaktu sekolah dulu iaitu nafsu makannya yang sungguh buas.

Malam itu kami makan nasi, udang butter, sup ekor, siakap bakar sambal petai, sotong masak halia dan juga satu jag jus buah. Alhamdulillah dan kami akhirnya tersandar seperti lembu kekenyangan selama beberapa ketika sebelum kami meneruskan perjalanan menuju ke bazar ramadhan yang menjual pelbagai barang keperluan menjelang lebaran.


gambar hiasan

Menjelang malam, kami bercerita perihal kerjaya masing-masing. Cabaran dan dugaan yang terpaksa kami tempuhi. Aku akui skop kerjaya kami jauh berbeza. Seorang itu kerjanya mendidik manakala yang seorang lagi kerjanya menternak ayam. Banyak perkara yang kami kongsikan. Satu malam berkongsi cerita memang tidak cukup buat kami.

Pada malam itu juga kami meluahkan persaan hati masing-masing. Aku dengan cerita kisah cintaku dan dia dengan cerita kisah cintanya. Dua buah cerita yang sangat berbeza namun diakhirnya kami berdua bersetuju dalam menyimpulkan bahawa seandainya belum ada ikatan yang sah, kami perlu  berpada-pada dalam membina hubungan kerana apa erti ikatan yang dibina andai jauh dari redhaNya. Kami akan menelan segala pahit dan ranjau dalam perhubungan andai orang yang disebelah sana tidak bersetuju dengan pendirian kami. Keteguhan ini berdasarkan pada apa yang kami alami, pelajari dan fikrah yang tuhan bagi pada kami dalam mengenal mana yang hak dan batil.

Keesokannya aku meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu untuk pulang bertemu keluarga tercinta. Kami bersalaman dan berpelukan sebelum masing-masing membawa haluan sendiri. Dalam hati aku tertanya-tanya, bilakah lagi ada kesempatan untuk kami bertemu. Semoga masing-masing berada dijalan yang diredhaiNya…


Terima kasih Allah untuk kesempatan yang seketika ini. 

Sebuah rasa di hari raya


Hari raya puasa yang pertama tanpa keluarga disisi pada tahun lepas aku sambut dengan perasaan biasa sahaja. Kadang-kadang datang juga rasa gembira kerana dapat merasai pengalaman baru beraya ditempat orang walaupun raya aku hanya didalam ladang ayam. Tidak dapat melihat suasana sebenar raya yang sibuk dengan manusia berziarah.

Untuk tahun ini juga aku tidak dapat pulang beraya oleh kerana tuntutan kerja yang memaksa aku untuk menghadirkan diri ditempat kerja. Aku beranggapan semua ini hanyalah seperti tahun sebelumnya. Namun sangkaan aku meleset. Menyambut hari raya di perantauan berseorangan mewujudkan sepi yang tidak sedikit dalam diri aku. Aku yang dulunya sangat kurang aktif dilaman sosial facebook dan whats app kini merupakan antara pengguna yang aktif. Penangan sepi sangat berkesan untuk mengubah diri.


Mendengar takbir raya, melihat live update dari keluarga, rakan dan sanak saudara menimbulkan rasa rindu dan sedih yang bukan kepalang. Dua tahun berturut-turut tidak dapat bercakap telefon di pagi syawal dengan mak aku oleh sebab emak aku yang menangis tidak dapat menahan sebak sangat meruntun hati aku.  Aku mendapat pengalaman pertama makan mi segera di hari raya pertama. Oh rindunya pada pelita, damar(tempurung yang disusun dan dibakar) dan suasana hari raya. Juga rindu pada mereka yang mengharapkan aku berada di depan mata.



Emak aku juga beritahu, aku bukan lagi anaknya jika tidak balik beraya pada tahun akan datang. Aku hanya tertawa kerana aku tahu itu hanya gurauan semata-mata. Namun begitu aku mesti meletakkan dalam fikiran aku bahawa gurauan itu terhasil dari sebuah rasa kecewa, sedih dan harapan menggunung untuk melihat kelibat anak sulungnya di hari raya.

2 atau 3 bulan sebelum raya, ayah aku menyuarakan hasrat untuk membakar lemang kerana aku mengatakan aku mungkin berpeluang untuk beraya dikampung. Pada bulan puasa, ayah aku membatalkan hasratnya kerana aku tidak dapat pulang beraya. Katanya dia mahu aku ada bersama sewaktu membakar lemang. Dia mahu mengajar aku agar warisan ini sentiasa ada dalam keturunan. Apa lagi mahu aku katakan? Aku hanya diam.

Hati ini semakin cemburu melihat gambar yang pelbagai di laman internet disertai cerita-cerita yang membawa maksud bahagia. Tidak kurang juga gambar-gambar rakan beserta keluarga, rakan-rakan yang baru berbini dan juga rakan-rakan yang baru menimang cahaya mata. Semua ini hanya mendera rasa hati aku.

Secebis tulisan ini bukanlah untuk menggambarkan keluhan insan hina seperti aku ini terhadap segala nikmatNya, tetapi hanyalah sebuah perkongsian rasa untuk menjemput damai agar sudi untuk bertandang ke jiwa kecil aku ini.

Hargailah detik yang dikurnia andai dapat bersama walau seketika.

Selamat hari raya semua



Ampun ya Allah…



Bersedih di bulan ramadhan

Ya Allah.

Jiwa terasa kosong.

Bulan ramadhan ini adalah yang terburuk, terbangsat pernah aku rasakan. Maafkan aku. Bukan aku mencerca bulan ini tetapi aku mencerca diri yang langsung tiada peningkatan di bulan ini. Sebulan puasa, hanya dua rakaat tarawikh didirikan. Solat fardhu di masjid? Hanya tinggal kenangan ramadhan tahun-tahun yang lalu.

