Friday, March 21, 2014

Kisah Hossen (2)


Hossen ketawa berdekah-dekah melihat kelibat rakan-rakannya bermain bola di atas tanah berpasir dan penuh dengan batu-batu kecil itu. Keletah mereka sungguh menghiburkan hatinya. Hari itu Hossen tidak menyertai mereka kerana semalam dia telah berlaga lutut dengan salah seorang rakannya itu. Dia sedikit kecewa kerana bermain bola saban petang itulah antara cara untuk dia melepaskan tekanan kerjanya. Masalah demi masalah, konflik demi konflik yang dia hadapi di tempat kerjanya ini.

“woi hossen, orang sakit tak boleh main, masuk bilik rehatlah,”pekik si bangsat kecil berambut panjang itu.

Hossen hanya tersengih tanpa menyahut kata-kata bosnya itu.

Ada saja yang mahu bosnya itu katakan. Kata-katanya selalu memanaskan hati. Tidak pernah ada unsur kelembutan. Mahu saja Hossen ambil bola dihadapannya itu lalu dirembat muka bosnya itu. Hossen sangat berharap agar bosnya itu jatuh tertiarap ketika bermain bola lalu terhantuk batu-batu yang melata disitu
.
“eh Hossen, apa yang kau fikirkan ni. Tak elok mengharapkan keburukan untuk orang lain,”bisik hatinya.

Betul, hossen juga perasan dengan perubahan dirinya sekarang. Rasa-rasanya dulu amat jarang sekali untuk dia marah dan berharap yang bukan-bukan, tetapi sekarang hatinya seolah-olah suka jika ada orang disekelilingnya dalam kesusahan.

Dan Hossen juga perasan, dia sekarang sudah tidak seperti dulu, tidak seperti ketika dia berada di kampungnya di Kemboja.

 Dulu jika di kemboja, solatnya sentiasa terjaga, selalu berjemaah disurau tetapi disini semua itu sudah tiada.

 Dulu jika di kemboja, dia hanya berseluar panjang dan terasa amat malu walaupun memakai seluar pendek bawah lutut, tetapi disini, auratnya tidak terjaga langsung dan kadang-kadang dia hanya berseluar katak.

Dulu jika di Kemboja, dia tidak pernah bercakap yang tidak elok mahupun mencarut yang bukan-bukan, tetapi disini dialah raja carutan. Seakan-akan gatal mulutnya jika sehari tidak mencarut.

Dulu jika di Kemboja, gadis-gadis lain langsung tidak dilayan melainkan isterinya yang menjadi hiburan, tetapi disini, dia sudah ada pasangan yang menjadi teman. Inilah yang Hossen sangat gusarkan. Bukan niatnya untuk berlaku curang namun tarikan perempuan-perempuan ini sangat berkesan. Lagipun menelefon mereka percuma 24 jam menggunakan Digi simcard. Berbeza pula apabila dia menelefon ke Kemboja. Terlalu mahal!!!

“Biarlah aku main-main dengan perempuan ini. Bukannya aku serius. Hanya telefon untuk melepaskan rindu terhadap makhluk yang satu ni. Untuk mendengar rengekan manja mereka sahaja. Bukannya aku berbuat apa-apa,” fikir Hossen.  
  
Hossen menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tenggelam dalam dunianya sendiri di sebalik keriuhan mereka yang sedang bermain bola itu. Dalam termenung itu, Hossen teringat akan teguran bosnya. Bosnya yang kecil dan bangsat itu pernah juga mengingatkannya untuk tidak bermain dengan perasaan perempuan tetapi apa Hossen peduli. Perlukah Hossen mendengar cakap bosnya yang bangsat itu?

Demi melihat hari yang sudah hampir gelap, Hossen bingkas bangun. Dia meninggalkan keriuhan ramai itu untuk bersiap sedia menunaikan solat maghrib. Dia fikir secebis sedar yang dikurniakan tuhan pada petang ini perlu digunakan sewajarnya. Tidak perlulah untuk dia melewatkan solatnya.

