Dua minggu yang lepas adalah antara hari yang bersejarah
dalam hidup aku. Hari yang menyaksikan aku membuat keputusan yang besar dalam
hidup aku. Hari yang menyaksikan aku cuba untuk memberitahu kepada diri aku
sendiri bahawa aku sudah sedia untuk memikul beban dan tanggungjawab serta
komitmen yang berterusan sehingga ke akhir hayat aku.
Petang itu aku memulakan perjalanan aku untuk keesokan hari
punya misi. Dari selatan tanah air menuju ke negeri Selangor. Bermacam-macam
perkara bermain dalam kepala bercampur dengan sedikit gementar. Aku lebih
banyak termenung sambil merenung ke luar tingkap bas. Hujan renyai sedang
membasahi bumi tuhan ini. Aku ralit memerhatikan titisan hujan yang mengalir
perlahan-lahan menuruni permukaan kaca tingkap bas ekspress yang sedang sombong
membelah kegelapan malam ini.
Setibanya aku di TBS, aku turun dari bas lalu menuju ke
balai menunggu. Bermacam-macam kelibat manusia yang berada di sana. Ada yang
duduk berseorangan di atas kerusi. Ada yang terbaring tidur siap berselimut,
ada juga yang berjalan mundar-mandir tanpa arah tujuan. Aku hanya tersenyum
melihat gelagat mereka. Aku duduk termenung seorang diri sambil menunggu adik
aku datang menjemput.
Adik aku sampai. Kami terus memecut ke Bangi. Waktu
menunjukkan pukul 1-2 pagi. Masih banyak
remaja-remaja yang kelihatan merempit di sekitar lebuh raya. Masing-masing
beria-ria menunjukkan kejaguhan. Aku hanya tersenyum sumbing. Ini suatu perkara
yang tidak elok. Aku hanya menggelengkan kepala. Aku dan adik aku singgah di
kedai mamak untuk makan sambil menonton tayangan bola sepak el classico. Kami
bersembang sambil sedikit sebanyak bercerita tentang diri masing-masing.
Tentang hidup dan juga tentang hati dan perasaan. Aku perlu akui, perkara
sebegini jarang berlaku.
Subuh menjelma sewaktu aku selesai makan dan menonton
bolasepak. Aku singgah di sebuah masjid untuk solat, membersihkan diri dan
berehat seketika sebelum aku pergi menyempurnakan misi aku. Perasaan resah dan
gelisah bermain di fikiran. Masalah tempat kerja, kewangan, keluarga dan misi
aku ini silih berganti bermain dalam akal fikir aku. Aku tidak dapat melelapkan
mata walau sekejap pun.
Apabila mentari mula garang memancarkan sinar, aku
bersiap-siap untuk melaksanakan misi aku. Misi yang hampir tertangguh oleh
kerana kepayahan untuk mendapatkan cuti dari tempat kerja yang sememangnya
sentiasa sibuk dengan pelbagai perkara untuk dilakukan.
Berkemeja hitam dan seluar khakis berwarna krim, aku
memulakan langkahku dengan bergerak menuju ke destinasi bersama adik aku dengan
sebuah kereta kecil yang disewa. Sedikit
lesu setelah menempuh perjalanan jauh dan tidak tidur semalaman. Aku hanya
termenung dan seakan-akan merenung apakah reaksi pihak yang bakal aku kunjungi.
Aku hanya tersenyum tawar dengan bebelan adik aku yang menyuruh aku bertenang
sedangkan dirinya sendiri yang tidak keruan.
Selepas zohor, kami sampai ke destinasi yang dituju. Aku sebenarnya
berkunjung ke rumah ibu-bapa seorang gadis yang telah lama mengusik hati ini. Gadis
yang mencuri tumpuan hati ini sejak enam
tahun lepas. Gadis yang pertama menghadirkan rasa ingin berpunya di hati ini. Gadis
yang sederhana. Gadis yang mendera rasa. Gadis yang tidak memberi tumpuan
terhadapku sebagaimana tumpuan aku terhadapnya. Gadis yang punya sifat keibuan.
Gadis yang air mukanya menenangkan jiwa. Gadis yang tidak mampu untuk aku faham
fiilnya. Inilah sedikit sebanyak yang boleh aku simpulkan tentang gadis ini.
Kami bercerita seperti biasa. Aku dengan adik aku serta
keluarganya. Si gadis aku tidak tahu ke mana perginya. Dari satu cerita ke satu cerita. Bertanya tentang
kerjaya, keluarga, sanak saudara dan sebagainya. Sedikit yang aku boleh
simpulkan ialah keluarganya menerima kedatangan kami dengan hati yang terbuka. Ibu
bapa dia ramah orangnya. Aku tidak merasa terlalu janggal dan kekok berhadapan
dengan mereka.
Dan kemuncaknya tiba apabila si ibu bertanyakan hajat aku
bertandang ke rumah mereka. Aku pun meminta izin agar si gadis turut serta
mendengar apa yang ingin aku perkatakan. Pada petang itu, dihadapan adik aku, dia, ibu,abah, adik serta
pakcik dan makciknya, aku meluahkan hasrat hati aku untuk menyunting si gadis menjadi
teman hidup aku. Dan jika dia dan keluarganya bersetuju, rombongan keluarga aku
akan menyusul selepas ini.
Alhamdulillah selesai sudah satu episod dalam hidup aku. Aku
pulang dengan perasaan yang lega. Lega kerana
aku telah meluahkan keinginan yang telah sekian lama terpendam dan bermain
dalam fikiran aku. Pada malam itu, aku
dan adik aku pergi bermain boling untuk melepaskan saki-baki rasa gementar dan
untuk aku meraikan kelegaan hati ini.
Dan tidak lama selepas itu, aku memberitahu gadis itu bahawasanya aku dan keluarga aku akan
redha dengan segala apa keputusan yang bakal diberikan oleh dia dan
keluarganya. Aku menyuruhnya mengambil sedikit masa untuk memikirkan tentang
aku, kerja aku, keluarga aku, kewangan aku dan jarak antara keluarga kami agar
tiada berbangkit masalah di kemudian hari. Buatlah pertimbangan yang
sewajarnya.
Sejak dari itu sehingga ke hari ini aku masih menunggu.
Menunggu dalam sebuah kelegaan rasa yang tidak berdasar dan bertepi.
Menunggu sebuah keputusan yang akan banyak mengubah hidup
aku.
Moga apa sahaja keputusannya, aku kuat untuk terima.
Moga aku redha dengannya.
No comments:
Post a Comment