Friday, July 31, 2015

Inspirasi

Kisah ini sudah beberapa bulan berlalu namun ianya masih seakan-akan segar dalam fikiran saya. Kisah yang sedikit sebanyak memberi inspirasi dalam saya menjalani hidup yang penuh dugaan rasa ini. Kisah yang saya sukar untuk percaya kerana pelakonnya bagi saya bukanlah setekad itu untuk menghasilkan kisah yang begitu berkesan memberi impak ke atas hati kecil saya. Ya, saya sudah tersilap dalam mentafsirkan sikap dan keazaman sahabat saya ini.

Sahabat saya ini jika dilihat secara luarannya adalah seorang yang pasif dan tidaklah terlalu agresif dalam membuat sesuatu perkara ataupun keputusan. Dia juga seorang yang agak pendiam dan tidak banyak bercakap. Dalam sebuah kesempatan yang dikurniakan tuhan, saya bertemu sahabat saya ini disebuah kedai makan.

Kami duduk bercerita perihal keadaan masing-masing dan juga bertanya khabar rakan-rakan yang lain. kami berbual-bual sehinggalah terkeluar dari mulut salah seorang daripada kami akan topik berkenaan dengan jodoh.

Saya tidaklah terlalu seronok apabila berbicara soal ini kerana saya tidak punya banyak cerita untuk dikhabarkan namun begitu sahabat saya yang cukup sukar untuk berbicara hal peribadi itu telah membuat pengakuan yang sangat memberi inspirasi kepada saya.

“aku sebenarnya pernah pergi minta anak dara orang. Yang pertama, aku pergi minta gadis Pahang. Kau tahu aku tak pandai bercakap kan? Aku rasa masa jumpa emak dengan ayah dia, aku bercakap macam orang bodoh. Tak teratur langsung. Tapi maksud aku sampai. Aku nak menyunting anak dara mereka. Macam-macam mana pun aku nak juga budak tu. aku nak berubah. Aku nak nikah. Nak ada bini. Nanti senang  apabila hati tenang, nak fokus pada belajar pun senang. Ini tidak, asyik teringat perempuan. Gadis tu dan keluarga dia minta sedikit masa untuk mereka berfikir sebelum mereka buat keputusan. Akhirnya si gadis tu tolak aku. Itulah kali pertama aku rasa kecewa. Perasaan dia memang sakit. Aku seperti orang mati hati, kontang jiwa. Aku rasa macam bangkai hidup.”

Begitulah kisah sahabat saya ini. Dan perisitiwa ini berlaku semasa dia masih belajar. Ya, semasa dia dan saya masih belajar. Semasa saya masih terkial-kial untuk mengenal erti hidup, sahabat saya itu sudah jauh ke hadapan mengorak langkah. Walaupun langkahnya terkulai di tengah jalan, sekurang-kurangnya dia sudah melangkah. Dia sudah tahu dan dia mahu pergi ke destinasi yang menjadi pilihan dia. Dia yakin akan rezeki yang tuhan telah tetapkan untuk setiap insan bernama manusia.

“kali ini aku berkenan dekat orang Kelantan pula. Aku tak pernah telefon bercakap dengan dia. Kalau berhubung aku mesej je. Aku bukan pandai bercakap dengan gadis ni. Aku pergi berjumpa dengan emak ayah dia di Kelantan setelah aku bagitahu dia aku nak pergi ke rumah dia dengan hajat yang besar. Dia bersetuju untuk benarkan aku berjumpa dengan orang tua dia. Aku pun pergi jumpa orang tua dia. Aku dengan tak pandai bercakapnya berjaya bagitahu yang aku nak budak tu. aku tak tahu la apa mereka fikir pasal aku. Dengan selekehnya lagi. Cakap pun tersekat-sekat. Dan aku tak sangka yang budak tu dengan emak ayah dia terima aku…yeaayyyyy sungguh rasa hati aku waktu tu…tapi lepas tu aku pulak ada masalah. Tempat kerja aku tiga bulan tak bayar gaji. Aku terpaksa batalkan rancangan nak menikah dan bagitahu perempuan tu masalah yang aku hadapi. Perempuan tu terima seadanya. Mungkin bukan jodoh aku dengan dia. Tapi aku rasa bersalah sangat dekat perempuan tu tapi aku tak boleh buat apa. Tapi aku redha. Kali ni aku dah tenang sikit walaupun tak jadi nikah. Mungkin pengalaman lepas banyak ajar aku. Sekarang aku dah tak fikir sangat pasal nikah ni. Aku fikir nak cari duit je.”