Usai menunaikan solat, Hossen termenung di tikar sejadah. Dia rindukan Kemboja. Dia rindukan Kampung Cham. Dia rindukan isterinya. Dia rindukan anaknya. Dia rindukan ibunya. Dia rindukan kedai kopi disana. Dia rindukan surau yang menjadi tempatnya mengadu pada tuhan saban malam. Dia rindukan ayah yang terlalu banyak mengajarnya erti hidup. Pendek kata, segala apa yang berkait dengan hidupnya di Kemboja dirinduinya.

Hossen sengsara di Malaysia ini. Pengamalan agamanya disini semakin berkurang. Dia terasa seperti imannya semakin hari semakin tipis. Dia terperangkap dalam sebuah dilema samada mahu terus berada di Malaysia mencari kemewahan dunia sambil menggadai imannya yang secebis itu ataupun kembali dengan kesempitan hidup diKemboja. Hossen terluka dalam duka. Dia tersepit dan sakit.

Disaat ini, diwaktu kepalanya berputar-putar mencari jawapan akan masalah hidup yang sedang dihadapinya ini, Hossen teringatkan satu kuliah maghrib yang pernah dihadirinya di kemboja bertahun-tahun yang lampau.

“Biah solehah. Anak-anak sekalian, siapa yang tahu maksud perkataan ini,”tanya pak ustaz kepada semua muridnya.  

Masing-masing menggelengkan kepala sambil berpandangan antara satu sama lain. Hossen disiku oleh rakannya kerana terlelap. Hossen mengaduh kesakitan sambil memandang geram kearah sahabatnya itu. Hossen tersangat letih kerana mengikut ayahnya memukat ikan di sungai Mekong tadi.

“Baiklah anak-anakku sekalian. Biah solehah itu kita boleh katakan sebagai suatu keadaan ataupun persekitaran yang baik,” pak ustaz cuba menerangkan seringkas mungkin akan maksud biah solehah itu.

Tidak perlu untuk dia memberikan maksud secara terperinci kerana dia tahu anak-anak muridnya hanyalah budak-budak kampung yang tiada pelajaran. Cukuplah sekadar mereka faham untuk diamalkan dalam hidup mereka.

“Kita sebagai muslim amat memerlukan suasana dan persekitaran yang baik untuk menjaga iman kita kerana kita adalah manusia yang selalu alpa dan sangat mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling kita. Jika kita sudah berada dalam suasana yang baik, alhamdulillah atas nikmatNya. Tetapi bagaimana pula jika kita berada dalam persekitaran yang tidak elok?Persekitaran yang penuh dengan kejahatan dan fitnah yang bertaburan? ,” soal pak ustaz.

Sekali lagi murid-muridnya terlopong.

“Beginilah anak-anakku, jika kita berada dalam suasana yang tidak elok, kita mempunyai dua pilihan disitu. Pilihan pertama pak ustaz rasakan adalah pilihan yang sedikit mudah. Berhijrah anakku, berhijrahlah ke tempat yang lebih baik agar kita dapat hidup dalam sebuah masyarakat yang tinggi pengamalan ilmu agamanya,” jelas pak ustaz.

“Pilihan yang lagi satu macam mana pak ustaz?” soal salah seorang muridnya.

“Pilihan kedua pak ustaz rasakan adalah satu pilihan yang hanya mampu dilaksanakan andai kita kuat. Andai tuhan beri kita kudrat. Pilihan kedua adalah kita sendiri yang mewujudkan biah solehah itu. Kita sendiri yang mengajak masyarakat kembali mengikut garis panduan oleh syarak,” terang pak ustaz.

Semua anak murid pak ustaz mengangguk tanda faham termasuklah Hossen yang masih sedaya-upaya menahan kantuknya.  

Hossen rasakan apa yang diajarkan oleh arwah pak ustaz itu amat dekat dengan hidupnya sekarang.Betul, dia telah terpengaruh dengan suasana di ladang ayam yang teruk itu dan dia tidak berdaya untuk mengajak saudara-saudara seagamanya mengamalkan agama melainkan dia sendiri terikut-ikut dengan gaya hidup mereka. Hossen mengerti dia tidak seperti resmi ikan dilaut, walaupun hidup di air masin, isinya tetap sedap, manis. Langsung tidak terkesan oleh masinnya air laut itu.

