Saturday, May 31, 2014

Aku perlu

Takziah diucapkan kepada kerabat diraja Perak dan juga seluruh rakyat negeri Perak atas kemangkatan sultannya, Sultan Azlan Shah

Sesungguhnya berita ini sedikit sebanyak menimbulkan perasaan sayu dalam hati aku. Kematian seorang pemimpin pastilah meninggalkan kesan yang mendalam di hati rakyat jelata khususnya rakyat di negeri Perak.

Dan seruan untuk menyedekahkan al fatihah berkumandang di corong radio, di kaca tv dan juga laman sosial dan surat khabar. Itu belum dikira dengan seruan yang dibuat di masjid, majlis-majlis dan sebagainya. Sungguh beruntung pemimpin-pemimpin yang dikenali, dihormati dan disanjungi ramai ini.

Aku juga, pada malam itu mendengar alunan bacaan yaasin yang diputarkan di stesen radio tempatan dan semuanya disedekahkan kepada almarhum sultan. Pasti ramai yang bersedekah al fatihah untuk almarhum sultan. Alhamdulillah. Indah.

Semua perkara ini membuatkan aku terfikir seandainya kematian itu menjemput manusia biasa seperti kita, seperti aku. Adakah nasib aku akan sama seperti para pemimpin ini? Disedekahkan dengan suci al quran oleh ribuan muslim?

Bagiku, jawapannya pasti tidak. Jadi, mampukah dengan secebis amal setimbun dosa yang kita lakukan ini, membawa kita kepada aman di dalam kubur dan di akhirat sana?

Hanya mengharapkan doa-doa dan ayat-ayat suci al quran dari orang disekelilinglah untuk sedikit sebanyak membantu kita. Oh, maafkan aku. Untuk membantu aku, bukannya kita.

Aku mengambil sedikit masaku untuk dimanfaatkan bagi berfikir tentang orang disekelilingku. Sudikah mereka untuk bersedekah kepadaku?  Adakah kehadiran aku selama ini disisi mereka mampu melembutkan hati mereka untuk membaca ayat-ayat suci untukku?

Astaghfirullah…Ya Allah,  lembutkanlah hati-hati orang disekelilingku untuk bersedekah kepadaku akan ayat-ayat sucimu seandainya aku pergi dahulu sebelum mereka. Hanya Engkau yang tahu betapa perlunya aku akan hal ini.


Thursday, May 22, 2014

Mahu percaya


Aku melangkah dengan senang hati ke dalam bank Maybank Simpang Renggam. Sambil bersiul aku mengeluarkan kad ATM lalu aku memeriksa baki wang  di dalam akaunku. Aku tersenyum melihat jumlah yang ada.

Senyumku bukanlah tanda baki wang yang bertimbun tetapi senyumku kerana gaji sudah masuk. Alhamdulillah syukur. Masih ada rezeki untukku bulan ini.

Aku menapak keluar dari bank dan aku terlihat seorang lelaki lingkungan dua puluhan yang kurus dan tidak terurus. Dia sedang meminta sedekah dan sedari tadi langsung tiada yang berminat untuk memberi sedekah.

Aku menggamit jari jemariku agar lelaki itu mampir ke arahku.  Aku memulakan perbualan dengannya.

Aku: Kau buat apa kat sini

Dia: Duduk saja, saya lapar. Sakit batu karang.

Lalu dia menyelak bajunya menunjukkan fizikalnya yang kurus itu.

Aku: Kau duduk mana?

Dia: Belakang ni je

Aku: Mak ayah kau mana

Dia: Mak ayah saya dah tak ada. Saya yatim piatu.

Aku: Kau duduk soranglah?

Dia: Haah, rumah pun dah tak ada duit nak bayar sewa. Api ngan air pun dah kena potong. Nak cari duit nak beli lilin.

Aku: Kenapa kau tak kerja? Duduk kat sini je.

Dia: Sapa nak ambik saya kerja. Sakit. Kurus tak larat nak buat kerja.

Aku: Kau dah makan belum? Jom ikut aku, kita makan sekali. Kau biasa makan kat mana?

Dia: tak tahu. Ikut abang ah nak makan kat mana.

Aku: Hah, ambik ni. Dah pergi balik. Lepas ni aku tak nak tengok kau duduk kat sini.

Dia: Ok lah bang, terima kasih.

Aku berpusing seketika untuk mengambil helmet dari raga motorku. Apabila aku berpaling, dia sudah hilang.

