Friday, March 21, 2014

Kisah Hossen (2)


Hossen ketawa berdekah-dekah melihat kelibat rakan-rakannya bermain bola di atas tanah berpasir dan penuh dengan batu-batu kecil itu. Keletah mereka sungguh menghiburkan hatinya. Hari itu Hossen tidak menyertai mereka kerana semalam dia telah berlaga lutut dengan salah seorang rakannya itu. Dia sedikit kecewa kerana bermain bola saban petang itulah antara cara untuk dia melepaskan tekanan kerjanya. Masalah demi masalah, konflik demi konflik yang dia hadapi di tempat kerjanya ini.

“woi hossen, orang sakit tak boleh main, masuk bilik rehatlah,”pekik si bangsat kecil berambut panjang itu.

Hossen hanya tersengih tanpa menyahut kata-kata bosnya itu.

Ada saja yang mahu bosnya itu katakan. Kata-katanya selalu memanaskan hati. Tidak pernah ada unsur kelembutan. Mahu saja Hossen ambil bola dihadapannya itu lalu dirembat muka bosnya itu. Hossen sangat berharap agar bosnya itu jatuh tertiarap ketika bermain bola lalu terhantuk batu-batu yang melata disitu
.
“eh Hossen, apa yang kau fikirkan ni. Tak elok mengharapkan keburukan untuk orang lain,”bisik hatinya.

Betul, hossen juga perasan dengan perubahan dirinya sekarang. Rasa-rasanya dulu amat jarang sekali untuk dia marah dan berharap yang bukan-bukan, tetapi sekarang hatinya seolah-olah suka jika ada orang disekelilingnya dalam kesusahan.

Dan Hossen juga perasan, dia sekarang sudah tidak seperti dulu, tidak seperti ketika dia berada di kampungnya di Kemboja.

 Dulu jika di kemboja, solatnya sentiasa terjaga, selalu berjemaah disurau tetapi disini semua itu sudah tiada.

 Dulu jika di kemboja, dia hanya berseluar panjang dan terasa amat malu walaupun memakai seluar pendek bawah lutut, tetapi disini, auratnya tidak terjaga langsung dan kadang-kadang dia hanya berseluar katak.

Dulu jika di Kemboja, dia tidak pernah bercakap yang tidak elok mahupun mencarut yang bukan-bukan, tetapi disini dialah raja carutan. Seakan-akan gatal mulutnya jika sehari tidak mencarut.

Dulu jika di Kemboja, gadis-gadis lain langsung tidak dilayan melainkan isterinya yang menjadi hiburan, tetapi disini, dia sudah ada pasangan yang menjadi teman. Inilah yang Hossen sangat gusarkan. Bukan niatnya untuk berlaku curang namun tarikan perempuan-perempuan ini sangat berkesan. Lagipun menelefon mereka percuma 24 jam menggunakan Digi simcard. Berbeza pula apabila dia menelefon ke Kemboja. Terlalu mahal!!!

“Biarlah aku main-main dengan perempuan ini. Bukannya aku serius. Hanya telefon untuk melepaskan rindu terhadap makhluk yang satu ni. Untuk mendengar rengekan manja mereka sahaja. Bukannya aku berbuat apa-apa,” fikir Hossen.  
  
Hossen menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tenggelam dalam dunianya sendiri di sebalik keriuhan mereka yang sedang bermain bola itu. Dalam termenung itu, Hossen teringat akan teguran bosnya. Bosnya yang kecil dan bangsat itu pernah juga mengingatkannya untuk tidak bermain dengan perasaan perempuan tetapi apa Hossen peduli. Perlukah Hossen mendengar cakap bosnya yang bangsat itu?

Demi melihat hari yang sudah hampir gelap, Hossen bingkas bangun. Dia meninggalkan keriuhan ramai itu untuk bersiap sedia menunaikan solat maghrib. Dia fikir secebis sedar yang dikurniakan tuhan pada petang ini perlu digunakan sewajarnya. Tidak perlulah untuk dia melewatkan solatnya.

Usai menunaikan solat, Hossen termenung di tikar sejadah. Dia rindukan Kemboja. Dia rindukan Kampung Cham. Dia rindukan isterinya. Dia rindukan anaknya. Dia rindukan ibunya. Dia rindukan kedai kopi disana. Dia rindukan surau yang menjadi tempatnya mengadu pada tuhan saban malam. Dia rindukan ayah yang terlalu banyak mengajarnya erti hidup. Pendek kata, segala apa yang berkait dengan hidupnya di Kemboja dirinduinya.

