Monday, March 10, 2014

Kisah Hossen (1)

Dahulu sewaktu di Kemboja, Hossen sangat ingin untuk bekerja di Malaysia. Orang kata Malaysia ni aman dan senang untuk dapat kerja. Sudah ramai rakan-rakan Hossen yang datang ke Malaysia dan Korea. Semua pulang membawa wang. Mereka dapat menampung hidup keluarga mereka. Walaupun tidak terlalu mewah, tetapi ianya sudah cukup untuk mengadakan keperluan-keperluan yang sememangnya menjadi asas dalam membantu kehidupan seharian mereka. Hossen memilih Malaysia kerana dia tahu Malaysia Negara Islam. Pasti lebih mudah hidupnya. Adat dan budaya sudah tentu tidak jauh berbeza jika agama yang menjadi tunjangnya.

Hossen meludah kahak berlendir yang sejak dari tadi bergelumang di dalam tekaknya. Tekaknya terasa kering. Hossen mengerutkan dahi sambil merenung ke langit melihat mentari yang sedang garang memancarkan sinar. Sambil mengelap dahi yang berpeluh, Hossen meneruskan kerja-kerja membersihkan dulang dedak ayam. Itulah rutinnya untuk minggu ini.

Sambil membersihkan dulang itu, Hossen tersenyum mengingatkan keletah isterinya dua tahun yang lepas.

“aisya, sungguh bimbang engkau ya” Hossen bercakap sendirian.

Aisya berpeluk tubuh sambil membelakangkan hossen yang bertubuh sasa itu. Mukanya masam, mulutnya muncung dan yang paling utama hatinya bimbang, gelisah dan juga sedih.

“kenapa mesti pergi? Bukankah kita juga boleh hidup disini. Pokoknya rajin, insyaAllah, maha pemurah sifat-Nya. “ soal Aisya yang yang geram dengan sikap Hossen.

“tapi aku mahu kehidupan yang lebih baik untuk kita, untuk anak-anak kita. Bukankah berhijrah itu satu usaha juga?” balas Hossen.

Aisya terus-terusan tidak bersetuju dengan cadangan suaminya itu. Nanti siapa akan menjadi tempatnya mengadu. Dia juga perlukan belaian seorang lelaki. Lelaki yang bergelar suami. Kenapa terlalu susah untuk Hossen mengerti? Dia termenung melihat kenakalan dua cahaya mata perempuannya yang sedang bermain di tanah. Dua budak kecil itu tertawa riang sambil menguis-nguis tanah yang masih lembap oleh hujan semalam.
Aisya melurut rambutnya yang panjang itu sambil melepaskan sebuah keluhan.Betul, dia faham hidup disini agak sukar. Kemiskinan yang membaluti hidup mereka bagai tidak mahu beransur pergi walau sudah sekian banyak keringat usaha dicurahkan. Tapi disinilah tempat Hossen membesar dan menimba segala macam pengalaman dan disini jugalah tempat Hossen menghadapi pelbagai karenah manusia. Tidak sayangkah dia untuk pergi meninggalkan kemboja? Tidak sayangkah Hossen untuk meninggalkan anak-anaknya? Tidak sayangkah Hossen untuk meninggalkan dirinya?

Aisya buntu. Semenjak Hossen menyuarakan hasratnya, sudah beberapa kali Aisya menitiskan air mata. Dia tidak tahu adakah betul tindakannya menghalang hasrat Hossen, suaminya. Ditambah pula gurauan Hossen yang mahu mencari lain buat peneman hidup di Malaysia nanti. Gelak-tawa Hossen diwaktu itu seakan-akan menghiris tangkai jantung hatinya. Perasaannya bercampur-baur. Geram, sedih, bimbang dan takut menjadikan Aisya lemah. Lemah untuk tinggal sendiri membenarkan si suami membawa diri.

Dan akhirnya, dengan hanya berbekalkan passport tanpa permit kerja yang sah, Hossen akhirnya masuk ke Malaysia setelah Aisya dengan berat hatinya bersetuju. 

"abang jangan cuba-cuba mencari  yang lain disana, nanti Aisya pergi kesana, Aisya  cari sampai jumpa." Aisya memberi amaran dalam esak tangis yang tiada kesudahan.

"jangan Aisya bimbang, abang kesana mencari wang, mencari rezeki untuk kita sekeluarga. Bukan abang kesana mahu mencari keseronokan, mahu mencari hiburan. Seronoknya abang hanya bersama Aisya." kata Hossen untuk menenangkan hati isterinya itu.

Aisya hanya mampu terangguk-angguk kerana diluar kudratnya untuk mengawal Hossen. Dia hanya mampu berharap dan berdoa tetapi dia pasti pilihannya dua tahun lalu itu tepat. Hossen jejaka kampung yang sopan dan rajin. Tidak pernah membuat masalah selain bernakal-nakalan di sekitar kampung. Solatnya sentiasa di surau. jika ada aktiviti kemasyarakatan, Hossen adalah antara yang paling sibuk kehulu hilir membuat kerja.

Hossen merangkul lembut tubuh Aisya ke dakapannya lalu dicium kepala Aisya yang sempurna tertutup dengan jilbab hitamnya. dia merenung jauh ke dalam  bebola mata Aisya lalu menghadiahkan sekuntum senyum yang sarat dengan makna. 

"Aisya jaga diri baik-baik. Jaga anak-anak. Jaga solat. Jaga pakaian. Jaga pergaulan," nasihat Hossen. 

Dari dalam tingkap bas, Hossen melihat sayu ke arah Aisya dan keluarganya. Perasaan gementar ada dalam dirinya. Inilah pertama kali dia keluar berkelana. Semoga tuhan berkati dia. Hossen termenung memikirkan perjalanan yang jauh untuk masuk ke Malaysia. Dia menutup mukanya dengan sapu tangan sulaman Aisya dan berkira-kira unntuk tidur. Dalam keadaan separuh sedar, Hossen dikejutkan dengan satu pekikan yang cukup dia kenal. Pekikan yang memang sudah selalu menjadi halwa telinga.

"Woi, kau datang sini nak kerja ke nak tido, tray makan anak ayam banyak lagi nak kena basuh tu. nanti besok mau pakai macam mana? ape ke bodoh punya kemboja!!!!,"jerit penyelia ladang disitu.

Hossen terjaga dari lamunannya. Sungguh dia benci dengan penyelia baru itu. Tidak pernah mahu bercakap elok. Selalu menengkingnya. tidak padan dengan tubuh pendek, kurus keringnya. Rambutnya pula panjang seperti penagih dadah sekitar Phnom Penh. 

Hossen tidak pasti berapa lama lagi dia mampu bertahan disitu. Mungkinkah dia akan kembali ke Kemboja Sdalam waktu terdekat ini? Hossen tidak pasti. selagi ada kerja, selagi ada ruang dan peluang untuk dia mencari rezeki disini, dia tidak akan berhenti.   

Hossen menyambung tugasnya memberus dulang dedak ayam agar si bangsat kecik itu tidak terpekik lagi.  
   



No comments:

Post a Comment