Hossen terfikir perlukah dia mengikut pilihan pertama yang diberitahu oleh pak ustaz itu ataupun terus bersahaja menambah dosa yang saban hari semakin memberat diatas bahunya. Hossen berfikir beberapa ketika dan kemudian bingkas bangun menukar pakaian. Sudah menjadi rutin untuk dia masuk ke reban ayam pada setiap malam untuk menghalau ayam agar memakan dedak yang disediakan.


“Berhijrah? Kembali ke Kemboja? Ahhhh permit baru sahaja disambung, lagi satu tahunlah aku fikirkan balik soal ini. Nanti rugi duit permit tu,”getus hati Hossen lalu tersenyum melihat ayam-ayam jagaannya yang semakin gemuk.    

Sunday, March 16, 2014

Saya merenung dia...


Saya mengimbau kembali kisah yang pernah terjadi terhadap diri saya beberapa tahun yang lepas. Kisah ini dengan sendirinya menjelma kembali dalam ingatan saya. Saya tidak tahu mengapa tetapi saya mengambil peluang untuk menukilkan kisah ini agar dapat dikongsi bersama-sama.

Dan semuanya bermula pada tahun pertama saya meneruskan pengajian saya di UniSZA yang pada waktu itu dikenali dengan nama UDM. Kisahnya bermula disebuah kafe yang saya sudah lupa akan namanya. 
Seperti biasa, saya dan beberapa rakan saya akan makan tengahari di kafe tersebut pada waktu rehat selepas sesi kuliah sebelah pagi. Hari itu tiada apa yang luar biasa atau yang istimewa untuk diceritakan. Cuaca seperti biasa dan suasana juga seperti biasa, membosankan. Saya sudah lali dengan kebisingan dan kesibukan mereka yang membeli makanan di kafe tersebut. Pelajar-pelajr dari pelbagai fakulti berada disitu. Tidak kiralah pelajar dari fakulti pengajian islam, akaun, perniagaan mahupun undang-undang.

Saya dan rakan memantau lauk-pauk yang ada di beberapa ruang kedai yang ada disitu sebelum memutuskan untuk mengambil lauk apa yang ada. Ia seolah-olah sudah menjadi rutin kami untuk memantau lauk –pauk yang ada walaupun kami sedar lauk-pauk yang sama dihidangkan setiap hari. Harapan kami untuk mencari kelainan pada lauk-pauk yang ada sentiasa berapi-api walaupun sampai ke akhirnya lauk-pauk yang sama kami telan.

Setelah mengambil makanan, kami duduk di sudut tepi kafe tersebut. Kami makan-makan sambil bersembang kosong dan diselang-selikan dengan sedikit umpatan agar perbualan kami meriah dengan gelak-tawa yang tidak berkesudahan. Beberapa orang dari kami juga melirik nakal kearah gadis-gadis yang berlalu pergi berhampiran kami.   Apa tidaknya, dengan muka yang cantik, penampilan yang menarik, pasti kami dari golongan adam yang berdarah muda ini tertarik.

Dan diketika sedang saya menjamu selera inilah, mata saya tertancap pada sekumpulan gadis yang berpakaian sopan. Mereka mengenakan jubah dan jilbab. Bagi saya fesyennya lulus, material pakaiannya pun lulus. Saya mengunyah perlahan-lahan nasi beras murah yang disediakan oleh kafe disitu lalu memandang kearah salah seorang gadis dalam kumpulan itu. Gadis itu sedang khusyuk mengunyah makanannya. Sungguh sopan dia mengunyah makanan sambil mengelap bibirnya. Gadis itu berjubah hijau lumut dan berjilbab hitam. Wajahnya kelihatan cerah dan suci bersih dari sebarang bahan asing yang selalu digunakan oleh gadis-gadis untuk bertabarruj.  Dia juga bercermin mata dan terserlah kematangan di wajahnya persis seorang gadis yang cukup tegas tapi penuh dengan kelembutan.

