Thursday, February 19, 2015

TGNA


Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat ilahi untuk hari-hari yang telah lepas, hari ini dan juga hari-hari yang mendatang kerana atas nikmat kurnianya…..


Pada malam ini, aku tidak dapat melelapkan mata. Aku telah mencuba sedaya upaya untuk tidur melayari alam mimpi namun mata aku, hati aku dan perasaan aku seakan-akan tidak membenarkan. Nama dan perwatakannya bermain dalam minda aku. Sedikit perasaan sayu mula menjalar di setiap pelusuk sangkar perasaan aku. Bagi aku insan ini sungguh istimewa walaupun terdapat sesetengah manusia yang tidak sependapat dengan aku.


Perasaan sayu yang semakin memberat ini melahirkan rasa hiba dan sedikit sebanyak air mata bertakung di tubir mata aku. Masya Allah. Sungguh agung tuhanku kerana walaupun tidak pernah bersua muka dan dia langsung tidak mengenali insan kecil seperti aku ini, namun begitu sedikit perasaan aku berjaya dicuri oleh insan ini.


Insan yang dikagumi ini banyak peranan dalam menjadi contoh dan juga mengubah sistem hidup masyarakat ke arah yang benar, insya Allah. 


Ya, aku merasa sedih atas pemergiannya namun aku juga berasa gembira kerana dia telah kembali kepada penciptaNya.  



Semoga roh arwah tuan guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dicucuri rahmat.




Al fatihah

Saturday, February 14, 2015

Pantai Kelulut dan Sani



      
                  Pantai Kelulut dipenuhi ramai orang pada petang itu. Maklumlah hari Jumaat. Pasti ramai orang keluar berjalan-jalan melepaskan penat lelah setelah bertungkus-lumus bekerja sepanjang minggu. Sani tengok mereka kelihatan ceria sewaktu melangkah keluar dari kenderaan masing-masing. Tidak kiralah dari kereta yang besar dan mewah sehinggalah kepada kereta kecil dan buruk, masing-masing kelihatan begitu ceria bersama-sama teman masing-masing. Ada yang datang bersama keluarga dan anak-anak kecil  dan ada juga yang datang bersama pasangan kekasih masing-masing. Di hujung medan selera sana, Sani nampak budak-budak muda kampung yang sedang asyik menyanyi sambil salah seorang daripada mereka memetik gitar. Begitulah rutin harian mereka. Bertapa diatas kapcai masing-masing dibawah pepohon ru sambil bernyanyi sehingga senja. Mereka tidak pernah penat dan merasa bosan kerana bayu laut yang saban hari membelai tubuh mereka sungguh mendamaikan.

                 Namun begitu, Sani perasan ada juga mereka yang duduk menghirup udara segar berseorangan. Sani juga nampak ada yang duduk termenung sambil menyedut perlahan-lahan air kelapa muda sejuk yang tersedia. Agak Sani, mereka ini pasti tergolong dalam golongan mereka yang sedang menghadapi krisis hidup, sedang berfikir akan kesulitan hidup yang sedang dilalui. Sani tersenyum sumbing kerana Sani juga begitu. Duduk berseorang menghadap pantai Kelulut sambil merenung Pulau Kapas yang berada di tengah laut sana. Sani bukanlah terlalu sulit hidupnya, tetapi sani berasa jiwa mudanya kosong. Sejak dia bergraduasi dalam bidang Diploma Seni Lukisan, Sani hanya bekerja kampong. Masih belum terbuka peluang untuknya berhijrah ke mana-mana menimba ilmu dalam alam pekerjaan. Sani menyedut air kelapa muda yang sudah tawar oleh cairan ais itu sehingga ke titisan terakhir lalu bangun meninggalkan medan selera itu. Senja sudah hampir tiba dan sani tidak mahu lewat pulang ke rumah kerana tidak mahu mendengar bebelan emaknya yang cukup pantang anak-anaknya berjalan-jalan diwaktu senja.

                  Musim tengkujuh sudah tiba. Di Terengganu, musim tengkujuh akan menjelma pada hujung tahun setiap tahun. Pada waktu ini,hujan akan turun hampir setiap hari dan apabila sungai, parit-parit besar dan paya sudah dipenuhi air, banjir akan terjadi. Air akan melimpah seolah-olah sudah tiada tempat lagi untuk ia mengalir pergi. Penduduk di sini sudah lali dengan banjir yang terjadi saban tahun ini. Bagi sani pula, apabila tengkujuh menjelang tiba, dia pasti akan bersedia dengan peralatan memukat ikannya. Pukat-pukat yang koyak akan disulamnya kembali.  Pada waktu begini, apabila air paya melimpah pasti banyak ikan-ikan yang bermain, keluar dari lubuk persembunyian sewaktu musim kemarau.