Inilah dia kisah kedua sahabat saya yang jodohnya masih tak kesampaian. Sewaktu menceritakan kisah ini dia sedang menganggur mencari kerja. Sungguh berliku dan berbeza jalan hidup setiap manusia.

Kisah hidup sahabat saya ini sangat memberi inspirasi kepada saya kerana dia sangat berani mengambil langkah dalam membentuk kisah hidupnya sendiri. Keberanian yang lahir dari keinginan dia itulah yang sangat memberi inspirasi kepada saya.




Semoga selepas ini, inspirasi yang di rasa mampu menguatkan hati saya untuk mendapatkan dan menggapai segala keinginan dan kemahuan saya dalam hidup ini. apabila semakin banyak pengalaman dan pengajaran yang saya alami di sepanjang perjalanan hidup saya ini, saya akui perjalanan hidup kita semua ini adalah suatu proses yang sentiasa memerlukan kita untuk belajar. saban hari, pasti akan ada benda baru yang kita tempuhi. saban hari, pasti akan ada pilihan-pilihan yang memerlukan kita untuk membuat keputusan. Terserah kepada kita untuk menentukan jalan manakah yang hendak kita tempuhi dalam mewarna-warnikan hidup kita ini.


Monday, July 20, 2015

Si Kecil Molek


Hari itu, Syahir Saifuddin termenung dipangkin dihadapan rumahnya. Kelihatan seorang demi seorang staf sebuah kolej swasta di seberang jalan rumahnya pulang. Ada yang cantik dan hensem, ada yang hodoh, ada yang sekeping dan ada juga yang lebar. Ada yang berpakaian kemas, ada yang seksi semacam dan ada juga yang selekeh seperti sarung nangka.

Jam menunjukkan angka lima. Kebiasaannya bas muncul pukul lima lebih sedikit tetapi hari ini berdisiplin pula pemandu bas itu. Tepat pukul lima pula datangnya. Manusia berpusu-pusu menaiki bas tersebut dan kemudian bas buruk itu pun berlalu meninggalkan asap hitam berkepulan. Hadapan kolej itu mulai lengang dan ketika itulah kelibat seseorang menarik perhatian Syahir Saifuddin. Seorang gadis yang mungkin pelajar atau mungkin juga staf disitu. Tapi hati Syahir saifuddin kuat mengatakan bahawa gadis itu adalah seorang pelajar.

Gadis itu terkedek-kedek berjalan melepasi pintu pagar kolej tersebut. Dia melangkah longlai sambil kepalanya menunduk ke bumi. Mungkin sudah mengerti yang dia sudah tertinggal bas dan juga mengerti yang bas seterusnya hanya akan muncul pada angka enam.

“Bagaimanakah untuk menghasikan satu jam yang bermakna. Mungkin ini yang berlegar dikepala gadis itu”,telah Syahir saifuddin

Syahir saifuddin sengaja memerhati tingkah laku gadis tersebut. Bertubuh kecil molek. Berbaju kurung kemerahan yang berbunga merah. Sungguh ayu. Tapi bagi syahir saifuddin, jika dilonggarlabuhkan sedikit lagi pakaiannya, pasti bertambah sopan gadis itu. Jika diganti tudung yang agak singkat dan jarang itu dengan yang sepatutnya, pasti bertambah ayunya. Syahir Saifuddin tersengih-sengih seorang diri sambil menggaru-garu tubuhnya yang tidak berbaju itu.
Gadis itu berseorangan menunggu. Pasti sungguh memeritkan menunggu seorang diri tanpa teman. Syahir saifuddin berfikir untuk pergi menemani gadis itu.

“ Ah jangan kau menggila syahir saifuddin, dalam situasi sekarang, berseorangan lebih baik baginya, juga lebih baik bagimu, jangan cuba mencipta suasana yang memungkinkan fitnah melanda. Mungkin niatmu baik, mahu menemani tetapi adakah niatmu dapat dihidu manusia lain? Jangan hampiri dia, berduaan begitu akan menimbulkan syak, akan mengundang fitnah manusia berhati-perut kotor. Lagipun kau tiada apa-apa urusan dengannya. Apatah lagi engkau tidak mengenalinya.” Suara dalam diri Syahir Saifuddin membantah.