Lautan amal yang sepatutnya menghiasi bulan mulia ini hanyut ditelan kesibukan kerja yang tidak menentu masa, keletihan dan juga nafsu sendiri yang lazat meratah jiwa yang senipis bawang pelindungnya. Jiwa merintih namun sukar sekali untuk aku berubah mendidik jiwa sedikit demi sedikit. Naskhah quran sudah mula dihinggapi habuk-habuk yang entah datang dari mana. Aku gagahkan juga diri untuk melafazkan ayat-ayat suci itu walau satu halaman sekalipun.

Sungguh aku rasa jiwa ini semakin hari semakin rapuh. Bukan aku tidak ingin menjadi seperti ikan dilaut yang tetap manis isinya walau dikelilingi air yang asin, tapi aku lemah. Aku menggelengkan kepala apabila teringatkan betapa utamanya suasana yang baik itu andai seorang muslim yang rapuh imannya cuba untuk memperbaiki diri. Biah solehah yang sangat penting.

Tidak hairanlah sesetengah Jemaah mahupun parti politik cuba untuk mewujudkan suasana ini melalui saluran penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan. Namun demi melihat keadaan masyarakat hari ini, sukar untuk pelaksanaan perkara ini berjalan dengan lancar. Terlalu banyak halangan oleh masyarakat yang tidak mengerti, kurang tahu serta pemikiran sesetengah pemegang undi untuk menggubal undang-undang itu sendiri.

Pemikir-pemikir serta aktivis hak asasi yang keterlaluan juga menjadi duri dalam perkara ini. Terlalu mengikut kata hati serta beranggapan setiap manusia berhak ke atas diri serta apa yang ingin dilakukan. Melalui pemikiran beginilah terbit dan menitinya ungkapan, hal aku, hal aku, hal engkau, hal engkau, kuburkan masing-masing. Bagaikan sudah tercabut sifat prihatin dan kasih sayang dari hati mereka.

Jiwa terasa kosong.

Di bulan penuh mulia ini, tiada perbincangan-perbincangan rohaniah. Terasa sungguh asing andai orang-orang disekeliling melihat dengan pandangan menyindir andai kita cuba untuk memulakan sebuah perbualan yang berbaur agama. sudah cukupkah untuk aku hanya bermonolog seorang diri? aku juga perlu pada pendapat-pendapat rakan disekitarku. Dimana ingin dicari rakan yang mahu untuk turut serta berbual dan berbincang isu-isu agama andai aku duduk jauh terperosok di dalam ladang ini. Silap aku juga kerana mengabaikan waktu lapangku dulu dengan tidak menyertai jemaah-jemaah yang bersifat rohaniah dan istiqamah di jalan dakwah. akibatnya sekarang jiwa terasa kosong. Rasa kosong yang menebal sewaktu tiba bulan mulia ini.

Setelah ramadhan berlalu, barulah sesal hinggap di serambi hati. Sesal yang terlewat tiba. Terhalang oleh banyaknya mainan perasaan dan nafsu yang lalu-lalang ditengah jalan.

Aku pohon pada tuhan agar diberi kesempatan untuk ramadhan akan datang. Kepada satu-dua orang pembaca setia, doakan aku. Risau hati ini andai doaku tidak sampai padaNya.



Saturday, May 2, 2015

Aku cemburu

 Penghujung April 2015

Semuanya kepunyaan seorang rakan sekerja yang baru pulang dari sebuah majlis di lembah Klang sana,

 

Jari jemari ini letih untuk menaip segala butir kata yang bermain dalam kepala. aku andaikan sesiapa yang tersesat datang membaca faham apa yang aku rasa.

seikhlas hati aku katakan

aku cemburu

Saturday, April 18, 2015

Subuh yang dingin

Keletihan dan perasaan mengantuk kuat mengetuk diri aku. Ditambah pula dengan suasana dingin yang sedang menjalar keseluruh pelusuk alam, aku terbayang akan keenakan daan keempukan tilam busuk dirumah. Kehangatan tilam dan selimut buruk ketika ini merupakan antara nikmat yang akan menjadi sangat besar jika aku  perolehi.

 Begitulah kita manusia. Setiap nikmat itu berbeda-beda tahap nikmatnya yang bergantung pada situasi dan juga kehendak kita. Contohnya seorang petani dan juga seorang pembuat keropok keping. Di pihak petani sangat mengharapkan titisan hujan bagi melegakan tanaman yang kehausan manakala di pihak pembuat keropok keping mengharapkan panas yang berpanjangan untuk menghilangkan lembapan keropok-keropoknya. NikmatNya adalah untuk semua bukan kita semata-mata.  Dipihak kita hanyalah menerima, bersyukur dan berusaha untuk penuhi kehendak kita.

Usai menunaikan solat subuh di masjid putih, aku bergegas turun dan keluar ke laman masjid sambil melilau-lilaukan mata mencari kelibat ayah aku yang datang menjemput untuk membawa aku pulang ke rumah. Aku sebenarnya baru sahaja pulang untuk bercuti  dari selatan tanah air. Alhamdulillah, pukul 9 semalam aku bertolak dan subuh hari ini aku tiba di negeri kelahiran aku.

Sambil melayani perasaan kantuk, letih dan lapar, aku cuba menangkap setiap butir kata yang sedang keluar dari pembesar suara masjid. Seorang imam sedang rancak berbicara mengajak kita mengenal akan hakikat sebenar hidup kita. Kita yang tidak punya apa-apa. Kita yang sentiasa bergelumang dosa.