Saya terus menerus merenung kearah gadis tersebut. Dalam beberapa ketika dia tersedar bahawa saya sedang merenungnya. Dia pun menundukkan kepalanya sambil meneruskan kunyahan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Saya tidak berpuas hati lalu saya meneruskan renungan saya. Saya tidak tahu apa yang bermain difikiran saya pada waktu itu tetapi yang saya tahu, saya tersangat ingin agar gadis itu membalas renungan saya.  

Setelah beberapa ketika, si gadis mengangkat kembali kepalanya lalu memandang saya. Hanya sekejap dia memandang saya lalu dia kembali menjamah makanannya. Saya tersenyum sendirian oleh aksi gadis itu. Satu kepuasan menguasai diri saya. Memandangkan baki makanan saya yang masih banyak didalam pinggan, saya lantas mengambil keputusan untuk meneruskan renungan beraura saya. Tidak berapa lama kemudian, si gadis itu memandang lagi ke arah saya. Dia seakan-akan tersipu-sipu. Saya tidak pasti adakah dia betul-betul tersipu-sipu ataupun itu hanyalah perasaan saya. Dan setelah saya selesai makan dan membasuh tangan, saya menghitung kembali kekerapan si gadis itu memandang saya. Yang saya sedari, sebanyak lima kali si gadis itu memandang saya. Yang saya tidak sedar?....saya mengagak si gadis itu dari fakulti kontemporari islam melalui cara penampilannya.

Dalam perjalanan pulang ke asrama, saya galak bercerita kepada teman-teman akan kisah yang baru saya alami tadi. Saya beranggapan kisah itu sangat menarik untuk saya ceritakan kepada mereka. Mereka tertawa mendengar cerita saya. Gelak-tawa mereka sangat menghiburkan saya. Ianya memang sesuatu yang sangat menghiburkan andai kita dapat menghiburkan orang sekeliling kita, menerbitkan tawa dan menggeletek hati mereka.

Dan tiba-tiba saya terdiam apabila terdengar salah seorang daripada teman saya meluahkan pendapatnya. Pendapat yang menikam tajam ke jantung hati saya. Pendapat yang terhasil dari kisah yang saya mulakan. Ianya cukup memeritkan untuk saya mendengar pendapat sebegitu. Bukanlah niat saya untuk menimbulkan pemikiran sebegitu dikalangan mereka. Ianya sesuatu di luar dugaan saya. Ramaikah yang berpendapat sebegini? Betulkah apa yang rakan saya itu fikirkan?

Saya bukanlah seorang ahli pemikir yang arif untuk menghukum mana yang salah mahupun betul namun saya sama sekali tidak bersetuju dengan pendapat rakan saya itu walaupun mungkin ada betulnya. Pendapatnya seakan-akan bisa yang mampu melumpuhkan mereka yang berkeinginan untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Dan inilah kata beberapa rakan saya itu…

“hahahaha, pakaian macam ustazah pun, jiwa gersang baiii. Kau ingat budak pengajian islam tu  semua suci-suci ke?kat luar tu entah macam mana perangai kita pun tak tahu,” cakap rakan saya itu.

“haha, berapa ramai pakaian bertutup litup tapi perangai tak senonoh kat luar tu. Pakaian jubbah berjilbab bagai tu tak semestinya baik. Pakai biasa-biasa sudah, menyampah aku. Itu semua hipokrit,” sambung lagi sorang rakan saya.

Saya hanya mampu tertawa janggal dihadapan mereka. Bagi saya itu hanya perkara biasa. Sudah tentu seorang gadis pasti akan tertanya-tanya jika ada yang merenungnya sebegitu rupa. Di waktu itu saya sangat kecewa dan geram dengan diri saya kerana tidak meluahkan apa yang saya rasa. Seolah-olah saya membenarkan perkataan mereka. Mereka seakan-akan menghukum semua yang berpakaian sopan. Seolah-olah berpakaian betul-betul mengikut tuntutan syariat itu tidak begitu penting.