“Habis jika aku mengenalinya, rapat dengannya?” Syahir Saifuddin menduga.

“Ah tidak usah kau bermain kata. Janganlah menghampirinya. Walau rapat macam mana sekalipun engkau dengan dia, berhati-hatilah kerana ianya tidak mengubah hakikat bahawa dia seorang perempuan dan engkau seseorang lelaki. Jika kau masih menghampirinya, akan menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap engkau dan juga dirinya. Jika betul kau mengasihaninya, biarkanlah dia.”

“ Tapi niatku baik. Mengapa mahu terlalu memikirkan persepsi masyarakat. Bukankah segalanya bermula dengan niat? Lagipun bukannya aku bertepuk tampar dengannya. Pasti tidak timbul persepsi-persepsi yang tidak sedap didengar itu.” tingkah syahir saifuddin yang semakin keliru dan sangsi.

“ Mengapa memikirkan persepsi masyarakat? Syahir Saifuddin, kau mesti mengerti, kita hidup bermasyarakat, jika tidak mahu memikirkan persepsi masyarakat, hidup di hutan belantara bertemankan binatanglah jawabnya. Syahir Saifuddin, aku adalah engkau, engkau adalah aku dan aku tahu engkau juga syak, sangsi adakah betul apa yang ingin engkau lakukan ini. Baiklah Syahir Saifuddin, agamamamu adalah agama yang mengajar engkau meninggalkan perkara yang syak, syubhah untuk meninggikan imanmu. Lantas apakah yang ingin kau lakukan?”

Syahir Saifuddin mengalah lalu membatalkan niat mahu menegur, mahu menemani gadis itu. Biarlah dia sendiri. Tidak perlu dirisaukan kerana pengawal keselamatan kolej ada tercangak disitu. Lain pula jika keselamatannya tergugat jika dia berseorangan. Mungkin ada juga sebab yang relevan untuk dia menemani gadis itu. Syahir Saifuddin tersenyum sendirian memikirkan kemungkinan-kemungkinan hidup yang mungkin berlaku.

Rembang petang itu menjadi saksi betapa geramnya dia kerana sudah terlepas bas untuk mahu segera pulang ke rumah. Digertapnya gigi lalu dihentaknya kaki ke bumi. Dia tahu hanya gigi yang sakit, hanya kaki yang merana tapi mungkin itu satu cara yang berkesan untuk dia meluahkan kegeramannya.Gadis itu termenung sambil menongkat dagunya. Sesekali dia menguis-menguis kakinya ke tanah.

Dan ketika itulah sebuah kancil buruk keluar dari pekarangan kolej itu. Seorang lelaki kelihatan disebalik cermin gelap kancil itu. Mereka kelihatan bertegur sapa sambil tersenyum. Tidak berapa lama kemudian si gadis kelihatan menggeleng-geleng apabila lelaki itu membuka pintu keretanya lalu kancil buruk itu meluncur pergi bersama tuannya.

“Mungkin rakan si gadis agaknya.” congak Syahir Saifuddin. Tapi mengapa tidak ditumpangnya saja rakannya itu. bukankah itu lebih menyenangkan daripada termenung menunggu bas pukul enam petang. Sampai-sampai sahaja dirumah, pasti sudah hampir maghrib. Entah apa yang difikirkan gadis itu.” Syahir Saifuddin bermonolog. Dan monolog itu dijawab oleh suara dalamannya.

“ Syahir Saifuddin, mengapa engkau hanya memikirkan sebuah kesenangan tanpa memikirkan betulkah jalan yang diambil untuk mencapai kesenangan itu? Tidakkah kau lihat, jika gadis itu menerima pelawaan lelaki itu, bukankah ertinya mereka akan berdua-duaan didalam kereta itu?”

“Tapi mereka tidak berbuat apa-apa jauh sekali untuk bercanda. Bagaimana jika niat lelaki itu memang baik, hanya ingin menolong gadis itu?” balas Syahir Saifuddin.

