Tuesday, April 15, 2014

Kemboja, aku datang...


Aku menapak masuk ke dalam rumah pekerja-pekerja aku. Aku terdengar suara hossen yang sedang dalam keriangan. Hossen memasak telur sambil bersiul menyanyikan lagu hafiz yang baru sahaja menjadi johan juara lagu di Malaysia.

“tinggalkanku….perlahan-lahan kuterima…………….,” dengan penuh syahdu hossen menyanyikannya. Aku tahu, bagi hossen, suaranya sungguh merdu tapi bagi aku suaranya hambar, langsung tiada daya tarik umpama menghalau kambing ke kandang sahaja bunyinya.

“Woi, hafiz kemboja, kamu buat apa? Apa kamu masak?” aku menyergahnya dengan pertanyaan secara tiba-tiba.

“eh bos buat apa kat sini? Pergi sana la,” dengan selambanya dia menghalau aku.

“ah saja saya mahu tengok kamu masak,” aku pantas menjawab.

“Eh janganlah macam tu bos, saya malu,” balas Hossen.

Apa hal budak ni. Malu langsung tak kena pada tempatnya. Bukannya aku ni nak kutuk ke apa. Saja bosan-bosan nak melihat kerenah orang-orang yang kerja sekali dengan aku. Aku melihat ke arah Hossen yang sedang tersenyum atau lebih tepat lagi, tersengih seperti kerang busuk.

“ah buat apa nak malu,” aku berkata selamba.

“Saya malu bos. Saya tak pandai masak,” cakap Hossen.

“Hah itulah, dulu dekat kampung, kamu tak mahu tolong bini masak. Tengok sekarang tak pandai masak. Bini ni kita kena tolong jugak sikit-sikit,” saja aku mengutuknya.

“eh mana ada macam tu. Saya selalu mahu ke dapur tapi bini saya marah. Dia cakap dia tak mahu saya susah-susah. Biar dia masak, saya makan saja. Dia mahu layan saya baik-baik,” terang hossen.

Aku hanya sekadar mendengar. Aku sendiri tidak tahu samada aku percaya atau tidak. Biarlah dia bercerita.
 
“betul bos, bini saya baik. Dia duduk sana pakai jubah baju kurung. Pernah dia datang Malaysia mahu kerja kilang tapi disuruh pakai seluar. Yang ketat-ketat pula. Dia kerja sehari sahaja. Lepas tu terus berhenti kerja. Dulu masa saya belum kahwin, bini saya tak pernah tegur saya. Saya pun tak pernah tegur dia. Dia jalan selalu tunduk saja. Susah mahu tengok muka dia. Ramai gadis-gadis kemboja yang muslim macam tu,” terang hossen dengan panjang lebar.

“Oh ye ke, ok la tu,” balasku sambil lewa.

Namun begitu aku tidak mampu untuk menidakkan bahawasanya tercuit juga hatiku mendengar kisahnya.
 Dan aku terfikir akan kemungkinan-kemungkinan hidup yang mungkin terjadi lalu aku melemparkan satu permintaan mantap kepada Hossen.

“Habis tu hossen, kamu carilah satu orang gadis kat sana. Saya mahu buat bini la,” pintaku.

“tak nak la bos,” balas hossen.

“eh kenapa pulak. Tadi cakap ramai gadis baik-baik. Bagilah saya satu orang. Betul, saya tak buat jahat. Saya mahu buat bini. Nanti dapat jadi orang Malaysia,” aku terus mendesak.

“eh saya tak mahu bos, saya tak pandai. Nanti apa-apa jadi, saya yang kena marah. Orang cakap saya tak elok nanti,” hossen cuba memberi alasan.

Aku ketawa berdekah-dekah lalu melangkah keluar dari rumah si hossen itu.Kemungkinan-kemungkinan hidup yang seakan-akan mahu bercambah itu terus berkubur begitu sahaja.

Mungkinkah nanti……….Kemboja, aku datang………….?

Aku ketawa geli hati seorang diri.

“asyik berangan bodoh,” kutuk hatiku…
 
  


Tuesday, April 1, 2014

Mula sedar...


Pada suatu petang yang hening, aku duduk termenung seorang diri menikmati keindahan alam yang bagiku sudah tidak alami lagi. Sudah terlalu banyak gondolan-gondolan bukit disekelilingku. Sudah terlalu banyak tangan manusia yang rakus memerah khasiat bumi untuk kepentingan mereka tetapi aku rasa bukan hanya kepentingan mereka kerana sayur-mayur dan jagung-jagung itu juga sudah pasti untuk kegunaan mereka yang berada di luar sana.

“Ah, biarlah. Asalkan mereka mengurus dengan betul pasti tiada masalah,” desis hatiku.

Aku terus termenung jauh sambil memerhatikan matahari yang hampir terbenam di ufuk barat. Aku mengeluh mengenangkan kesusahan hidup yang aku alami. Cahaya kekuningan yang dihalangi asap-asap jerebu oleh kemarau berpanjangan ini seperti mengiyakan betapa susahnya hidup yang sedang aku jalani ini. Kuli yang saban hari menerima caci-maki yang sememangnya berbekas di hati.