“Lantaklah,”kata hatiku.


Dan kemudiannya aku terimbau kembali kisah-kisah yang pernah aku alami dan inilah sinopsisnya.

Di hentian putra, aku baharu sahaja melangkah keluar dari surau apabila seorang lelaki tua mampir kearahku. Dia bertanya khabarku dan mengajak aku berbual-bual dengannya. Kemudiannya, dia meminta wang dariku sambil mengatakan dia ditinggalkan saudaranya. Pak cik itu memberitahuku dia sebenarnya dalam perjalanan untuk membuat rawatan di kuala lumpur kerana mengidap penyakit sambil menunjukkan surat pengesahan dari doktor yang sudah agak kusam dan kekuningan. Iyalah, mungkin sudah ditunjuk dan dijaja kepada ramai orang.

Ianya juga seperti kisah seorang pakcik lingkungan 40-an juga di hentian putra yang meminta ehsanku kerana katanya mahu balik ke Seremban tetapi tiada duit yang cukup. Dia juga menyelitkan sedikit cerita yang mungkin mampu meruntun jiwa mereka yang percaya.

Aku juga teringat kisah seorang budak yang tidak cukup duit di kuala Terengganu yang baru pulang dari johor menaiki bas. Budak itu menceritakan yang dia mahu turun di dungun tetapi terlajak turun di kuala Terengganu kerana tertidur. Dia meminta sedikit wang untuk  kembali ke dungun.

Kesemua kesudahan cerita ini adalah mereka berjaya mendapat wang dariku. Terlalu sukar untuk aku mengatakan tidak kerana seandainya betul cerita jajaan mereka, dan seandainya aku membuat keputusan untuk tidak percaya, aku telah menidakkan peluang yang telah Allah buka untuk aku membuat sedikit kebaikan terhadap insan lain.

Namun begitu, aku juga pernah terfikir, mungkinkah muka aku yang kebudak-budakan ini menjadi easy target kepada golongan-golongan seperti ini?

Entahlah,

Hanya Dia yang maha mengetahui.  

Thursday, May 8, 2014

Si gadis comel Aina

Aku dengan penuh sabar menunggu bas di perhentian bas Bukit Batu. Beberapa orang remaja dan seorang tua turut berada disana menunggu ketibaan bas untuk ke Larkin. Haba panas sinar mentari memang cukup memeritkan. Aku menggenyeh mataku yang tidak gatal sambil menelan liur menahan dahaga yang semakin gila menggeletek tekakku.

Mata aku galak melihat tebu-tebu yang sedang digelek dicelah-celah batang besi mesin pemerah di seberang jalan sana. Air yang kehijau-hijauan berjejes memasuki bekas yang disediakan. Buih-buih halus terhasil oleh kocakan air tebu itu. Aku menelan liurku sambil terbayang akan kenikmatan seandainya air yang dingin dan manis itu menerjah kerongkongku.

Sewaktu aku sedang berkira-kira untuk  menyeberang jalan membeli air tebu itu, kelibat bas kelihatan. Aku hanya mampu merenung sayu ke arah gadis penjaja itu sambil melemparkan senyuman lesu. Hajat untuk meneguk manisan tumbuhan itu tidak kesampaian.

“cis, dari tadi tunggu tak sampai. Sekarang baru sampai. Bengonglah,”marah hatiku.

Aku berada paling belakang dalam barisan yang beratur untuk menaiki bas itu. Hari ini bas tidak sesak. Tidak ramai orang keluar agaknya. Suasana didalam bas agak lengang. Masing-masing sibuk melayani perasaan sendiri. Aku juga tidak terkecuali. Aku memilih tempat duduk ditepi tingkap untuk melayan perasaan sambil menikmati pemandangan sepanjang dari bukit batu ke larkin itu. Ladang-ladang sawit, ladang sayur, nurseri bunga, kilang-kilang, perumahan dan deretan rumah kedai menjadi habuan mataku hari itu. Aku juga tersenyum mengenangkan aku bakal bertemu sahabat-sahabat lama keesokan harinya. Aku sebenarnya dalam perjalanan untuk menghadiri perjumpaan semula dengan rakan-rakan sekolah menengahku.

Sedang aku sibuk berkhayal, bas berhenti untuk mengambil penumpang. Aku hanya sekadar menjeling kearah penumpang yang seorang-demi seorang menaiki bas.  Kemudian aku menyambung lamunanku. Tiba-tiba mata aku tertancap pada satu kelibat gadis yang turut naik ke dalam bas ini. Hrm, manis dan comel juga orangnya. Aku menjeling manja ke arahnya sambil dia tersenyum melihat gelagatku.