Dan sebagai seorang manusia yang terlalu banyak aibnya ditutup oleh Allah, saya masih tetap utuh mempertahankan bahawa seorang gadis muslimah itu, sangat penting untuk dirinya berpakaian sebagai seorang muslimah. Tidakkah saya dan juga rakan-rakan saya mengerti akan betapa banyaknya ayat-ayat suci yang menyentuh perkara ini yakni perihal pemakaian sewajarnya untuk wanita?Ahhhhh kenapa perlu banyaknya ayat sedangkan sepotong ayat mahupun perkataan sudah cukup dalam meletakkan sesuatu hukum?  Kenapa perlu saya dan rakan-rakan mendahulukan akal dalam berfikir?

Setakat yang saya mampu fikirkan dengan secetek-cetek ilmu yang Allah pinjamkan, saya tetapkan dalam pendirian saya bahawa wanita yang baik itu mestilah wanita yang menjaga pemakaiannya. Ini bukanlah beerti saya akan memandang serong wanita yang tidak berpakaian sewajarnya. Tidak sama sekali kerana yang hanya mampu menghukum hanyalah pencipta kita. Hormatilah mereka juga seperti wanita-wanita lainnya.

Dan saya tidak mampu untuk berceloteh panjang oleh ilmu yang sangat terbatas ini. Semoga coretan kali ini tidak menjadi fitnah atas diri saya. Saya menyeru diri saya dan rakan-rakan saya serta pelbagai jenis gadis di luar sana agar kita sedar akan hakikat kehambaan kita ini. Hamba yang wajib menurut perintah. Hamba yang tiada kudrat untuk membantah jauh sekali  untuk menghukum. 
















Tuesday, March 11, 2014

Hanya mahu bernakal-nakalan



Petang itu,  Syahir Saifuddin bermalas-malasan di atas kusyen buruk rumahnya sambil teringat kisah semasa dia sedang menuntut dikolej dahulu. Dia tersenyum sambil mengingat kembali setiap rentetan peristiwa itu.


**********************************

Syahir Saifuddin melangkah masuk ke dalam bilik pensyarah di tingkat dua bangunan pentadbiran kolej bersama temannya, Haziq Hanafi. Niat Syahir Saifudddin hanya satu iaitu ingin berjumpa pensyarahnya untuk menanyakan beberapa soalan. Dia mengajak temannya kerana dia sedikit pemalu untuk  mengadap gurunya itu berseorangan. Dia dan Haziq Hanafi duduk bertentangan dengan pensyarahnya itu, Puan Azizah.

Sedang Syahir Saifuddin  berbual-bual dengan Puan Azizah, Hanif Hanafi mencuitnya sambil memuncungkan mulut ke arah bersebelahan dengannya. Syahir Saifuddin berpaling sambil menyoalnya.

“Kenapa?”

“Aku cabar kau minta nombor telefon dia,”balas Haziq Hanafi sambil tersengih-sengih.

Syahir Saifuddin tersengih sambil berpaling ke arah Puan Azizah seolah-olah seperti meminta izin. Puan Azizah mengukir senyum kucing.

“Dia tu pelajar saya juga, nama dia Rohaida. Dulu belajar di MRSM. Pergilah, mana tahu, untung-untung dapat. Tapi dia ni jenis yang tak layan sangat benda-benda macam ni. Nasib badanlah kalau dapat.”terang Puan Azizah sambil tersenyum kambing.

Syahir Saifuddin dengan  bersemangat bangun sambil membetulkan kedudukan songkoknya. Dia berjalan perlahan-lahan mendekati Rohaida yang bertudung litup berwarna hitam yang sedang khusyuk menyelesaikan beberapa soalan di meja bersebelahan.
  
“Ehem...assalamualaikum..”Syahir Saifuddin berdehem sambil memberi salam.

Rohaida menoleh sambil memberikan sebuah raut wajah kehairanan menandakan dia tidak begitu senang dengan kehadiran Syahir Saifuddin.

“Ya, kenapa?” soal Rohaida perlahan.

“Erm, boleh tak kalau nak nombor telefon?” tanya Syahir Saifuddin.

“Nak buat apa?”

“Saja, nak bersahabat” laju jawapan muntah dari mulut Syahir Saifuddin.

Dan Syahir Saifuddin pun berhasil mendapatkan nombor telefon Rohaida.