“woi, apa menung-menung, you phone itu orang call,” pekik rakan sekerja aku yang berbangsa Nepal itu.

Cara percakapannya yang pelat itu memang selalu menjadi bahan gurauan kami.  Aku sendiri kadang-kadang tidak faham apa butir percakapannya tapi tidak mengapalah asalkan dia rajin bekerja, tidak menyusahkan aku, aku sudah cukup senang begitu.

Aku bangun sambil membetulkan sendi-sendiku. Berdetap-detap bunyinya. Dengan perlahan-lahan aku berjalan di atas bumbung rebanku ini. Aku perlu berhati-hati agar tidak berlaku kemalangan dan juga tidak membuatkan ayam-ayam di dalam reban jagaanku stress.

Ah, bagaikan tidak puas duduk termenung di atas bumbung rebanku ini walaupun saban hari aku berbuat perkara yang sama.

Siapalah yang telefon petang-petang begini. Aku melangkah malas menuju ke stor dedak ayam yang menjadi tempat tidurku saban malam. Aku senang begitu. Jika ada kecemasan tidak perlu aku terkejar-kejar untuk ke reban.

“Hello, adik. Ada apa telefon petang-petang begini, biasanya malam-malam?,” tanyaku pada adik, isteriku.

“abang, anak kita sakit demam bang,” balas adik dalam nada yang sungguh sedih.

Aku mula tidak keruan. Manakan tidak. Anakku itu baru usianya 5 bulan. Aku juga belum melihatnya dengan mataku sendiri. Aku belum mendukungnya lagi. Aku belum mengucup dahinya lagi. Pasti kerinduan itu sedikit sebanyak menggusarkan hati aku.

“Habis sudah dibawa jumpa doktor ke belum? Apa kata doktor? Wangnya ada atau tidak?,” bertalu-talu soalan aku ajukan kepada isteriku itu.

“sudah, doktor kata demam-demam biasa saja. Abang doakanlah anak kita cepat sembuh ya,” cakap isteriku.

“ia, itu sudah pasti,”balasku lalu mengakhiri perbualan kami.

Malam itu selepas solat isyak, ya aku bersolat pada malam itu, aku menuju ke arah rumah bosku. Aku ingin meminjam buku surah yasiin darinya. Aku fikir elok juga aku membaca yasiin agar Dia berkenan untuk menurunkan nikmat sihat kepada anakku.

“assalamualaikum bos,” aku memberi salam sambil mengetuk lembut pintu rumah bosku.

“Ye, ada apa,”sahut bosku.

“Bos, saya mahu pinjam buku surah yasiin,” aku meminta.

“haha, kau dah buang tebiat ke mintak surah yasiin. Sejak bila kau bertaubat ni,” sindir bosku.

Aku tersenyum kucing. Aku tidak ambil hati langsung akan kata-kata bos aku tu. Aku tahu dia suka bergurau dan aku juga tahu tentang perangai diri aku.  Aku bukanlah manusia yang patuh ajaran tuhan. Solat terlalu jarang aku lakukan apatah lagi membaca quran.  Dulu diwaktu mudaku, tidak langsung aku berfikir tentang hal ini tapi sejak akhir-akhir ini aku seperti mula sedar akan sesuatu. Aku mula sedar betapa kebergantungan kepada tuhan itu sangat penting. Justeru itu aku meminjam yasiin dari bos. Semoga dengan sedikit amal dengan ayat suci ini membuat tuhan redha dengan aku dan mengabulkan doa aku. Ianya tidak mustahil.

Semoga anak kecilku itu sembuh dari sakitnya.

Aku tergagap-gagap membaca surah yassin sambil diperhatikan pelik oleh kawan nepalku itu. Aku berasa lidahku sungguh liat untuk menyebut makhraj-makhraj huruf didalam kitab suci itu. Aku tak mahu fikirkan soal peraturan mahupun tajwid dalam bacaan kerana sememangnya aku tidak ambil pusing semua itu. Buat apa mahu difikirkan sesuatu yang kita tidak tahu. Buat pening saja.

Usai membaca yasiin, aku duduk termenung mengenangkan nasibku. Aku terasa sungguh hina diri aku pada malam ini. Apabila inginkan sesuatu barulah aku beribadat kepadaNya. Seperti ibadatku bersyarat pula. Sudah pupuskah sifat kehambaan dalam diri aku?

Aku merasa sedikit sebak malam ini. Ya, aku akan cuba untuk mengubah cara hidup aku. Mungkin aku akan mulakan dengan cuba untuk solat sekurang-kurangnya satu waktu untuk sehari. Semoga tuhan kasihani aku. Semoga tuhan bagi aku kudrat untuk beribadat kepadaNya. Dan sekali lagi, semoga anak aku sembuh dari sakitnya.

Terima kasih tuhan kerana sedarkan aku malam ini. Ya, aku mula mengerti, aku ini hamba, hamba yang sentiasa berkehendak kepada-Nya.