                   Sani terbayang akan keenakan memakan pulut kelapa berlaukkan ikan haruan, puyu, selat atau lampam goreng ditambah pula dengan kopi 0 yang berasap disebelah pagi.  Petang-petang pula dapat makan pengat atau ubi rebus.  Sudah menjadi lumrah di musim tengkujuh ini, ubi kayu, ubi torok, ubi keledek, ubi keladi, ubi tempayan manis, ubi besar atau ubi keling pasti akan laris dijual dipasar-pasar basah sekitar tanah warisan pesisir pantai ini.

*********************************************************************************

                   Pagi itu, hujan masih turun walaupun tidak selebat semalam. Semalam emak dan ayah Sani tidak lena tidur kerana hujan yang terlalu lebat. Mereka risau air akan naik ke dalam rumah. Sani memeluk tubuh yang dibalut baju berlengan panjang yang lusuh itu sambil berkira-kira waktu yang sesuai untuk dia turun ke baruh melihat jaring yang dipasang petang semalam. Untung-untung dapat bawa pulang ikan darat untuk dibuat lauk siapa tahu.

“Ah, rezeki itu ditangan tuhan, cuma tinggal usaha milik kita,”Sani bermonolog sendirian.

“Hoi, kau buat apa duduk termenung tu. Daripada duduk termenung, baik tolong mak kukur kelapa ni,”sergah emaknya, Mak Yam.

“Emak hendak buat apa kelapa kukur tu?” soal Sani yang sememangnya liat mahu mengukur kelapa menggunakan kukuran itu.

“kenapalah tak ada mesin kukur kelapa kat rumah ni. Kalau tak, seminit dua sudah siap kukur kelapa,” Sani merungut sendirian.

“Hah, kau pergilah kedai eletrik kat Bukit Payong tu. Belikan satu. Mak pun senang hati kalau ada mesin tu. Cepat sikit kukur kelapa tu. Emak nak tanak pulut. Lepas tu makan dengan kelapa parut.  Nak goreng ikan darat tak ada. Ada orang tahan jaring tak pergi tengok. Duduk termenung je kerjanya,” bebel Mak Yam panjang lebar apabila terdengar rungutan Sani.

                   Mak Yam sebenarnya sedikit susah hati dengan keadaan Sani yang belum mendapat kerja yang sesuai dengan bidang seni lukisan yang diambilnya. Dia sangat tidak suka melihat Sani bekerja kampung, menahan jaring dan selalu melepak di Pantai Kelulut itu. Dia bimbang anaknya itu terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak elok.

“Eh, memang orang nak pergi tengok jaring tu. Tunggu hujan reda. Tengok ni, barang semua sudah siap,”Sani cuba membela dirinya sambil menunjukkan sebilah golok usang dan satu plastik beras yang akan diguna untuk mengisi ikan nanti disebelahnya.

                      Sani dengan malasnya mengukur kelapa dengan kukuran pusaka arwah neneknya sambil menguap menahan kantuk.

                      Sesudah mengukur kelapa, Sani mencapai golok dan plastik beras lalu turun ke tanah. Dimulutnya terselit sebatang rokok yang masih belum dinyalakan. Cadangnya mahu dinyalakan didalam semak nanti buat menghalau nyamuk-nyamuk yang berkeliaran mencari mangsa. Baruh yang dituju terletak hanya diseberang jalan rumahnya tetapi Sani perlu juga menempuh semak-semak kecil sebelum sampai kesana.  Selang beberapa langkah Sani berjalan, dia berhenti. Dia mengambil rokok dimulutnya lalu dipatahkan kepada dua bahagian. Bahagian yang pangkal diletak kembali dicelah bibirnya manakala satu bahagian lagi diambil lalu ditenyeh kepada kedua-dua batang betis dan kakinya. Ini petua orang-orang dahulu untuk mengelak pacat hinggap dikaki. Kalau tak ada, rokok atau tembakau, limau nipis boleh juga diperah dan ditenyeh pada kaki. Petua ayahnya pula, melumur betis dan kaki dengan abu tempat bakar sampah. Katanya nanti, pacat pedih mata bila tersentuh abu itu. Sani pun hairan sebenarnya, pacat itu seperti tiada mata. Macam mana ayahnya boleh berkata begitu. Macam-macam akal penduduk di tempatnya ini untuk memudahkan kerja seharian.