Sedang aku asyik mendengar, tiba-tiba imam itu mengajak semua para pendengar untuk mengucapkan istighfar. Ia bukanlah istighfar yang biasa-biasa tetapi penghulu segala istighfar, sayyidul istighfar. Andai kita cakna, pasti kita tahu tentang sayyidul istighfar ini. Istighfar yang disebutkan dalam sahih bukhari dan juga dipetik untuk diletakkan dalam kitab hadis empat puluh. Tidak lupa juga susunan mathurat oleh  Hasan al banna yang juga menyelitkan istighfar ini. Sebuah istighfar yang mengajak kita mengakui kesilapan diri serta mengingatkan  hakikat sebenar kehambaan kita sendiri dan diakhiri dengan pintaan keampunan daripada Ilahi.

Perasaan sebak dan sebu bertakung dilopak hati aku. Sudah lama aku tidak beramal dengan istighfar ini. Hanyalah seringkas-ringkas istighfar bermain dibibir. Seolah-olah tidak bersungguh-sungguh untuk meminta ampun. Sudah lama aku tidak berteleku seketiika selepas solat untuk bermuhasabah menginsafi diri. Semenjak bekerja di ladang ayam ini, aku seakan—akan makin jauh dariNya. Aku hanya mampu menggelengkan kepala.

 Aku tidak mahu mensia-siakan detik yang seketika ini. Dalam dingin pagi ini, aku betul-betul cuba untuk menghayati istighfar yang suatu ketika dahulu setiap hari bermain dibibir aku. Harapnya aku mampu untuk beramal kembali dengan amal yang satu ini.  Insha Allah…

Ok, ayah aku sampai dah ni…aku balik rumah dulu…

Thursday, April 9, 2015

Futsal Alumni

Alhamdulillah,

Dengan nikmat tuhanku, aku masih lagi mampu untuk hidup seperti biasa, normal tanpa sebarang halangan yang menyesakkan.

Kedatangan bulan april 2015 sangat aku nantikan. 4 April merupakan tarikh keramat untuk aku berkumpul kembali bersama-sama teman sewaktu sekolah menengah dulu. Alumni kami telah mengadakan kejohanan futsal alumni bagi tahun 1436H. Kesempatan ini kami gunakan untuk berkumpul pada malam sebelumnya untuk mengeratkan silaturrahim antara kami. Pelbagai cerita suka dan duka kami kongsikan. Masing-masing seperti tidak cukup mulut untuk bercerita perihal masing-masing.

Dan aku berasa sangat suka mendengar cerita-cerita mereka. Masing-masing sudah mula membina karier dan berjaya dalam hidup. Ramai yang mempunyai kerja yang stabil, kereta jenama luar negara dan yang paling aku iri hati, ramai yang sudah berkeluarga dan berzuriat.

Rakan-rakan aku juga sudah mula menunjukkan kematangan masing-masing dalam berbicara dan ada diantara mereka yang sudah berjawatan besar dalam organisasi masing-masing. Kami berbual-bual sehingga awal pagi sebelum seorang demi seorang berundur untuk melelapkan mata.

Keesokan harinya, seawal jam 9 pagi. Kami mula beraksi menentang pasukan senior dan junior. Suasana sungguh meriah dengan satu lagi program juga dijalankan disana. Acara yang melibatkan PASTI. Selesai bermain futsal, masing-masing mula mengundurkan diri seorang demi seorang.
Aku juga mula meninggalkan pekarangan homestay sesudah membersihkan diri dan menunaikan solat.

 Dalam perjalanan pulang, pelbagai perkara bermain dibenak fikiranku. Aku terasa suatu perasaan iri hati dan cemburu yang sangat tebal bermain didalam hati aku.

Manakan tidak, melihat semua rakan-rakan sudah berjaya dan senang hati. Aku mengeluh sambil termenung di sepanjang perjalanan pulang. Aku mengeluh mengenangkan nasib hidup. Aku mengeluh mengenangkan banyak impian yang tinggal angan-angan. Aku mengeluh mengenangkan sedikit susah yang aku hadapi. Keluhan demi keluhan yang diluahkan hanya menambahkan lagi beban fikiran.


Tersentak seketika…

Lalu aku beristighfar…


Thursday, February 19, 2015

TGNA


Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat ilahi untuk hari-hari yang telah lepas, hari ini dan juga hari-hari yang mendatang kerana atas nikmat kurnianya…..


Pada malam ini, aku tidak dapat melelapkan mata. Aku telah mencuba sedaya upaya untuk tidur melayari alam mimpi namun mata aku, hati aku dan perasaan aku seakan-akan tidak membenarkan. Nama dan perwatakannya bermain dalam minda aku. Sedikit perasaan sayu mula menjalar di setiap pelusuk sangkar perasaan aku. Bagi aku insan ini sungguh istimewa walaupun terdapat sesetengah manusia yang tidak sependapat dengan aku.


Perasaan sayu yang semakin memberat ini melahirkan rasa hiba dan sedikit sebanyak air mata bertakung di tubir mata aku. Masya Allah. Sungguh agung tuhanku kerana walaupun tidak pernah bersua muka dan dia langsung tidak mengenali insan kecil seperti aku ini, namun begitu sedikit perasaan aku berjaya dicuri oleh insan ini.


Insan yang dikagumi ini banyak peranan dalam menjadi contoh dan juga mengubah sistem hidup masyarakat ke arah yang benar, insya Allah. 


Ya, aku merasa sedih atas pemergiannya namun aku juga berasa gembira kerana dia telah kembali kepada penciptaNya.  



Semoga roh arwah tuan guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dicucuri rahmat.