Ok, itu tipu. Aku hanya menjeling sekilas lalu kembali melihat keluar cermin. Gadis yang pakaiannya mampu menggiurkan mana-mana lelaki bermata setan bernafsu haiwan itu mengambil tempat duduk dihadapan aku.

Dan aku cukup terganggu kerana dia telah mencemarkan pemandangan aku. Tiap kali aku ingin melihat keluar cermin, pasti aku terlihat bayangan sebelah mukanya yang tembam, licin dan putih itu di cermin bas.

“ah, mengganggu betul,”desis hati kecilku.

Selang tidak berapa lama kemudian, gadis dihadapan aku itu kelihatan seakan-akan gelisah dan seperti tercari-cari sesuatu. Hampir setengah jam dia berkelakuan seperti itu. Perasaan ingin tahu aku membuak-buak. Apa yang dicari gadis ini? Gadis itu pergi sampai ke hadapan bas sambil mencari-cari sesuatu. Dia kembali ke tempat duduknya sambil menunjukkan wajah kecewa. Aku memberanikan diri untuk bertanya kepada gadis itu.

“awak cari apa?” tanyaku.

Gadis itu kelihatan terpinga-pinga sambil memandang ke arah aku. Lidahnya seakan-akan kelu untuk menjawab pertanyaanku.

“saya tanya, awak cari apa?” aku mengulang pertanyaanku.

“eh, oh ye. Saya cari beg duit saya. Tercicir agaknya,” balas gadis itu dalam nada kerisauan.

“awak nak pergi mana, habis awak nak buat macam mana,”aku menyoalnya.

“itulah. Saya nak pergi jumpa kawan sekejap. Tak tahu nak buat macam mana. Nanti nak ambil teksi lagi nak pergi rumah kawan saya,”jawabnya.

Aku hanya tersenyum dan kemudian menyandarkan kepalaku di kusyen bas itu. Aku diam dan berfikir sejenak.

“eh awak,awak. Macam nilah. Awak pakai duit saya dulu,”saranku sambil mengeluarkan sekeping not 50.

“eh takpe, nanti saya pinjam duit kawan saya,”gadis itu menolak dengan lembut.

“boleh saya duduk sebelah awak?”aku semakin berani mengorak langkah.

“Boleh,”gadis itu teragak-agak ketika menjawab.

“awak nama apa?” aku bersahaja bertanya.

“kuntum,awak?”

Aku seperti ingin gelak guling-guling apabila mendengar namanya. Klasik sungguh. Kenapa kau tak pakai baju kurung kedah, pakai sarung dan berkerubung kain batik sahaja.

“syahir,”balasku sambil menahan tawa.

“kenapa awak tak nak ambil duit ni. Nanti apa-apa hal takde duit susah,” aku menyoalnya.

“takpe lah, nanti saya pinjam duit kawan saya je,”kuntum masih tak mahu menerima pemberianku.

Sebenarnya aku mengerti. Sudah tentu sukar untuk seorang gadis menerima duit dari seseorang yang tidak dikenali. Pelbagai anggapan dan sangkaan pasti bermain difikirannya.

“awak tahu tak kenapa saya murah hati je nak bagi duit dekat awak?” soalku lagi.

“tak. Kenapa?”

“sebenarnya macam pelik jugak bunyinya, tapi saya rasa suka nak bagi duit dekat awak sebab awak comel. Betul sebab awak comel. Itu je. Awak tak payah susah hatilah. Awak terima je. Saya tak harapkan apa-apa pun. Lagipun awak tak kenal saya, saya tak kenal awak. Tak payah awak rasa terhutang budi. Kita tak akan jumpa pun selepas ni. Tak adenye saya nak pergi cari awak minta balasan lepas ni. Awak anggap je tuhan nak tolong awak. Dia gerakkan hati saya nak bagi duit kat awak.” Aku menerangkan kepada kuntum sambil merenung ke arahnya. Aku sedar, pipi kuntum mula kemerah-merahan. Aku hanya mampu tersenyum dalam hati.

“awak ni pelik je,”balas kuntum sambil menundukkan kepalanya.

“tapi kuntum, kalau awak pakai sopan sikit pasti lagi comel. Sorry, saya bukan nak masuk campur tapi cuma nak bagitau apa yang saya fikir. Sorry tau,” spontan aku berkata-kata.