“Ah mungkin ayah juga mengambil petua orang-orang dahulu sebelumnya,” telah Sani dalam kehairanan.

                      Sani turun perlahan-lahan ke dalam baruh. Air baruh yang begitu dingin itu menyebabkan seluruh tubuhnya menggeletar. Namun begitu sejuk air yang berbau lumpur itu tidak langsung menggugat perhatian Sani pada jaringnya. Hampir separuh pelampung jaringnya yang berada dibahagian tengah tenggelam. Kebiasaannya apabila pelampung itu tenggelam, itu menandakan ikan besar ada yang tersangkut di jaring.

“Besar sangat ke ikan yang tersangkut ni sampai hampir separuh pelampung tenggelam,” Sani tertanya-tanya sambil mengharapkan bapak haruan ataupun keli limbat yang tersangkut.

                       Sani semakin hairan bercampur sedikit takut apabila melihat jaringnya bergoyang-goyang dengan kuat membuatkan air baruh itu beralun. Sani bergerak perlahan-lahan kearah jaring itu. Sani merendahkan badannya sehingga air baruh itu hampir memasuki rongga mulutnya. Sani mencapai bahagian bawah jaring itu sambil mengangkatnya perlahan-lahan. Beginilah yang selalu diajar ayahnya agar ikan tidak terlucut daripada jaring.

“Cis, celaka,”Sani bertempik kecil apabila yang disangkanya ikan besar tersangkut dijaring rupanya seekor ular.

                      Sani cepat-cepat melemparkan jaringnya. Sani rasa itu ular sawa kerana corak dan warnanya seperti ular sawa. Sani memegang hujung jaringnya lalu  dia perlahan-lahan menarik membawa jaringnya naik ke darat. Sani tergamam seketika melihat ular sawa yang berbatik-batik itu sedang menggeliat-geliut akibat dijerut oleh jaring Sani. Sani bukanlah biasa sangat dengan ular. Geli pun ada. Sani tengok ular itu dalam tujuh atau lapan kaki juga panjangnya.

“Ah kacau. Sekor ikan pun tak lekat. Ini binatang ni punya sial lah,” Sani bercakap seorang diri menyalahkan ular sawa itu sambil meludah membuang kahak ke dalam baruh.

                     Sani pulang ke rumah dengan hampa setelah langsung tidak mendapat ikan hari tu. Namun begitu dia membawa pulang ke rumah ular sawa yang tersangkut di jaringnya. Dia berjalan-jalan sambil bersiul-siul kerana dia sudah tahu apa yang mahu dilakukan dengan ular sawa itu. Ular sawa yang berada di dalam plastik beras itu kelihatan menggelupur untuk melepaskan diri namun tidak berjaya kerana plastik beras itu telah dijerut dengan kemas oleh  Sani.

                     Mak Yam menjerit kecil sewaktu melihat kandungan plastik beras itu. Mak Yam berasa geli melihat ular itu.

“Bertuah punya budak. Apa yang kau bawak balik ni. Bukannya boleh digoreng. Bukannya boleh dibuat gulai. Kau nak buat apa? Baik kau pergi buang sebelum ayah kau balik,”cakap Mak Yam dalam nada yang kegeraman.

“Eh, kenapa nak buang. Orang tahulah nak buat apa,” balas Sani bersahaja.

“Suka hati kaulah Sani. Cakap mak bukannya kau nak dengar. Begitulah bila dah besar. Dah tak mahu nak dengar kata-kata orang tua. Sudah pandai agaknya,” malas Mak Yam nak melayan kerenah anak tunggalnya itu. Dia sudah besar. Sudah suku abad umurnya. Sudah layak mengundi. Tidak kisahlah dia mahu undi bendera hijau ataupun bendera biru.

                    Sani sengaja memekakkan telinga terhadap luahan rasa Mak Yam. Dia kenal emaknya itu. Selalu sangat emaknya itu seakan-akan merajuk tapi itu semua hanya sementara.  Sekarang, perut Sani sudah lapar. Matanya hanya tertumpu di atas meja makan. Kecur liurnya melihat pulut yang masih panas beserta kelapa parut yang telah dicampur gula dan garam oleh emaknya. Sani menghirup kopi o yang telah suam sambil menjeling ke arah plastik beras yang terdapat di penjuru dapur.  Sani tersenyum sambil terbayang apa yang akan dilakukannya petang nanti.