Al fatihah

Saturday, February 14, 2015

Pantai Kelulut dan Sani



      
                  Pantai Kelulut dipenuhi ramai orang pada petang itu. Maklumlah hari Jumaat. Pasti ramai orang keluar berjalan-jalan melepaskan penat lelah setelah bertungkus-lumus bekerja sepanjang minggu. Sani tengok mereka kelihatan ceria sewaktu melangkah keluar dari kenderaan masing-masing. Tidak kiralah dari kereta yang besar dan mewah sehinggalah kepada kereta kecil dan buruk, masing-masing kelihatan begitu ceria bersama-sama teman masing-masing. Ada yang datang bersama keluarga dan anak-anak kecil  dan ada juga yang datang bersama pasangan kekasih masing-masing. Di hujung medan selera sana, Sani nampak budak-budak muda kampung yang sedang asyik menyanyi sambil salah seorang daripada mereka memetik gitar. Begitulah rutin harian mereka. Bertapa diatas kapcai masing-masing dibawah pepohon ru sambil bernyanyi sehingga senja. Mereka tidak pernah penat dan merasa bosan kerana bayu laut yang saban hari membelai tubuh mereka sungguh mendamaikan.

                 Namun begitu, Sani perasan ada juga mereka yang duduk menghirup udara segar berseorangan. Sani juga nampak ada yang duduk termenung sambil menyedut perlahan-lahan air kelapa muda sejuk yang tersedia. Agak Sani, mereka ini pasti tergolong dalam golongan mereka yang sedang menghadapi krisis hidup, sedang berfikir akan kesulitan hidup yang sedang dilalui. Sani tersenyum sumbing kerana Sani juga begitu. Duduk berseorang menghadap pantai Kelulut sambil merenung Pulau Kapas yang berada di tengah laut sana. Sani bukanlah terlalu sulit hidupnya, tetapi sani berasa jiwa mudanya kosong. Sejak dia bergraduasi dalam bidang Diploma Seni Lukisan, Sani hanya bekerja kampong. Masih belum terbuka peluang untuknya berhijrah ke mana-mana menimba ilmu dalam alam pekerjaan. Sani menyedut air kelapa muda yang sudah tawar oleh cairan ais itu sehingga ke titisan terakhir lalu bangun meninggalkan medan selera itu. Senja sudah hampir tiba dan sani tidak mahu lewat pulang ke rumah kerana tidak mahu mendengar bebelan emaknya yang cukup pantang anak-anaknya berjalan-jalan diwaktu senja.

                  Musim tengkujuh sudah tiba. Di Terengganu, musim tengkujuh akan menjelma pada hujung tahun setiap tahun. Pada waktu ini,hujan akan turun hampir setiap hari dan apabila sungai, parit-parit besar dan paya sudah dipenuhi air, banjir akan terjadi. Air akan melimpah seolah-olah sudah tiada tempat lagi untuk ia mengalir pergi. Penduduk di sini sudah lali dengan banjir yang terjadi saban tahun ini. Bagi sani pula, apabila tengkujuh menjelang tiba, dia pasti akan bersedia dengan peralatan memukat ikannya. Pukat-pukat yang koyak akan disulamnya kembali.  Pada waktu begini, apabila air paya melimpah pasti banyak ikan-ikan yang bermain, keluar dari lubuk persembunyian sewaktu musim kemarau.

                   Sani terbayang akan keenakan memakan pulut kelapa berlaukkan ikan haruan, puyu, selat atau lampam goreng ditambah pula dengan kopi 0 yang berasap disebelah pagi.  Petang-petang pula dapat makan pengat atau ubi rebus.  Sudah menjadi lumrah di musim tengkujuh ini, ubi kayu, ubi torok, ubi keledek, ubi keladi, ubi tempayan manis, ubi besar atau ubi keling pasti akan laris dijual dipasar-pasar basah sekitar tanah warisan pesisir pantai ini.

*********************************************************************************

                   Pagi itu, hujan masih turun walaupun tidak selebat semalam. Semalam emak dan ayah Sani tidak lena tidur kerana hujan yang terlalu lebat. Mereka risau air akan naik ke dalam rumah. Sani memeluk tubuh yang dibalut baju berlengan panjang yang lusuh itu sambil berkira-kira waktu yang sesuai untuk dia turun ke baruh melihat jaring yang dipasang petang semalam. Untung-untung dapat bawa pulang ikan darat untuk dibuat lauk siapa tahu.

“Ah, rezeki itu ditangan tuhan, cuma tinggal usaha milik kita,”Sani bermonolog sendirian.

“Hoi, kau buat apa duduk termenung tu. Daripada duduk termenung, baik tolong mak kukur kelapa ni,”sergah emaknya, Mak Yam.

“Emak hendak buat apa kelapa kukur tu?” soal Sani yang sememangnya liat mahu mengukur kelapa menggunakan kukuran itu.

“kenapalah tak ada mesin kukur kelapa kat rumah ni. Kalau tak, seminit dua sudah siap kukur kelapa,” Sani merungut sendirian.

“Hah, kau pergilah kedai eletrik kat Bukit Payong tu. Belikan satu. Mak pun senang hati kalau ada mesin tu. Cepat sikit kukur kelapa tu. Emak nak tanak pulut. Lepas tu makan dengan kelapa parut.  Nak goreng ikan darat tak ada. Ada orang tahan jaring tak pergi tengok. Duduk termenung je kerjanya,” bebel Mak Yam panjang lebar apabila terdengar rungutan Sani.

                   Mak Yam sebenarnya sedikit susah hati dengan keadaan Sani yang belum mendapat kerja yang sesuai dengan bidang seni lukisan yang diambilnya. Dia sangat tidak suka melihat Sani bekerja kampung, menahan jaring dan selalu melepak di Pantai Kelulut itu. Dia bimbang anaknya itu terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak elok.

“Eh, memang orang nak pergi tengok jaring tu. Tunggu hujan reda. Tengok ni, barang semua sudah siap,”Sani cuba membela dirinya sambil menunjukkan sebilah golok usang dan satu plastik beras yang akan diguna untuk mengisi ikan nanti disebelahnya.