“Baik atau jahat niat lelaki itu tidak mengubah kenyataan bahawa mereka pasti akan berdua-duaan dan sudah pasti setan bakal menjadi peneman mereka. Pernahkah niat yang baik itu mampu mengusir makhluk yang ketiga itu?” suara hatinya semakin bijak berbicara.

“Betul begitu tetapi tidak kasihankah terhadap gadis itu menunggu seorang diri? Wajarkah jika dia menumpang rakannya itu dianggap tidak elok?” soal Syahir Saifuddin.

“Entahlah Syahir Saifuddin. Engkau bayangkan jika gadis itu menerima pelawaan lelaki itu, apa yang akan difikirkan oleh mereka yang melihat? Pasti akan terdengar bisik-bisik yang kurang elok. Contohnya.” Eh semalam aku tengok si polan anak si polan tu naik kereta dengan lelaki” ... sudah pasti buruk tanggapan mereka kan? Dan yang lebih terkesan lagi, ianya sudah sedikit sebanyak mencalar maruah diri dan ibu bapa gadis itu. Engkau patut mengerti, perempuan sebelum kahwin menjaga maruah diri dan ibu-bapa, apabila bergelar isteri, dia menjaga maruah diri dan suaminya pula.”

Syahir Saifuddin termenung memikirkan intipati suara hatinya. Sepi seketika ruang dalam dirinya. Khali.

Sambil dia berkira-kira untuk melempar persoalan lain, suara hatinya terlebih dahulu memecahkan kesepian dalam dirinya.

“Tapi engkau tidak perlu runsing, tidak perlu khuatir Syahir Saifuddin. Bukannya tidak boleh untuk ditumpang rakannya itu. Jika keselamatannya tergugat, jika dia mempunyai urusan yang perlu disegerakan, jika bas tidak pasti ada ataupun tidak, ianya mungkin perlu, ianya tidak salah bagi gadis itu menumpang rakannya itu. Tapi kau sudah lihat sendiri, keselamatan gadis itu terjaga dan sudah pasti setiap hari akan ada bas pada pukul enam. Cumanya sekelumit pengorbanan yang diperlukan untuk menanti dengan sabar jam enam itu tiba. Bukankah orang selalu bercakap penantian itu suatu perjuangan?” soal suara itu.

“Betul juga kata-katamu. Mungkinkah si gadis kecil berbaju kurung berbunga merah ini berfikiran seperti itu juga. Aku pasti tidak ramai yang sanggup menunggu sepertinya.” Syahir saifuddin mengiyakan kata hatinya sambil menerbitkan rasa kagum terhadap si kecil molek berkurung merah itu.

Syahir Saifuddin tahu, itu semuanya bergantung atas keinginan, kemahuan masing-masing dalam menjaga apa yang perlu dijaga. Keinginan untuk menjaga iman senipis kulit bawang dari terus menipis dan terkoyak serta kemahuan untuk menjaga maruah diri dan orang yang tersayang dari tercalar oleh selumbar kehidupan.

Syahir Saifuddin meraba-raba pusatnya sambil menggaru-garu keruping yang sudah mula menggelupas di kepala lututnya yang tidak pernah aman dari palitan luka. Syahir Saifuddin sudah mula kesejukan ditampar bayu petang. Dia membetulkan boxernya yang hampir terlondeh lalu melangkah masuk ke rumahnya.

” Ah Syahir Saifuddin, aku dikerah berfikir yang baik, yang betul tapi engkau selalu cuba menidakkan buah fikiranku dengan tindakanmu. Kau perlu ingat, suaraku datangnya dari perahan akalmu. Kenapa terlalu sukar Syahir Saifuddin? Buruk benar memikirkan tubuhmu berboxer sahaja. Elokkah tubuh berjeragatmu dipamer dikhalayak umum?” getus sebuah suara hati yang hanya mampu bersuara.

Syahir Saifuddin melangkah longlai memasuki rumahnya. Ya, dia selalu memikirkan alangkah indahnya hidup bersyariat tetapi terlalu sukar baginya menterjemahkan fikiran itu dalam bentuk tindakan. Dan dia yakin dan pasti disinilah perlunya apa yang dikatakan sebuah perjuangan itu.