“Rezeki aku ni,” bisik Sani perlahan.

                    Sani menenyeh-nenyeh matanya sambil menjeling ke arah jam dinding yang telah menunjukkan pukul enam petang.

“Ah, aku sudah lambat ni,” Sani mengeluh sendirian.

                    Sani cepat-cepat menyarungkan baju kolar bulat lusuh dan sepasang seluar jeans tiada jenama yang dibelinya di kedai bundle pekan Bukit Payong. Dia turun ke dapur lalu mencapai plastik beras yang berisi ular sawa yang diperolehinya pada pagi tadi lalu beredar meninggalkan pekarangan rumahnya dengan motosikal buruk Honda c70 yang merupakan pusaka arwah  datuknya.

                    Sani menunggang motosikal itu dengan perlahan-lahan sambil bersiul-siul. Sesekali dia mengangkat kepala apabila terlihat kenalannya. Sani sebenarnya dalam perjalanan ke rumah abang Mael. Dia ada sedikit urusan dengan abang Mael. Rumah abang Mel tidaklah terlalu jauh dari rumahnya. Dia hanya perlu melalui satu simpang untuk ke rumah abang Mael.

“assalamualaikum,” sani memberi salam sebaik sahaja tiba di depan rumah abang Mael.

                    Kadang-kadang sani sedih melihat keadaan rumah abang Mael. Usang benar pada pandangan mata Sani. Sani tidak faham kenapa abang Mael tidak mahu membaiki rumahnya sedangkan abang Mael seorang tukang. Sani tengok dapur rumah abang Mael sudah senget. Kayu-kayunya ada yang sudah dimakan anai-anai. Dindingnya pula penuh dengan lubang-lubang.

“waalaikumussalam. Hah Sani, kau nak apa. Bukan senang nak tengok kau datang kat rumah abang ni. Maklumlah rumah buruk,” abang Mael menjawab salam seraya menyindir Sani yang memang tidak akan datang melawatnya jika tidak ada sebarang urusan.

“aku datang ni ada sikit benda nak cakap bang,” jawab Sani tanpa menghiraukan sindiran sepupunya itu.

                    Memang betul kata abang Mael. Dia memang jarang bertandang ke rumah abang Mael walaupun mereka sepupu. Emak abang Mael adalah kakak sulung kepada ayah Sani. Sani tidak tahu kenapa tetapi memang sejak kecil lagi dia tiada keinginan untuk rapat dengan sepupunya itu.

“Ada apa. Aku nak pergi ke pekan ni,” balas abang Mael yang seperti dalam keadaan tergesa-gesa.

                    Sani tersengih-sengih seperti orang gila sambil mengangkat tinggi plastik beras berisi ular sawa yang sejak tadi berada dalam raga motosikalnya.

“eh, besar jugak tu. Aku ingat ada dalam lima atau enam kilo. Kat mana kau dapat ni,”balas abang Mael sambil matanya kelihatan bersinar-sinar.

“adalah tu bang. Hah, macam mana ni. Aku ingat nak suruh abang tolong jualkan dekat cina Wakaf Tapai tu,”soal Sani.

“eh,  elok sangatlah tu. Aku pun nak ke pekan Bukit Payong ni. Nanti aku terus bawak pergi Wakaf Tapai,”abang Mael terus bersetuju untuk menolong Sani.


*********************************************************************************


                     Sudah seminggu Sani menunggu khabar dari abang Mael namun abang Mael seperti menyepi sahaja. Rasanya apabila berjual-beli ular dengan orang Cina Wakaf Tapai itu tiada hutang-hutang. Terus dibayar tunai. Sani buntu. Sani mengambil keputusan untuk berjumpa dengan abang Mael.

“ Buat apa menunggu seperti orang bodoh kalau boleh terus berjumpa dengan orangnya,” detik hati Sani.

                    Tanpa berlengah lagi, Sani terus berkunjung ke rumah abang Mael untuk bertanyakan perihal ular itu. Sewaktu sampai dihadapan rumah abang Mael, Sani lihat abang Mael sedang duduk termenung sendirian di serambi rumahnya.