                      Sani dengan malasnya mengukur kelapa dengan kukuran pusaka arwah neneknya sambil menguap menahan kantuk.

                      Sesudah mengukur kelapa, Sani mencapai golok dan plastik beras lalu turun ke tanah. Dimulutnya terselit sebatang rokok yang masih belum dinyalakan. Cadangnya mahu dinyalakan didalam semak nanti buat menghalau nyamuk-nyamuk yang berkeliaran mencari mangsa. Baruh yang dituju terletak hanya diseberang jalan rumahnya tetapi Sani perlu juga menempuh semak-semak kecil sebelum sampai kesana.  Selang beberapa langkah Sani berjalan, dia berhenti. Dia mengambil rokok dimulutnya lalu dipatahkan kepada dua bahagian. Bahagian yang pangkal diletak kembali dicelah bibirnya manakala satu bahagian lagi diambil lalu ditenyeh kepada kedua-dua batang betis dan kakinya. Ini petua orang-orang dahulu untuk mengelak pacat hinggap dikaki. Kalau tak ada, rokok atau tembakau, limau nipis boleh juga diperah dan ditenyeh pada kaki. Petua ayahnya pula, melumur betis dan kaki dengan abu tempat bakar sampah. Katanya nanti, pacat pedih mata bila tersentuh abu itu. Sani pun hairan sebenarnya, pacat itu seperti tiada mata. Macam mana ayahnya boleh berkata begitu. Macam-macam akal penduduk di tempatnya ini untuk memudahkan kerja seharian.

“Ah mungkin ayah juga mengambil petua orang-orang dahulu sebelumnya,” telah Sani dalam kehairanan.

                      Sani turun perlahan-lahan ke dalam baruh. Air baruh yang begitu dingin itu menyebabkan seluruh tubuhnya menggeletar. Namun begitu sejuk air yang berbau lumpur itu tidak langsung menggugat perhatian Sani pada jaringnya. Hampir separuh pelampung jaringnya yang berada dibahagian tengah tenggelam. Kebiasaannya apabila pelampung itu tenggelam, itu menandakan ikan besar ada yang tersangkut di jaring.

“Besar sangat ke ikan yang tersangkut ni sampai hampir separuh pelampung tenggelam,” Sani tertanya-tanya sambil mengharapkan bapak haruan ataupun keli limbat yang tersangkut.

                       Sani semakin hairan bercampur sedikit takut apabila melihat jaringnya bergoyang-goyang dengan kuat membuatkan air baruh itu beralun. Sani bergerak perlahan-lahan kearah jaring itu. Sani merendahkan badannya sehingga air baruh itu hampir memasuki rongga mulutnya. Sani mencapai bahagian bawah jaring itu sambil mengangkatnya perlahan-lahan. Beginilah yang selalu diajar ayahnya agar ikan tidak terlucut daripada jaring.

“Cis, celaka,”Sani bertempik kecil apabila yang disangkanya ikan besar tersangkut dijaring rupanya seekor ular.

                      Sani cepat-cepat melemparkan jaringnya. Sani rasa itu ular sawa kerana corak dan warnanya seperti ular sawa. Sani memegang hujung jaringnya lalu  dia perlahan-lahan menarik membawa jaringnya naik ke darat. Sani tergamam seketika melihat ular sawa yang berbatik-batik itu sedang menggeliat-geliut akibat dijerut oleh jaring Sani. Sani bukanlah biasa sangat dengan ular. Geli pun ada. Sani tengok ular itu dalam tujuh atau lapan kaki juga panjangnya.

“Ah kacau. Sekor ikan pun tak lekat. Ini binatang ni punya sial lah,” Sani bercakap seorang diri menyalahkan ular sawa itu sambil meludah membuang kahak ke dalam baruh.

                     Sani pulang ke rumah dengan hampa setelah langsung tidak mendapat ikan hari tu. Namun begitu dia membawa pulang ke rumah ular sawa yang tersangkut di jaringnya. Dia berjalan-jalan sambil bersiul-siul kerana dia sudah tahu apa yang mahu dilakukan dengan ular sawa itu. Ular sawa yang berada di dalam plastik beras itu kelihatan menggelupur untuk melepaskan diri namun tidak berjaya kerana plastik beras itu telah dijerut dengan kemas oleh  Sani.

                     Mak Yam menjerit kecil sewaktu melihat kandungan plastik beras itu. Mak Yam berasa geli melihat ular itu.

“Bertuah punya budak. Apa yang kau bawak balik ni. Bukannya boleh digoreng. Bukannya boleh dibuat gulai. Kau nak buat apa? Baik kau pergi buang sebelum ayah kau balik,”cakap Mak Yam dalam nada yang kegeraman.

“Eh, kenapa nak buang. Orang tahulah nak buat apa,” balas Sani bersahaja.

“Suka hati kaulah Sani. Cakap mak bukannya kau nak dengar. Begitulah bila dah besar. Dah tak mahu nak dengar kata-kata orang tua. Sudah pandai agaknya,” malas Mak Yam nak melayan kerenah anak tunggalnya itu. Dia sudah besar. Sudah suku abad umurnya. Sudah layak mengundi. Tidak kisahlah dia mahu undi bendera hijau ataupun bendera biru.

                    Sani sengaja memekakkan telinga terhadap luahan rasa Mak Yam. Dia kenal emaknya itu. Selalu sangat emaknya itu seakan-akan merajuk tapi itu semua hanya sementara.  Sekarang, perut Sani sudah lapar. Matanya hanya tertumpu di atas meja makan. Kecur liurnya melihat pulut yang masih panas beserta kelapa parut yang telah dicampur gula dan garam oleh emaknya. Sani menghirup kopi o yang telah suam sambil menjeling ke arah plastik beras yang terdapat di penjuru dapur.  Sani tersenyum sambil terbayang apa yang akan dilakukannya petang nanti.