Aku akui

Andai dapat undurkan putaran dunia, kan ku ubah semula kata-kata dan tingkah-lakuku….sekadar memetik ayat sebuah lagu. Begitulah manusia, begitu ingin kembali membaiki diri, memperbetulkan kesilapan lampau. Entri pada kali ini hanyalah untuk aku kenang kembali apa yang telah aku lakukan semenjak empat lima tahun yang lepas sehinggakan aku merasa jiwa ini kosong. Jiwa ini kosong dengan tiada pengisian yang sebenar-benarnya. Kemanisan ukhuwwah berjemaah telah lama tidak dapat aku kecapi.

Aku akui,

Aku sekarang sangat jauh dari teman-teman yang suka untuk duduk berbual-bual soal agama, berdiskusi perihal ketuhanan dan juga bersama-sama menghadiri majlis-majlis ilmu. Sungguh jiwa aku terasa kosong. Aku terasa sangat haus. Sehingga banyak aspek dalam hidup aku terganggu. Aku sangat dahagakan ilmu, sangat rindukan usrah-usrah dan sangat mendambakan bimbingan murabbi.

Aku akui,

Empat tahun di UniSZA telah aku sia-siakan dengan tidak mencari teman mahupun Jemaah yang mempunyai fikrah untuk hidup beragama dalam erti kata mengamalkan agama dengan sebenar-benarnya. Aku lebih banyak berseorangan dan aku juga akui aku tidak pandai untuk mengajak rakan-rakan yang lain untuk turut serta bersama aku mengamalkan agama. Aku hanyut dan membiarkan rakan-rakan di sekeliling juga hanyut. Aku juga hanya memandang sepi sifat-sifat terpuji yang terselit dalam diri setiap rakan-rakan aku tanpa terfikir untuk mencontohi mereka.

Astaghfirullah, sedikit faham dan sedar yang dikurniakanNya tidak aku guna sebaik-baiknya untuk menyeru orang disekeliling untuk dekat padaNya. Amanah yang dikhianati…astaghfirullah.

Aku akui,

Semenjak meniti alam kerja di ladang ini, kesibukan dan keletihan menjauhkan lagi aku dari fikrah untuk berjemaah. Ketiadaan masa dan tiada saluran yang betul membuatkan aku hanya berkhayal, berangan untuk menyertai sesebuah jemaah tanpa berbuat apa-apa.



Disaat tuhan memberi sedikit kesedaran ini, aku akan cuba bangkit walau dengan apa cara sekalipun. Aku akan cuba untuk hidup. aku akan muhasabah diri. Aku akan cuba untuk menyuburkan kembali sisi suci dalam hati agar ianya tumbuh membesar dan keluar memecahkan kotoran hati dan kejelikan jiwa yang sekian lama menimbus diri.



Aku akui,

Hanya dengan izinNya azam ini akan terlaksana…





Teman lama

Alhamdulillah

Di bulan puasa baru-baru ini aku telah dikurniakan sedikit masa lapang untuk menziarahi seorang sahabat yang telah lama ingin aku temui, ziarahi dan berkongsi cerita dengannya. Dari selatan tanah air, aku bergerak menaiki bas menuju ke Kuantan. Perasaan hati ini memang berbunga-bunga kerana ingin berjumpa teman lama dan juga selepas berjumpa dengannya, aku akan pulang ke kampung tercinta.

Aku sampai di terminal bas yang baru di kuantan lima minit sebelum waktu berbuka puasa. Usai berbuka dan menunaikan solat maghrib, aku menunggu seketika sebelum teman aku tiba menjemput dengan Nissan almeranya.

Kami bertarawih di masjid kampus matrikulasi uia dan ini merupakan tarawih dua rakaat pertama dan terakhirku di bulan ramadhan ini. Selesai solat, kami menuju ke medan selera Ana Ikan Bakar untuk menjamu selera. Satu perkara yang menggeletek hati aku ialah teman aku ini masih lagi dengan perangai lamanya sewaktu sekolah dulu iaitu nafsu makannya yang sungguh buas.

Malam itu kami makan nasi, udang butter, sup ekor, siakap bakar sambal petai, sotong masak halia dan juga satu jag jus buah. Alhamdulillah dan kami akhirnya tersandar seperti lembu kekenyangan selama beberapa ketika sebelum kami meneruskan perjalanan menuju ke bazar ramadhan yang menjual pelbagai barang keperluan menjelang lebaran.


gambar hiasan

Menjelang malam, kami bercerita perihal kerjaya masing-masing. Cabaran dan dugaan yang terpaksa kami tempuhi. Aku akui skop kerjaya kami jauh berbeza. Seorang itu kerjanya mendidik manakala yang seorang lagi kerjanya menternak ayam. Banyak perkara yang kami kongsikan. Satu malam berkongsi cerita memang tidak cukup buat kami.