“assalamualaikum bang. Macam mana dengan ular sawa yang aku suruh jual hari tu bang. Berapa ringgit tauke cina tu bayar?Dah dapat ke duitnya?” soal Sani bertalu-bertalu.

“oh sani, aku lupa nak beritahu kau. Tauke cina tu cakap ular sawa jenis yang kau tangkap tu tak laku. Tak ada orang mahu makan. Dah tu, aku buang lah ular sawa tu tepi semak sebelum balik rumah. Nak bunuh kesian pulak,” jawab abang Mael.

“eh tipu lah abang. Ada pulak macam tu,” Sani tidak percaya dengan cerita sepupunya itu.

“Betullah apa aku cakap ni. Takkan aku nak tipu kau,”abang Mael mengeraskan suaranya kerana Sani menuduhnya menipu.

“kalau macam tu tak apalah bang. Aku balik dululah,”Sani malas untuk berbalah dengan sepupunya itu sambil meminta diri untuk pulang sambil menunjukkan reaksi wajah yang tidak puas hati.

“Celaka punya sepupu. Langsung tak boleh percaya,” Sani menyumpah kegeraman.

                   Dia tahu abang Mael menipu. Dia tahu tauke cina Wakaf Tapai itu tidak pernah menolak kalau ada orang tempatan mahu menjual ular sawa. Tidak kisahlah ular sawa jenis apa pun. Tentu abang Mael dah guna habis duit jualan ular sawa itu. Sani pasti.

                   Malam itu Sani duduk termenung sendirian. Fikiran dia jauh melayang. Dia teringatkan tauke cina di Wakaf Tapai itu. Dia selalu juga mendengar cerita orang-orang kampungnya pergi ke Wakaf Tapai untuk menjual ular, tenggiling, lelabi dan juga kura-kura. Mereka kata sesetengah orang cina suka makan binatang-binatang semacam itu. Sani pun tidak pasti betul atau tidak sebab di sekitar kawasan kampung Sani dekat Marang, jarang Sani jumpa orang cina. Sani tidak tahu sangat macam mana cara hidup mereka. Cuma yang Sani tahu, ayahnya kata orang cina suka makan ikan ketutu. Ikan ketutu payah nak dapat sebab itulah harganya pun mahal. Ikan ketutu ini banyak namanya. Ada orang panggil ikan ubi dan ada juga orang panggil ikan hantu. Orang cina pula panggil ikan ini ikan soon hock.

                   Kadang-kadang terdetik juga di hati Sani untuk kenal dengan lebih dekat tentang orang cina ini tapi Sani tiada kesempatan. Tambahan pula, di Terengganu ini, orang cina tidak ramai. Setahu Sani, hanya beberapa tempat di Terengganu yang ramai orang cina. Satu di kawasan bandar. Orang panggil tempat itu Kampong Cina. Tempat-tempat lain ialah Wakaf Tapai, Kampung Tiruk dekat Serada dan juga di kawasan sekitar Kemaman. Sani mahu juga tahu apa perangai orang cina ini. Adakah mereka  juga sama seperti Sani dan juga orang-orang Melayu lain dan hanya berbeza warna kulit yang putih melepak dan juga mata yang sedikit sepet? Itu Sani tidak tahu dan perasaan ingin tahu dalam hati Sani semakin membuak-buak untuk tahu dengan lebih lanjut tentang kaum ini. Tetapi Sani tahu, selagi dia tidak bergaul dan tinggal di persekitaran yang bercampur dengan orang cina, dia tidak akan dapat menyelami sikap dan budaya mereka dengan sebenar-benarnya. Di Terengganu ini, terutama di kawasan kampungnya di Marang , cukup sukar untuk dia menemukan orang cina dan bergaul dengan mereka. Habis apakah caranya untuk kenal mereka ini?

“Ah, buat apa termenung seperti orang tiada arah hidup. Lebih baik aku tidur. Besok boleh bangun awal-awal pergi ke kedai cik wan makan nasi lemak panas sambal ikan tongkol dengan teh o panas,” Sani bermonolog sambil teringatkan keharuman nasi lemak Cik Wan yang sememangnya menjadi bualan penduduk daerah ini.  Ditambah pula dengan sambal ikan tongkolnya yang cukup manis, masin dan masam serta sedikit pedas itu. Sani berjalan masuk ke dalam bilik tidurnya lalu merebahkan badan  di atas tilam buruk, busuk dan empuknya itu lalu berjuang melelapkan matanya.