“Rezeki aku ni,” bisik Sani perlahan.

                    Sani menenyeh-nenyeh matanya sambil menjeling ke arah jam dinding yang telah menunjukkan pukul enam petang.

“Ah, aku sudah lambat ni,” Sani mengeluh sendirian.

                    Sani cepat-cepat menyarungkan baju kolar bulat lusuh dan sepasang seluar jeans tiada jenama yang dibelinya di kedai bundle pekan Bukit Payong. Dia turun ke dapur lalu mencapai plastik beras yang berisi ular sawa yang diperolehinya pada pagi tadi lalu beredar meninggalkan pekarangan rumahnya dengan motosikal buruk Honda c70 yang merupakan pusaka arwah  datuknya.

                    Sani menunggang motosikal itu dengan perlahan-lahan sambil bersiul-siul. Sesekali dia mengangkat kepala apabila terlihat kenalannya. Sani sebenarnya dalam perjalanan ke rumah abang Mael. Dia ada sedikit urusan dengan abang Mael. Rumah abang Mel tidaklah terlalu jauh dari rumahnya. Dia hanya perlu melalui satu simpang untuk ke rumah abang Mael.

“assalamualaikum,” sani memberi salam sebaik sahaja tiba di depan rumah abang Mael.

                    Kadang-kadang sani sedih melihat keadaan rumah abang Mael. Usang benar pada pandangan mata Sani. Sani tidak faham kenapa abang Mael tidak mahu membaiki rumahnya sedangkan abang Mael seorang tukang. Sani tengok dapur rumah abang Mael sudah senget. Kayu-kayunya ada yang sudah dimakan anai-anai. Dindingnya pula penuh dengan lubang-lubang.

“waalaikumussalam. Hah Sani, kau nak apa. Bukan senang nak tengok kau datang kat rumah abang ni. Maklumlah rumah buruk,” abang Mael menjawab salam seraya menyindir Sani yang memang tidak akan datang melawatnya jika tidak ada sebarang urusan.

“aku datang ni ada sikit benda nak cakap bang,” jawab Sani tanpa menghiraukan sindiran sepupunya itu.

                    Memang betul kata abang Mael. Dia memang jarang bertandang ke rumah abang Mael walaupun mereka sepupu. Emak abang Mael adalah kakak sulung kepada ayah Sani. Sani tidak tahu kenapa tetapi memang sejak kecil lagi dia tiada keinginan untuk rapat dengan sepupunya itu.

“Ada apa. Aku nak pergi ke pekan ni,” balas abang Mael yang seperti dalam keadaan tergesa-gesa.

                    Sani tersengih-sengih seperti orang gila sambil mengangkat tinggi plastik beras berisi ular sawa yang sejak tadi berada dalam raga motosikalnya.

“eh, besar jugak tu. Aku ingat ada dalam lima atau enam kilo. Kat mana kau dapat ni,”balas abang Mael sambil matanya kelihatan bersinar-sinar.

“adalah tu bang. Hah, macam mana ni. Aku ingat nak suruh abang tolong jualkan dekat cina Wakaf Tapai tu,”soal Sani.

“eh,  elok sangatlah tu. Aku pun nak ke pekan Bukit Payong ni. Nanti aku terus bawak pergi Wakaf Tapai,”abang Mael terus bersetuju untuk menolong Sani.


*********************************************************************************


                     Sudah seminggu Sani menunggu khabar dari abang Mael namun abang Mael seperti menyepi sahaja. Rasanya apabila berjual-beli ular dengan orang Cina Wakaf Tapai itu tiada hutang-hutang. Terus dibayar tunai. Sani buntu. Sani mengambil keputusan untuk berjumpa dengan abang Mael.

“ Buat apa menunggu seperti orang bodoh kalau boleh terus berjumpa dengan orangnya,” detik hati Sani.

                    Tanpa berlengah lagi, Sani terus berkunjung ke rumah abang Mael untuk bertanyakan perihal ular itu. Sewaktu sampai dihadapan rumah abang Mael, Sani lihat abang Mael sedang duduk termenung sendirian di serambi rumahnya.

“assalamualaikum bang. Macam mana dengan ular sawa yang aku suruh jual hari tu bang. Berapa ringgit tauke cina tu bayar?Dah dapat ke duitnya?” soal Sani bertalu-bertalu.

“oh sani, aku lupa nak beritahu kau. Tauke cina tu cakap ular sawa jenis yang kau tangkap tu tak laku. Tak ada orang mahu makan. Dah tu, aku buang lah ular sawa tu tepi semak sebelum balik rumah. Nak bunuh kesian pulak,” jawab abang Mael.

“eh tipu lah abang. Ada pulak macam tu,” Sani tidak percaya dengan cerita sepupunya itu.

“Betullah apa aku cakap ni. Takkan aku nak tipu kau,”abang Mael mengeraskan suaranya kerana Sani menuduhnya menipu.

“kalau macam tu tak apalah bang. Aku balik dululah,”Sani malas untuk berbalah dengan sepupunya itu sambil meminta diri untuk pulang sambil menunjukkan reaksi wajah yang tidak puas hati.

“Celaka punya sepupu. Langsung tak boleh percaya,” Sani menyumpah kegeraman.

                   Dia tahu abang Mael menipu. Dia tahu tauke cina Wakaf Tapai itu tidak pernah menolak kalau ada orang tempatan mahu menjual ular sawa. Tidak kisahlah ular sawa jenis apa pun. Tentu abang Mael dah guna habis duit jualan ular sawa itu. Sani pasti.