Malam itu, demi mengingatkan seorang rakannya di PLKN dahulu yang satu sekolah dengan si Rohaida, maka dia pun menghantar mesej untuk bertanyakan perihal rakannya itu. Tiada balasan mahupun jawapan diterima. Syahir Saifuddin pun menceritakan hal itu kepada  Haziq Hanafi dan teman lain lalu mereka ketawa terbahak-bahak sambil menasihatkan agar dia mencari gadis lain. Syahir Saifuddin termenung seketika mengingatkan temannya yang salah faham tentang niatnya. Bukannya ingin dia mengurat tapi hanya mahu mengusik, mahu berbuat nakal. Tidak pernah terdetik di hatinya mahu mengurat dan menjalinkan hubungan karut-marut itu. Dan sejak itu, Syahir Saifuddin pun tidak lagi mengganggu gadis itu.

Sudah menjadi suatu kebiasaan untuk Syahir Saifuddin beserta Haziq Hanafi dan beberapa orang lagi rakan untuk tidak melelapkan mata di malam hujung minggu. Macam-macam hal dibuat daripada belajar hinggalah menonton DVD menggunakan laptop Haziq Hanafi. Dan paginya, mereka akan melepak sambil sarapan di kafe kegemaran mereka untuk menikmati bihun sup, soto mahupun nasi lemak. Dan pagi itu mereka meneruskan kebiasaan itu. Sedang Syahir Saifuddin menikmati soto yang masih hangat itu, sekumpulan gadis yang berpakaian sopan dalam erti kata mengikut syariat datang untuk bersarapan. Syahir Saifuddin tersenyum kerana rupanya Rohaida berada dalam kelompok itu juga. Syahir Saifuddin hanya memandang sepi ke arah kumpulan itu lalu menyambung menikmati soto tersebut. Selepas daripada peristiwa itu, Syahir Saifuddin selalu juga terserempak dengan kumpulan Rohaida tetapi Syahir Saifuddin hanya bersahaja kerana dia tidak mahu membesar-besarkan sisi nakalnya. Dan Syahir Saifuddin tahu dia hanya ke kafe itu untuk menikmati soto mahupun bihun sup sahaja. Tidak lebih dari itu.

Malam itu, Syahir Saifuddin melayan mesej seorang temannya di kolej itu. Sedang bermesej itu, Syahir Saifuddin menyatakan tentang dirinya yang lupa terhadap suatu perkara. Termenung seketika Syahir Saifuddin apabila menerima balasan mesej temannya itu.

.....macam mana nak ingat, kamukan sedang sibuk dalam proses mengenal seseorang....

Syahir Saifuddin mengandaikan ini pasti berkaitan si Rohaida. “Ramainya yang tahu, malu ni. Tapi biarlah, benda sudah berlaku,” detik hati Syahir Saifuddin yang sedikit kesal akan jiwanya yang mahu bernakal-nakalan.

Zaman kolej baru sahaja berlalu dalam hidup Syahir Saifuddin. Dia berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti begitu juga Haziq Hanafi dan teman-teman lain di kolej.  Setelah beberapa ketika di universiti, Syahir Saifuddin mengambil kesempatan menelefon teman-teman kolejnya.

Dia menelefon seorang teman sekelasnya untuk bertanya khabar dan perbualan berlanjutan hinggakan sebuah cerita terbongkar. Temannya itu melahirkan rasa geram terhadapnya kerana mengganggu Rohaida dahulu. Dia juga geram dengan kerenah Syahir Saifuddin yang sanggup datang bersarapan di kafe kediaman pelajar perempuan untuk melihat kelibat  Rohaida. Dia juga menceritakan perihal Rohaida yang begitu terganggu dengan sikapnya.

Syahir Saifuddin sebenarnya sangat terkejut kerana temannya yang seorang itu pun tahu akan hal ini. Tersebar luaskah kisah itu? Tapi tidak mengapalah, kerana yang terlebih penting ialah adakah Rohaida begitu terganggu dengan kerenahnya?