Hossen sengsara di Malaysia ini. Pengamalan agamanya disini semakin berkurang. Dia terasa seperti imannya semakin hari semakin tipis. Dia terperangkap dalam sebuah dilema samada mahu terus berada di Malaysia mencari kemewahan dunia sambil menggadai imannya yang secebis itu ataupun kembali dengan kesempitan hidup diKemboja. Hossen terluka dalam duka. Dia tersepit dan sakit.

Disaat ini, diwaktu kepalanya berputar-putar mencari jawapan akan masalah hidup yang sedang dihadapinya ini, Hossen teringatkan satu kuliah maghrib yang pernah dihadirinya di kemboja bertahun-tahun yang lampau.

“Biah solehah. Anak-anak sekalian, siapa yang tahu maksud perkataan ini,”tanya pak ustaz kepada semua muridnya.  

Masing-masing menggelengkan kepala sambil berpandangan antara satu sama lain. Hossen disiku oleh rakannya kerana terlelap. Hossen mengaduh kesakitan sambil memandang geram kearah sahabatnya itu. Hossen tersangat letih kerana mengikut ayahnya memukat ikan di sungai Mekong tadi.

“Baiklah anak-anakku sekalian. Biah solehah itu kita boleh katakan sebagai suatu keadaan ataupun persekitaran yang baik,” pak ustaz cuba menerangkan seringkas mungkin akan maksud biah solehah itu.

Tidak perlu untuk dia memberikan maksud secara terperinci kerana dia tahu anak-anak muridnya hanyalah budak-budak kampung yang tiada pelajaran. Cukuplah sekadar mereka faham untuk diamalkan dalam hidup mereka.

“Kita sebagai muslim amat memerlukan suasana dan persekitaran yang baik untuk menjaga iman kita kerana kita adalah manusia yang selalu alpa dan sangat mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling kita. Jika kita sudah berada dalam suasana yang baik, alhamdulillah atas nikmatNya. Tetapi bagaimana pula jika kita berada dalam persekitaran yang tidak elok?Persekitaran yang penuh dengan kejahatan dan fitnah yang bertaburan? ,” soal pak ustaz.

Sekali lagi murid-muridnya terlopong.

“Beginilah anak-anakku, jika kita berada dalam suasana yang tidak elok, kita mempunyai dua pilihan disitu. Pilihan pertama pak ustaz rasakan adalah pilihan yang sedikit mudah. Berhijrah anakku, berhijrahlah ke tempat yang lebih baik agar kita dapat hidup dalam sebuah masyarakat yang tinggi pengamalan ilmu agamanya,” jelas pak ustaz.

“Pilihan yang lagi satu macam mana pak ustaz?” soal salah seorang muridnya.

“Pilihan kedua pak ustaz rasakan adalah satu pilihan yang hanya mampu dilaksanakan andai kita kuat. Andai tuhan beri kita kudrat. Pilihan kedua adalah kita sendiri yang mewujudkan biah solehah itu. Kita sendiri yang mengajak masyarakat kembali mengikut garis panduan oleh syarak,” terang pak ustaz.

Semua anak murid pak ustaz mengangguk tanda faham termasuklah Hossen yang masih sedaya-upaya menahan kantuknya.  

Hossen rasakan apa yang diajarkan oleh arwah pak ustaz itu amat dekat dengan hidupnya sekarang.Betul, dia telah terpengaruh dengan suasana di ladang ayam yang teruk itu dan dia tidak berdaya untuk mengajak saudara-saudara seagamanya mengamalkan agama melainkan dia sendiri terikut-ikut dengan gaya hidup mereka. Hossen mengerti dia tidak seperti resmi ikan dilaut, walaupun hidup di air masin, isinya tetap sedap, manis. Langsung tidak terkesan oleh masinnya air laut itu.

Hossen terfikir perlukah dia mengikut pilihan pertama yang diberitahu oleh pak ustaz itu ataupun terus bersahaja menambah dosa yang saban hari semakin memberat diatas bahunya. Hossen berfikir beberapa ketika dan kemudian bingkas bangun menukar pakaian. Sudah menjadi rutin untuk dia masuk ke reban ayam pada setiap malam untuk menghalau ayam agar memakan dedak yang disediakan.


“Berhijrah? Kembali ke Kemboja? Ahhhh permit baru sahaja disambung, lagi satu tahunlah aku fikirkan balik soal ini. Nanti rugi duit permit tu,”getus hati Hossen lalu tersenyum melihat ayam-ayam jagaannya yang semakin gemuk.    

No comments:

Post a Comment