                   Malam itu Sani duduk termenung sendirian. Fikiran dia jauh melayang. Dia teringatkan tauke cina di Wakaf Tapai itu. Dia selalu juga mendengar cerita orang-orang kampungnya pergi ke Wakaf Tapai untuk menjual ular, tenggiling, lelabi dan juga kura-kura. Mereka kata sesetengah orang cina suka makan binatang-binatang semacam itu. Sani pun tidak pasti betul atau tidak sebab di sekitar kawasan kampung Sani dekat Marang, jarang Sani jumpa orang cina. Sani tidak tahu sangat macam mana cara hidup mereka. Cuma yang Sani tahu, ayahnya kata orang cina suka makan ikan ketutu. Ikan ketutu payah nak dapat sebab itulah harganya pun mahal. Ikan ketutu ini banyak namanya. Ada orang panggil ikan ubi dan ada juga orang panggil ikan hantu. Orang cina pula panggil ikan ini ikan soon hock.

                   Kadang-kadang terdetik juga di hati Sani untuk kenal dengan lebih dekat tentang orang cina ini tapi Sani tiada kesempatan. Tambahan pula, di Terengganu ini, orang cina tidak ramai. Setahu Sani, hanya beberapa tempat di Terengganu yang ramai orang cina. Satu di kawasan bandar. Orang panggil tempat itu Kampong Cina. Tempat-tempat lain ialah Wakaf Tapai, Kampung Tiruk dekat Serada dan juga di kawasan sekitar Kemaman. Sani mahu juga tahu apa perangai orang cina ini. Adakah mereka  juga sama seperti Sani dan juga orang-orang Melayu lain dan hanya berbeza warna kulit yang putih melepak dan juga mata yang sedikit sepet? Itu Sani tidak tahu dan perasaan ingin tahu dalam hati Sani semakin membuak-buak untuk tahu dengan lebih lanjut tentang kaum ini. Tetapi Sani tahu, selagi dia tidak bergaul dan tinggal di persekitaran yang bercampur dengan orang cina, dia tidak akan dapat menyelami sikap dan budaya mereka dengan sebenar-benarnya. Di Terengganu ini, terutama di kawasan kampungnya di Marang , cukup sukar untuk dia menemukan orang cina dan bergaul dengan mereka. Habis apakah caranya untuk kenal mereka ini?

“Ah, buat apa termenung seperti orang tiada arah hidup. Lebih baik aku tidur. Besok boleh bangun awal-awal pergi ke kedai cik wan makan nasi lemak panas sambal ikan tongkol dengan teh o panas,” Sani bermonolog sambil teringatkan keharuman nasi lemak Cik Wan yang sememangnya menjadi bualan penduduk daerah ini.  Ditambah pula dengan sambal ikan tongkolnya yang cukup manis, masin dan masam serta sedikit pedas itu. Sani berjalan masuk ke dalam bilik tidurnya lalu merebahkan badan  di atas tilam buruk, busuk dan empuknya itu lalu berjuang melelapkan matanya.


*********************************************************************************

                      Sani masih ingat lagi sewaktu dia kecil, dia dan sepupunya selalu dibawa oleh ayahnya bersiar-siar ke pantai kelulut ini. Di pantai ini ada taman permainan yang selalu menjadi tumpuan pengunjung kanak-kanak. Namun begitu, Sani tidak seperti kanak-kanak lain. Dia tidak suka bermain permainan-permainan itu. Sani lebih gemar berjalan kaki menyusuri pantai itu sambil terbongkok-bongkok mengutip cangkerang-cangkerang yang banyak hanyut di tepi pantai itu.

“Sani, kenapa tak pergi main dengan Afiq kat sana?” soal ayah Sani apabila melihat anak tunggalnya itu asyik mengutip cangkerang-cangkerang itu.

“Tak nak. Orang tak suka main benda-benda tu. Orang suka tengok cangkerang-cangkerang ni.
Cangkerang ni ada banyak warna ayah. Ada yang warna ungu, warna oren. Yang warna biru pun ada. Cuba ayah tengok yang sana. Yang itu ada warna campur-campur. Nanti nak bawak balik. Nak suruh mak letak atas gerobok tv,” jawab Sani panjang lebar. Sani tersenyum melihat ayahnya dan ayahnya menyambut senyuman Sani lalu  mengusap-usap kepala anaknya itu. Dia senang hati melihat Sani petah berbicara.

                      Sani tersenyum seorang diri mengingatkan kembali nostalgia silam yang datang menggamit secara tiba-tiba.  Sani tidak mengerti kenapa tetapi semenjak kebelakangan ini semakin kerap dia berkunjung ke pantai ini. Sewaktu Sani asyik melayani perasaan ini, sebuah kereta berhenti tidak jauh dari tempat duduknya. Dua orang gadis keluar dari kereta itu lalu duduk di meja yang paling hampir dengan kereta mereka. Kedua-duanya berbangsa cina. Demi terpandang mereka berdua, fikiran Sani menerawang kembali memikirkan sikap sesetengah orang kampung atau mereka yang berada disekelilingnya yang bagi Sani berfikiran kolot. Yang paling Sani ingat adalah kata-kata Seman, teman sekampung yang tua lima tahun.

“Ah, kau jangan layan sangat orang cina ni. Depan kita bukan main manis mulut tapi belakang kita, tak ada benda baik keluar dari mulut diorang,”Seman seakan-akan meninggikan suara sewaktu bercakap di kedai makan Cik Wan.

“Aku tahu perangai mereka. Aku pernah kerja dengan tauke cina. Duduk sekali dengan mereka. Aku ni memang jadi macam kuli. Macam tak ada harga diri. Kalau berniaga dengan orang kita, menipu saja kerjanya,”Seman berterusan memburukkan kaum ini. Mereka yang lain hanya mendengar sambil sesetengahnya mengangguk dan tiada yang mahu membantah kerana sememangnya mereka tidak tahu sangat tentang orang cina ini. Mereka hanya tahu orang cina suka makan babi dan sambut Tahun Baru Cina.