Disaat ini, Syahir Saifuddin begitu teringin untuk memohon ampun andai betul dia mengganggu Rohaida. Dia tidak menyangka hal ini boleh berlaku. Tapi apabila mengingatkan Rohaida, Syahir Saifuddin sedikit lega kerana baginya Rohaida pasti seorang gadis yang baik, bukanlah pendendam dan pasti seorang yang mudah untuk memaafkan.

Tidak lama selepas itu, hari raya menjelma. Syahir Saifuddin mengambil kesempatan menghantar mesej pada setiap rakannya bagi memohon ampun dan mengucapkan selamat hari raya. Tidak terkecuali juga si Rohaida dan kali ini si Rohaida membalas mesejnya.....

...sapa ni, maaf ya tak save no ni...

...tak apalah, tak perlu tahu siapa...

Dan itulah kali terakhir Syahir Saifuddin tahu tentang Rohaida.Biarlah dia tidak tahu kerana Syahir Saifuddin sudah serik untuk mengganggu.


*********************************


Syahir Saifuddin tersedar dari lamunannya lalu menoleh ke arah jam. Sudah pukul enam petang, dan dia pun bangun sambil berkira-kira mahu turun ke sungai untuk memancing. Baginya, kisah dulu berkesan menjadi guru untuk mengajarnya tidak melulu berbuat sesuatu.
 



    

Monday, March 10, 2014

Kisah Hossen (1)

Dahulu sewaktu di Kemboja, Hossen sangat ingin untuk bekerja di Malaysia. Orang kata Malaysia ni aman dan senang untuk dapat kerja. Sudah ramai rakan-rakan Hossen yang datang ke Malaysia dan Korea. Semua pulang membawa wang. Mereka dapat menampung hidup keluarga mereka. Walaupun tidak terlalu mewah, tetapi ianya sudah cukup untuk mengadakan keperluan-keperluan yang sememangnya menjadi asas dalam membantu kehidupan seharian mereka. Hossen memilih Malaysia kerana dia tahu Malaysia Negara Islam. Pasti lebih mudah hidupnya. Adat dan budaya sudah tentu tidak jauh berbeza jika agama yang menjadi tunjangnya.

Hossen meludah kahak berlendir yang sejak dari tadi bergelumang di dalam tekaknya. Tekaknya terasa kering. Hossen mengerutkan dahi sambil merenung ke langit melihat mentari yang sedang garang memancarkan sinar. Sambil mengelap dahi yang berpeluh, Hossen meneruskan kerja-kerja membersihkan dulang dedak ayam. Itulah rutinnya untuk minggu ini.

Sambil membersihkan dulang itu, Hossen tersenyum mengingatkan keletah isterinya dua tahun yang lepas.

“aisya, sungguh bimbang engkau ya” Hossen bercakap sendirian.

Aisya berpeluk tubuh sambil membelakangkan hossen yang bertubuh sasa itu. Mukanya masam, mulutnya muncung dan yang paling utama hatinya bimbang, gelisah dan juga sedih.

“kenapa mesti pergi? Bukankah kita juga boleh hidup disini. Pokoknya rajin, insyaAllah, maha pemurah sifat-Nya. “ soal Aisya yang yang geram dengan sikap Hossen.

“tapi aku mahu kehidupan yang lebih baik untuk kita, untuk anak-anak kita. Bukankah berhijrah itu satu usaha juga?” balas Hossen.

Aisya terus-terusan tidak bersetuju dengan cadangan suaminya itu. Nanti siapa akan menjadi tempatnya mengadu. Dia juga perlukan belaian seorang lelaki. Lelaki yang bergelar suami. Kenapa terlalu susah untuk Hossen mengerti? Dia termenung melihat kenakalan dua cahaya mata perempuannya yang sedang bermain di tanah. Dua budak kecil itu tertawa riang sambil menguis-nguis tanah yang masih lembap oleh hujan semalam.
Aisya melurut rambutnya yang panjang itu sambil melepaskan sebuah keluhan.Betul, dia faham hidup disini agak sukar. Kemiskinan yang membaluti hidup mereka bagai tidak mahu beransur pergi walau sudah sekian banyak keringat usaha dicurahkan. Tapi disinilah tempat Hossen membesar dan menimba segala macam pengalaman dan disini jugalah tempat Hossen menghadapi pelbagai karenah manusia. Tidak sayangkah dia untuk pergi meninggalkan kemboja? Tidak sayangkah Hossen untuk meninggalkan anak-anaknya? Tidak sayangkah Hossen untuk meninggalkan dirinya?