*********************************************************************************

                      Sani masih ingat lagi sewaktu dia kecil, dia dan sepupunya selalu dibawa oleh ayahnya bersiar-siar ke pantai kelulut ini. Di pantai ini ada taman permainan yang selalu menjadi tumpuan pengunjung kanak-kanak. Namun begitu, Sani tidak seperti kanak-kanak lain. Dia tidak suka bermain permainan-permainan itu. Sani lebih gemar berjalan kaki menyusuri pantai itu sambil terbongkok-bongkok mengutip cangkerang-cangkerang yang banyak hanyut di tepi pantai itu.

“Sani, kenapa tak pergi main dengan Afiq kat sana?” soal ayah Sani apabila melihat anak tunggalnya itu asyik mengutip cangkerang-cangkerang itu.

“Tak nak. Orang tak suka main benda-benda tu. Orang suka tengok cangkerang-cangkerang ni.
Cangkerang ni ada banyak warna ayah. Ada yang warna ungu, warna oren. Yang warna biru pun ada. Cuba ayah tengok yang sana. Yang itu ada warna campur-campur. Nanti nak bawak balik. Nak suruh mak letak atas gerobok tv,” jawab Sani panjang lebar. Sani tersenyum melihat ayahnya dan ayahnya menyambut senyuman Sani lalu  mengusap-usap kepala anaknya itu. Dia senang hati melihat Sani petah berbicara.

                      Sani tersenyum seorang diri mengingatkan kembali nostalgia silam yang datang menggamit secara tiba-tiba.  Sani tidak mengerti kenapa tetapi semenjak kebelakangan ini semakin kerap dia berkunjung ke pantai ini. Sewaktu Sani asyik melayani perasaan ini, sebuah kereta berhenti tidak jauh dari tempat duduknya. Dua orang gadis keluar dari kereta itu lalu duduk di meja yang paling hampir dengan kereta mereka. Kedua-duanya berbangsa cina. Demi terpandang mereka berdua, fikiran Sani menerawang kembali memikirkan sikap sesetengah orang kampung atau mereka yang berada disekelilingnya yang bagi Sani berfikiran kolot. Yang paling Sani ingat adalah kata-kata Seman, teman sekampung yang tua lima tahun.

“Ah, kau jangan layan sangat orang cina ni. Depan kita bukan main manis mulut tapi belakang kita, tak ada benda baik keluar dari mulut diorang,”Seman seakan-akan meninggikan suara sewaktu bercakap di kedai makan Cik Wan.

“Aku tahu perangai mereka. Aku pernah kerja dengan tauke cina. Duduk sekali dengan mereka. Aku ni memang jadi macam kuli. Macam tak ada harga diri. Kalau berniaga dengan orang kita, menipu saja kerjanya,”Seman berterusan memburukkan kaum ini. Mereka yang lain hanya mendengar sambil sesetengahnya mengangguk dan tiada yang mahu membantah kerana sememangnya mereka tidak tahu sangat tentang orang cina ini. Mereka hanya tahu orang cina suka makan babi dan sambut Tahun Baru Cina.


*********************************************************************************


                        Pada petang itu, buat kesekian kalinya, Sani termenung di pantai kelulut. Sani berasa sangat bosan tinggal di kampung. Dia sudah tidak tahu apa lagi yang mahu dibuat. Makan dan tidur memang sudah menjadi rutin hariannya. Kebuncitan perutnya juga sedikit sebanyak meresahkan hatinya.  Dia juga berasa bosan dan kesian dengan emaknya. Bosan dengan bebelannya tetapi kesian dengan perasaan dan naluri seorang emak terhadap anaknya yang belum ada arah tuju.

                       Disaat ini, Sani berasa sangat ingin untuk berhijrah keluar dari tempatnya ini. Keluar menimba pengalaman, mencari rezeki untuk sebuah penghidupan seandainya nanti terdetik dihatinya untuk memulakan sebuah keluarga yang diharapkannya keluarga bahagia.

                       Perasaan ingin berhijrahnya semakin meronta-ronta apabila melihat seorang sepupunya yang pulang bercuti ke kampung. Sepupunya itu bekerja di Kulai, Johor dalam bidang penternakan. Muka sepupunya itu kelihatan ceria walaupun tubuhnya kurus kering tidak terurus seperti penagih dadah.

“kurang makan agaknya,” detik hati Sani.