Pada malam itu juga kami meluahkan persaan hati masing-masing. Aku dengan cerita kisah cintaku dan dia dengan cerita kisah cintanya. Dua buah cerita yang sangat berbeza namun diakhirnya kami berdua bersetuju dalam menyimpulkan bahawa seandainya belum ada ikatan yang sah, kami perlu  berpada-pada dalam membina hubungan kerana apa erti ikatan yang dibina andai jauh dari redhaNya. Kami akan menelan segala pahit dan ranjau dalam perhubungan andai orang yang disebelah sana tidak bersetuju dengan pendirian kami. Keteguhan ini berdasarkan pada apa yang kami alami, pelajari dan fikrah yang tuhan bagi pada kami dalam mengenal mana yang hak dan batil.

Keesokannya aku meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu untuk pulang bertemu keluarga tercinta. Kami bersalaman dan berpelukan sebelum masing-masing membawa haluan sendiri. Dalam hati aku tertanya-tanya, bilakah lagi ada kesempatan untuk kami bertemu. Semoga masing-masing berada dijalan yang diredhaiNya…


Terima kasih Allah untuk kesempatan yang seketika ini. 

Sebuah rasa di hari raya


Hari raya puasa yang pertama tanpa keluarga disisi pada tahun lepas aku sambut dengan perasaan biasa sahaja. Kadang-kadang datang juga rasa gembira kerana dapat merasai pengalaman baru beraya ditempat orang walaupun raya aku hanya didalam ladang ayam. Tidak dapat melihat suasana sebenar raya yang sibuk dengan manusia berziarah.

Untuk tahun ini juga aku tidak dapat pulang beraya oleh kerana tuntutan kerja yang memaksa aku untuk menghadirkan diri ditempat kerja. Aku beranggapan semua ini hanyalah seperti tahun sebelumnya. Namun sangkaan aku meleset. Menyambut hari raya di perantauan berseorangan mewujudkan sepi yang tidak sedikit dalam diri aku. Aku yang dulunya sangat kurang aktif dilaman sosial facebook dan whats app kini merupakan antara pengguna yang aktif. Penangan sepi sangat berkesan untuk mengubah diri.


Mendengar takbir raya, melihat live update dari keluarga, rakan dan sanak saudara menimbulkan rasa rindu dan sedih yang bukan kepalang. Dua tahun berturut-turut tidak dapat bercakap telefon di pagi syawal dengan mak aku oleh sebab emak aku yang menangis tidak dapat menahan sebak sangat meruntun hati aku.  Aku mendapat pengalaman pertama makan mi segera di hari raya pertama. Oh rindunya pada pelita, damar(tempurung yang disusun dan dibakar) dan suasana hari raya. Juga rindu pada mereka yang mengharapkan aku berada di depan mata.



Emak aku juga beritahu, aku bukan lagi anaknya jika tidak balik beraya pada tahun akan datang. Aku hanya tertawa kerana aku tahu itu hanya gurauan semata-mata. Namun begitu aku mesti meletakkan dalam fikiran aku bahawa gurauan itu terhasil dari sebuah rasa kecewa, sedih dan harapan menggunung untuk melihat kelibat anak sulungnya di hari raya.

2 atau 3 bulan sebelum raya, ayah aku menyuarakan hasrat untuk membakar lemang kerana aku mengatakan aku mungkin berpeluang untuk beraya dikampung. Pada bulan puasa, ayah aku membatalkan hasratnya kerana aku tidak dapat pulang beraya. Katanya dia mahu aku ada bersama sewaktu membakar lemang. Dia mahu mengajar aku agar warisan ini sentiasa ada dalam keturunan. Apa lagi mahu aku katakan? Aku hanya diam.

Hati ini semakin cemburu melihat gambar yang pelbagai di laman internet disertai cerita-cerita yang membawa maksud bahagia. Tidak kurang juga gambar-gambar rakan beserta keluarga, rakan-rakan yang baru berbini dan juga rakan-rakan yang baru menimang cahaya mata. Semua ini hanya mendera rasa hati aku.