Aisya buntu. Semenjak Hossen menyuarakan hasratnya, sudah beberapa kali Aisya menitiskan air mata. Dia tidak tahu adakah betul tindakannya menghalang hasrat Hossen, suaminya. Ditambah pula gurauan Hossen yang mahu mencari lain buat peneman hidup di Malaysia nanti. Gelak-tawa Hossen diwaktu itu seakan-akan menghiris tangkai jantung hatinya. Perasaannya bercampur-baur. Geram, sedih, bimbang dan takut menjadikan Aisya lemah. Lemah untuk tinggal sendiri membenarkan si suami membawa diri.

Dan akhirnya, dengan hanya berbekalkan passport tanpa permit kerja yang sah, Hossen akhirnya masuk ke Malaysia setelah Aisya dengan berat hatinya bersetuju. 

"abang jangan cuba-cuba mencari  yang lain disana, nanti Aisya pergi kesana, Aisya  cari sampai jumpa." Aisya memberi amaran dalam esak tangis yang tiada kesudahan.

"jangan Aisya bimbang, abang kesana mencari wang, mencari rezeki untuk kita sekeluarga. Bukan abang kesana mahu mencari keseronokan, mahu mencari hiburan. Seronoknya abang hanya bersama Aisya." kata Hossen untuk menenangkan hati isterinya itu.

Aisya hanya mampu terangguk-angguk kerana diluar kudratnya untuk mengawal Hossen. Dia hanya mampu berharap dan berdoa tetapi dia pasti pilihannya dua tahun lalu itu tepat. Hossen jejaka kampung yang sopan dan rajin. Tidak pernah membuat masalah selain bernakal-nakalan di sekitar kampung. Solatnya sentiasa di surau. jika ada aktiviti kemasyarakatan, Hossen adalah antara yang paling sibuk kehulu hilir membuat kerja.

Hossen merangkul lembut tubuh Aisya ke dakapannya lalu dicium kepala Aisya yang sempurna tertutup dengan jilbab hitamnya. dia merenung jauh ke dalam  bebola mata Aisya lalu menghadiahkan sekuntum senyum yang sarat dengan makna. 

"Aisya jaga diri baik-baik. Jaga anak-anak. Jaga solat. Jaga pakaian. Jaga pergaulan," nasihat Hossen. 

Dari dalam tingkap bas, Hossen melihat sayu ke arah Aisya dan keluarganya. Perasaan gementar ada dalam dirinya. Inilah pertama kali dia keluar berkelana. Semoga tuhan berkati dia. Hossen termenung memikirkan perjalanan yang jauh untuk masuk ke Malaysia. Dia menutup mukanya dengan sapu tangan sulaman Aisya dan berkira-kira unntuk tidur. Dalam keadaan separuh sedar, Hossen dikejutkan dengan satu pekikan yang cukup dia kenal. Pekikan yang memang sudah selalu menjadi halwa telinga.

"Woi, kau datang sini nak kerja ke nak tido, tray makan anak ayam banyak lagi nak kena basuh tu. nanti besok mau pakai macam mana? ape ke bodoh punya kemboja!!!!,"jerit penyelia ladang disitu.

Hossen terjaga dari lamunannya. Sungguh dia benci dengan penyelia baru itu. Tidak pernah mahu bercakap elok. Selalu menengkingnya. tidak padan dengan tubuh pendek, kurus keringnya. Rambutnya pula panjang seperti penagih dadah sekitar Phnom Penh. 

Hossen tidak pasti berapa lama lagi dia mampu bertahan disitu. Mungkinkah dia akan kembali ke Kemboja Sdalam waktu terdekat ini? Hossen tidak pasti. selagi ada kerja, selagi ada ruang dan peluang untuk dia mencari rezeki disini, dia tidak akan berhenti.   

Hossen menyambung tugasnya memberus dulang dedak ayam agar si bangsat kecik itu tidak terpekik lagi.