*********************************************************************************


                        Pada petang itu, buat kesekian kalinya, Sani termenung di pantai kelulut. Sani berasa sangat bosan tinggal di kampung. Dia sudah tidak tahu apa lagi yang mahu dibuat. Makan dan tidur memang sudah menjadi rutin hariannya. Kebuncitan perutnya juga sedikit sebanyak meresahkan hatinya.  Dia juga berasa bosan dan kesian dengan emaknya. Bosan dengan bebelannya tetapi kesian dengan perasaan dan naluri seorang emak terhadap anaknya yang belum ada arah tuju.

                       Disaat ini, Sani berasa sangat ingin untuk berhijrah keluar dari tempatnya ini. Keluar menimba pengalaman, mencari rezeki untuk sebuah penghidupan seandainya nanti terdetik dihatinya untuk memulakan sebuah keluarga yang diharapkannya keluarga bahagia.

                       Perasaan ingin berhijrahnya semakin meronta-ronta apabila melihat seorang sepupunya yang pulang bercuti ke kampung. Sepupunya itu bekerja di Kulai, Johor dalam bidang penternakan. Muka sepupunya itu kelihatan ceria walaupun tubuhnya kurus kering tidak terurus seperti penagih dadah.

“kurang makan agaknya,” detik hati Sani.

                       Sewaktu sani sedang khusyuk menikmati ikang celup tepung, bahunya dipegang lembut dari belakang.

“eh, lapak sorang-sorang ke bang,” terdengar suatu suara yang agak asing pada pendengaran Sani.
Sani berpaling kebelakang lalu tersengih apabila melihat kawannya sewaktu belajar dulu berada di belakangnya.

“eh Hafiy, kau buat apa kat sini. Kau cuti ke? Kau datang sorang ke? Hah, duduklah. Minum sekali dengan aku,” Sani bertalu-talu mengajukan soalan kepada Hafiy sambil Hafiy mengambil tempat disebelahnya.

                       Hafiy adalah rakan Sani sewaktu belajar dahulu. Sekarang Hafiy sudah bekerja di Ipoh, Perak. Dia bekerja dengan sebuah syarikat gergasi mempromosikan produk minuman herba.

“Eh seronok kau kerja disana. Ada amoi-amoi cun tak?Aku dengar amoi Ipoh ramai yang lawa-lawa”Sani  cuba bergurau dengan Hafiy.

                      Hafiy hanya ketawa mendengar soalan Sani. Hafiy akui di tempat kerjanya dan di sekitar Bandar Ipoh, dia banyak bergaul dengan orang cina. Namun begitu, tidaklah dia bermata keranjang mahu mengejar anak dara orang.

“Eh, macam mana orang Cina dekat sana. Betul ke kata si Seman yang orang Cina memang perangainya teruk-teruk. Asyik melebihkan sesama mereka?” Sani cuba melampiaskan rasa ingin tahunya ke atas Hafiy.

“Entahlah, aku tak tahu pulak. Aku ada juga dengar cerita-cerita macam tu. Tapi orang-orang cina yang kerja sekali dengan aku tak pulak macam tu,” balas Hafiy bersahaja sambil menyisip air limau nipis ais yang sudah semakin cair aisnya itu.

“ tapi yang aku perasan, mereka ni hormat antara satu sama lain. Selagi kau jaga hak kau, kau jaga hak mereka, mereka memang boleh dibuat kawan. Ramai juga cina yang baik dengan aku. Kadang-kadang aku lepak juga dengan mereka ni,”Hafiy mula menampakkan kesungguhan dalam bicaranya.

                     Pada malam itu, Sani banyak mendengar cerita Hafiy berkenaan kaum cina. Kebanyakan ceritanya positif. Kaum cina itu jika kena pada tempatnya boleh dibuat kawan. Jika rasa hormat itu ada, tiada apa perlu dibimbangkan. Sani hanya menganggukkan kepala tanpa mengiyakan mahupun membantah kerana kaum ini asing baginya.


*********************************************************************************

             Akhirnya peluang terbuka untuk Sani apabila sebuah muzium yang banyak mempamerkan karya lukisan di Johor Bahru menawarkan kerja sebagai pembantu kurator muzium itu.
Malam itu, Mak Yam dengan suaminya menghantar anak tunggalnya itu ke stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dengan hati yang sayu. Akhirnya berpisah juga mereka. Sani melambai perlahan-lahan ke arah emak dan ayahnya dari dalam bas sewaktu bas mula bergerak. Gerimis musim tengkujuh menghasilkan aliran air di luar cermin tingkap bas ekspres Syarikat Pengangkutan Bumi yang perlahan-lahan membelah kegelapan malam itu.

             Sewaktu melewati Pantai Kelulut, Sani lihat pepohon ru berayun perlahan-lahan seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

“kau jaga diri elok-elok. Nanti aku balik, aku akan datang melawat engkau lagi,” Sani berbisik perlahan seolah-olah Pantai Kelulut itu teman baiknya.

             Mungkin jika Sani keluar merantau, pulangnya nanti pantai kelulut sudah hanya tinggal nama. Tidak lagi cantik, terhakis dan banyak sampah kerana tanda-tanda ke arah itu sudah kelihatan. Tiada lagi warna warni cangkerang di pantai itu untuk generasi selepas Sani nikmati. Sani memejam mata lalu menarik nafas sedalam-dalamnya sambil membayangkan agar kemungkinan-kemungkinan yang difikirkannya tadi tidak terjadi. Bas ekspres yang dinaiki meluncur laju membawa harapan sekalian manusia yang sedang enak dibuai mimpi di dalamnya. Suramnya harapan, terangnya impian hanya tuhan yang tahu.