Secebis tulisan ini bukanlah untuk menggambarkan keluhan insan hina seperti aku ini terhadap segala nikmatNya, tetapi hanyalah sebuah perkongsian rasa untuk menjemput damai agar sudi untuk bertandang ke jiwa kecil aku ini.

Hargailah detik yang dikurnia andai dapat bersama walau seketika.

Selamat hari raya semua



Ampun ya Allah…



Bersedih di bulan ramadhan

Ya Allah.

Jiwa terasa kosong.

Bulan ramadhan ini adalah yang terburuk, terbangsat pernah aku rasakan. Maafkan aku. Bukan aku mencerca bulan ini tetapi aku mencerca diri yang langsung tiada peningkatan di bulan ini. Sebulan puasa, hanya dua rakaat tarawikh didirikan. Solat fardhu di masjid? Hanya tinggal kenangan ramadhan tahun-tahun yang lalu.

Lautan amal yang sepatutnya menghiasi bulan mulia ini hanyut ditelan kesibukan kerja yang tidak menentu masa, keletihan dan juga nafsu sendiri yang lazat meratah jiwa yang senipis bawang pelindungnya. Jiwa merintih namun sukar sekali untuk aku berubah mendidik jiwa sedikit demi sedikit. Naskhah quran sudah mula dihinggapi habuk-habuk yang entah datang dari mana. Aku gagahkan juga diri untuk melafazkan ayat-ayat suci itu walau satu halaman sekalipun.

Sungguh aku rasa jiwa ini semakin hari semakin rapuh. Bukan aku tidak ingin menjadi seperti ikan dilaut yang tetap manis isinya walau dikelilingi air yang asin, tapi aku lemah. Aku menggelengkan kepala apabila teringatkan betapa utamanya suasana yang baik itu andai seorang muslim yang rapuh imannya cuba untuk memperbaiki diri. Biah solehah yang sangat penting.

Tidak hairanlah sesetengah Jemaah mahupun parti politik cuba untuk mewujudkan suasana ini melalui saluran penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan. Namun demi melihat keadaan masyarakat hari ini, sukar untuk pelaksanaan perkara ini berjalan dengan lancar. Terlalu banyak halangan oleh masyarakat yang tidak mengerti, kurang tahu serta pemikiran sesetengah pemegang undi untuk menggubal undang-undang itu sendiri.

Pemikir-pemikir serta aktivis hak asasi yang keterlaluan juga menjadi duri dalam perkara ini. Terlalu mengikut kata hati serta beranggapan setiap manusia berhak ke atas diri serta apa yang ingin dilakukan. Melalui pemikiran beginilah terbit dan menitinya ungkapan, hal aku, hal aku, hal engkau, hal engkau, kuburkan masing-masing. Bagaikan sudah tercabut sifat prihatin dan kasih sayang dari hati mereka.

Jiwa terasa kosong.

Di bulan penuh mulia ini, tiada perbincangan-perbincangan rohaniah. Terasa sungguh asing andai orang-orang disekeliling melihat dengan pandangan menyindir andai kita cuba untuk memulakan sebuah perbualan yang berbaur agama. sudah cukupkah untuk aku hanya bermonolog seorang diri? aku juga perlu pada pendapat-pendapat rakan disekitarku. Dimana ingin dicari rakan yang mahu untuk turut serta berbual dan berbincang isu-isu agama andai aku duduk jauh terperosok di dalam ladang ini. Silap aku juga kerana mengabaikan waktu lapangku dulu dengan tidak menyertai jemaah-jemaah yang bersifat rohaniah dan istiqamah di jalan dakwah. akibatnya sekarang jiwa terasa kosong. Rasa kosong yang menebal sewaktu tiba bulan mulia ini.

Setelah ramadhan berlalu, barulah sesal hinggap di serambi hati. Sesal yang terlewat tiba. Terhalang oleh banyaknya mainan perasaan dan nafsu yang lalu-lalang ditengah jalan.

Aku pohon pada tuhan agar diberi kesempatan untuk ramadhan akan datang. Kepada satu-dua orang pembaca setia, doakan aku. Risau hati ini andai doaku tidak sampai padaNya.