Kuntum hanya tertunduk malu.

Tak pe, saya tak marah,”

Aku menghela nafas lega.

“nah, ambil je,” aku menghulurkan duit itu.

Kuntum hanya diam namun tidak berapa lama kemudian dia menghulurkan tangan menyambut pemberianku lalu melemparkan senyuman manisnya.

“terima kasih,”.

“sama-sama,”.

Sepanjang perjalanan kami hanya diam seribu bahasa. Kuntum mungkin masih teragak-agak memikirkan perbuatannya yang mengambil wang dari aku manakala aku hanya termenung memikirkan perbuatanku. Sungguh aku tidak pernah menyangka aku akan berbuat seperti ini.

Bas berhenti di perhentian sri puteri, skudai. Kuntum bangun lalu aku memberinya laluan. Ramai juga yang turun disini.

“saya nak nombor telefon awak boleh,”soal kuntum tiba-tiba.

“tak pe lah. Tak payah bayar balik,”

“tak pelah, mana tahu kalau saya ada duit lebih saya bayarlah,”

“Tak payah, saya tak harap apa-apa pun,”

Namun, kuntum masih berdiri disitu, disebelahku sambil menegaskan keinginannya. Pemandu bas sudah melaungkan suara meminta kuntum supaya cepat turun. Mata-mata penumpang sudah mula beralih arah ke arah kami berdua. Aku sudah mula segan tapi kuntum masih begitu. Tidak berganjak.

“ah serabut,”kata hatiku.

 Aku memberi nombor telefonku dan kuntum pun tersenyum lalu beredar pergi.

“Nama saya Aina,” kuntum sempat membariskan kata sebelum turun dari bas itu.

“cis, kena tipu,”desis hatiku.

Aku pun meneruskan hidup aku seperti biasa. Termenung untuk sampai ke terminal bas Larkin.

Selang beberapa minggu selepas itu si gadis comel  Aina menghubungiku. Alasannya untuk berjumpa denganku untuk melangsaikan hutang.

“Kita jumpa dekat Aeon Kulai boleh. Saya nak belanja awak makan. Sebagai tanda penghargaanlah,” cakap Aina sambil ketawa kecil.

Aku ikut ketawa sambil menolak lembut permintaannya namun Aina bertegas dengan menyatakan hasrat untuk berjumpa aku walaupun sekali sahaja lagi.

“tak apalah Aina, saya pun sekarang sibuk ni, pasal duit tu awak simpan je. Saya tak kisah. Jangan awak rasa terhutang budilah. Kalau saya ada peluang buat baik dekat awak, nanti kalau awak ada peluang buat baik dekat orang lain, awak buatlah,”terangku.

Aku terfikir suatu persoalan. Baikkah berbuat baik yang mahu dibalas baik juga?

Hampir setengah jam Aina cuba memujukku namun aku masih utuh dengan pendirianku. Memang sedikit sebanyak si Aina ni comel jugak, tapi bukan gaya aku keluar makan-makan dengan gadis ni. Lantaklah comel macam bidadari pun. Aina akhirnya akur dan dia mengucapkan berbanyak terima kasih kepada aku sambil menyatakan harapannya agar terserempak lagi denganku didalam bas atau dimana-mana sahaja. Aku hanya mengiyakan sahaja.

Semoga beg duit Aina tidak tercicir lagi.








Wednesday, May 7, 2014

indah

Sudah lama saya tidak berjumpa rakan-rakan sewaktu sekolah menengah. Perasaan rindu sedikit sebanyak singgah juga di serambi hati saya. Manakan tidak, dua tahun yang penuh dengan gurauan, gelak tawa dan juga pengalaman yang sedikit sebanyak mempengaruhi hidup saya sehingga ke hari ini.

Dan ruang terbuka untuk saya setelah alumni mengadakan pertandingan futsal di kajang baru-baru ini. Demi mendapat tahu ramai sahabat yang hadir ke program ini, hati ini berkobar-kobar untuk serta dalam sama-sama hadir memeriahkan acara.

Alhamdulillah, kesempatan Allah berikan buat saya untuk pergi ke sana. Bermusafir seketika ke sana. Indah. Inilah perkataan yang dapat dikongsi walau berjumpa mereka seketika sahaja. Berkongsi berita, bertukar-tukar cerita.




Bersama-sama pasukan saya.


InsyaAllah, andai masih diberi kudrat dan kesempatan, pasti saya ingin berjumpa mereka lagi.