                       Sewaktu sani sedang khusyuk menikmati ikang celup tepung, bahunya dipegang lembut dari belakang.

“eh, lapak sorang-sorang ke bang,” terdengar suatu suara yang agak asing pada pendengaran Sani.
Sani berpaling kebelakang lalu tersengih apabila melihat kawannya sewaktu belajar dulu berada di belakangnya.

“eh Hafiy, kau buat apa kat sini. Kau cuti ke? Kau datang sorang ke? Hah, duduklah. Minum sekali dengan aku,” Sani bertalu-talu mengajukan soalan kepada Hafiy sambil Hafiy mengambil tempat disebelahnya.

                       Hafiy adalah rakan Sani sewaktu belajar dahulu. Sekarang Hafiy sudah bekerja di Ipoh, Perak. Dia bekerja dengan sebuah syarikat gergasi mempromosikan produk minuman herba.

“Eh seronok kau kerja disana. Ada amoi-amoi cun tak?Aku dengar amoi Ipoh ramai yang lawa-lawa”Sani  cuba bergurau dengan Hafiy.

                      Hafiy hanya ketawa mendengar soalan Sani. Hafiy akui di tempat kerjanya dan di sekitar Bandar Ipoh, dia banyak bergaul dengan orang cina. Namun begitu, tidaklah dia bermata keranjang mahu mengejar anak dara orang.

“Eh, macam mana orang Cina dekat sana. Betul ke kata si Seman yang orang Cina memang perangainya teruk-teruk. Asyik melebihkan sesama mereka?” Sani cuba melampiaskan rasa ingin tahunya ke atas Hafiy.

“Entahlah, aku tak tahu pulak. Aku ada juga dengar cerita-cerita macam tu. Tapi orang-orang cina yang kerja sekali dengan aku tak pulak macam tu,” balas Hafiy bersahaja sambil menyisip air limau nipis ais yang sudah semakin cair aisnya itu.

“ tapi yang aku perasan, mereka ni hormat antara satu sama lain. Selagi kau jaga hak kau, kau jaga hak mereka, mereka memang boleh dibuat kawan. Ramai juga cina yang baik dengan aku. Kadang-kadang aku lepak juga dengan mereka ni,”Hafiy mula menampakkan kesungguhan dalam bicaranya.

                     Pada malam itu, Sani banyak mendengar cerita Hafiy berkenaan kaum cina. Kebanyakan ceritanya positif. Kaum cina itu jika kena pada tempatnya boleh dibuat kawan. Jika rasa hormat itu ada, tiada apa perlu dibimbangkan. Sani hanya menganggukkan kepala tanpa mengiyakan mahupun membantah kerana kaum ini asing baginya.


*********************************************************************************

             Akhirnya peluang terbuka untuk Sani apabila sebuah muzium yang banyak mempamerkan karya lukisan di Johor Bahru menawarkan kerja sebagai pembantu kurator muzium itu.
Malam itu, Mak Yam dengan suaminya menghantar anak tunggalnya itu ke stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dengan hati yang sayu. Akhirnya berpisah juga mereka. Sani melambai perlahan-lahan ke arah emak dan ayahnya dari dalam bas sewaktu bas mula bergerak. Gerimis musim tengkujuh menghasilkan aliran air di luar cermin tingkap bas ekspres Syarikat Pengangkutan Bumi yang perlahan-lahan membelah kegelapan malam itu.

             Sewaktu melewati Pantai Kelulut, Sani lihat pepohon ru berayun perlahan-lahan seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

“kau jaga diri elok-elok. Nanti aku balik, aku akan datang melawat engkau lagi,” Sani berbisik perlahan seolah-olah Pantai Kelulut itu teman baiknya.

             Mungkin jika Sani keluar merantau, pulangnya nanti pantai kelulut sudah hanya tinggal nama. Tidak lagi cantik, terhakis dan banyak sampah kerana tanda-tanda ke arah itu sudah kelihatan. Tiada lagi warna warni cangkerang di pantai itu untuk generasi selepas Sani nikmati. Sani memejam mata lalu menarik nafas sedalam-dalamnya sambil membayangkan agar kemungkinan-kemungkinan yang difikirkannya tadi tidak terjadi. Bas ekspres yang dinaiki meluncur laju membawa harapan sekalian manusia yang sedang enak dibuai mimpi di dalamnya. Suramnya harapan, terangnya impian hanya tuhan yang tahu.