Sunday, August 3, 2014

Hipokritkah saya?

Dahulu saya pernah bekerja disebuah kilang menjahit pakaian. Saya bekerja disana sebagai sekuriti.
Rakan-rakan sekerja saya disitu terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur. disana juga saya berkenalan dengan seorang gadis rupawan bernama Liza. Liza manis orangnya. Rupanya juga mampu mengalahkan sebilangan artis popular negara kita ini.

Saya selalu juga mendengar Liza meluahkan perasaan dan berkongsi cerita bersama rakan-rakannya. Kadang-kadang hati saya tercuit mendengar celotehnya terutamanya apabila berkait kehidupan. falsafah hidupnya kadang-kadang langsung tidak mendapat persetujuan hati saya. Namun begitu saya hanya mendengar. langsung tidak terniat dihati saya untuk membangkang kata-kata Liza yang saya sememangnya tahu suka bercakap kasar. Keceluparan mulutnya memang menggelikan hati saya. Anugerah rupa yang diterima langsung tidak boleh dipadankan dengan butir-butir kata yang muntah dari bibir mungilnya.


Suatu hari saya terdengar Liza bercerita berkenaan hubungannya dengan kekasihnya yang merupakan seorang yang berdarah kacukan pakistan. Liza mengaku bahawa dia tidak pernah hipokrit dengan kekasihnya. Perwatakannya masih sama dihadapan mahupun dibelakang kekasihnya. Dia juga menyatakan cara percakapannya juga sama. Dia tidak mahu hipokrit kerana dia merasakan dia perlu jujur sejujurnya dengan kekasihnya itu.  

Sebelum saya pergi lebih jauh, saya ingin bertanya kepada semua dan juga diri saya, apakah itu hipokrit. Dalam pandangan saya, hipokrit itu boleh kita tafsirkan sebagai perbuatan berpura-pura baik dimana si pelaku mempamerkan keadaan diri yang berbeza dengan sikap sebenarnya.

Ya, betul. kita tidak perlu hipokrit kerana ianya sikap yang keji. namun saya sedikit terkejut apabila Liza mengatakan bahawa dia juga tidak pernah mengubah cara percakapannya dihadapan kekasih hatinya. Bukankah terlalu kasar cara dia bercakap? Bukankah tidak sesuai jika kita berkomunikasi dengan kasar dengan orang yang kita kongsi kasih?

Bagi saya, apabila bersama-sama orang yang kita sayangi, yang menjadi teman hati sehidup semati, bukankah perlu untuk kita melembutkan tutur kata, menjaga tingkah laku kita agar benih kasih yang disemai itu terus subur tumbuh memayungi hidup kita?

Dan bukankah itu juga fitrah manusia yang bercinta, untuk saling menjaga hati dan perasaan agar sakinah itu hinggap dijiwa kedua-duanya?

Alangkah indahnya bunga-bunga cinta itu andainya perasaan malu menjadi perhiasannya?

Celoteh ini sebenarnya hanyalah untuk Liza mengerti, untuk Liza berlembut dengan teman hatinya.


p/s sudahkah saya mempunyai seseorang untuk saya berlembut dengannya?