Saya mengimbau kembali kisah yang pernah terjadi terhadap
diri saya beberapa tahun yang lepas. Kisah ini dengan sendirinya menjelma
kembali dalam ingatan saya. Saya tidak tahu mengapa tetapi saya mengambil
peluang untuk menukilkan kisah ini agar dapat dikongsi bersama-sama.
Dan semuanya bermula pada tahun pertama saya meneruskan
pengajian saya di UniSZA yang pada waktu itu dikenali dengan nama UDM. Kisahnya
bermula disebuah kafe yang saya sudah lupa akan namanya.
Seperti biasa, saya dan beberapa rakan saya akan makan
tengahari di kafe tersebut pada waktu rehat selepas sesi kuliah sebelah pagi.
Hari itu tiada apa yang luar biasa atau yang istimewa untuk diceritakan. Cuaca
seperti biasa dan suasana juga seperti biasa, membosankan. Saya sudah lali dengan
kebisingan dan kesibukan mereka yang membeli makanan di kafe tersebut.
Pelajar-pelajr dari pelbagai fakulti berada disitu. Tidak kiralah pelajar dari
fakulti pengajian islam, akaun, perniagaan mahupun undang-undang.
Saya dan rakan memantau lauk-pauk yang ada di beberapa ruang
kedai yang ada disitu sebelum memutuskan untuk mengambil lauk apa yang ada. Ia
seolah-olah sudah menjadi rutin kami untuk memantau lauk –pauk yang ada
walaupun kami sedar lauk-pauk yang sama dihidangkan setiap hari. Harapan kami untuk
mencari kelainan pada lauk-pauk yang ada sentiasa berapi-api walaupun sampai ke
akhirnya lauk-pauk yang sama kami telan.
Setelah mengambil makanan, kami duduk di sudut tepi kafe
tersebut. Kami makan-makan sambil bersembang kosong dan diselang-selikan dengan
sedikit umpatan agar perbualan kami meriah dengan gelak-tawa yang tidak
berkesudahan. Beberapa orang dari kami juga melirik nakal kearah gadis-gadis
yang berlalu pergi berhampiran kami. Apa tidaknya, dengan muka yang cantik,
penampilan yang menarik, pasti kami dari golongan adam yang berdarah muda ini
tertarik.
Dan diketika sedang saya menjamu selera inilah, mata saya
tertancap pada sekumpulan gadis yang berpakaian sopan. Mereka mengenakan jubah
dan jilbab. Bagi saya fesyennya lulus, material pakaiannya pun lulus. Saya
mengunyah perlahan-lahan nasi beras murah yang disediakan oleh kafe disitu lalu
memandang kearah salah seorang gadis dalam kumpulan itu. Gadis itu sedang
khusyuk mengunyah makanannya. Sungguh sopan dia mengunyah makanan sambil mengelap
bibirnya. Gadis itu berjubah hijau lumut dan berjilbab hitam. Wajahnya
kelihatan cerah dan suci bersih dari sebarang bahan asing yang selalu digunakan
oleh gadis-gadis untuk bertabarruj. Dia
juga bercermin mata dan terserlah kematangan di wajahnya persis seorang gadis
yang cukup tegas tapi penuh dengan kelembutan.
Saya terus menerus merenung kearah gadis tersebut. Dalam
beberapa ketika dia tersedar bahawa saya sedang merenungnya. Dia pun
menundukkan kepalanya sambil meneruskan kunyahan seolah-olah tiada apa yang
berlaku. Saya tidak berpuas hati lalu saya meneruskan renungan saya. Saya tidak
tahu apa yang bermain difikiran saya pada waktu itu tetapi yang saya tahu, saya
tersangat ingin agar gadis itu membalas renungan saya.
Setelah beberapa ketika, si gadis mengangkat kembali
kepalanya lalu memandang saya. Hanya sekejap dia memandang saya lalu dia
kembali menjamah makanannya. Saya tersenyum sendirian oleh aksi gadis itu. Satu
kepuasan menguasai diri saya. Memandangkan baki makanan saya yang masih banyak
didalam pinggan, saya lantas mengambil keputusan untuk meneruskan renungan
beraura saya. Tidak berapa lama kemudian, si gadis itu memandang lagi ke arah
saya. Dia seakan-akan tersipu-sipu. Saya tidak pasti adakah dia betul-betul
tersipu-sipu ataupun itu hanyalah perasaan saya. Dan setelah saya selesai makan
dan membasuh tangan, saya menghitung kembali kekerapan si gadis itu memandang
saya. Yang saya sedari, sebanyak lima kali si gadis itu memandang saya. Yang
saya tidak sedar?....saya mengagak si gadis itu dari fakulti kontemporari islam
melalui cara penampilannya.
Dalam perjalanan pulang ke asrama, saya galak bercerita
kepada teman-teman akan kisah yang baru saya alami tadi. Saya beranggapan kisah
itu sangat menarik untuk saya ceritakan kepada mereka. Mereka tertawa mendengar
cerita saya. Gelak-tawa mereka sangat menghiburkan saya. Ianya memang sesuatu
yang sangat menghiburkan andai kita dapat menghiburkan orang sekeliling kita,
menerbitkan tawa dan menggeletek hati mereka.
Dan tiba-tiba saya terdiam apabila terdengar salah seorang
daripada teman saya meluahkan pendapatnya. Pendapat yang menikam tajam ke
jantung hati saya. Pendapat yang terhasil dari kisah yang saya mulakan. Ianya
cukup memeritkan untuk saya mendengar pendapat sebegitu. Bukanlah niat saya
untuk menimbulkan pemikiran sebegitu dikalangan mereka. Ianya sesuatu di luar
dugaan saya. Ramaikah yang berpendapat sebegini? Betulkah apa yang rakan saya
itu fikirkan?
Saya bukanlah seorang ahli pemikir yang arif untuk menghukum
mana yang salah mahupun betul namun saya sama sekali tidak bersetuju dengan
pendapat rakan saya itu walaupun mungkin ada betulnya. Pendapatnya seakan-akan
bisa yang mampu melumpuhkan mereka yang berkeinginan untuk berubah ke arah yang
lebih baik.
Dan inilah kata beberapa rakan saya itu…
“hahahaha, pakaian macam ustazah pun, jiwa gersang baiii.
Kau ingat budak pengajian islam tu semua
suci-suci ke?kat luar tu entah macam mana perangai kita pun tak tahu,” cakap
rakan saya itu.
“haha, berapa ramai pakaian bertutup litup tapi perangai tak
senonoh kat luar tu. Pakaian jubbah berjilbab bagai tu tak semestinya baik.
Pakai biasa-biasa sudah, menyampah aku. Itu semua hipokrit,” sambung lagi
sorang rakan saya.
Saya hanya mampu
tertawa janggal dihadapan mereka. Bagi saya itu hanya perkara biasa. Sudah tentu
seorang gadis pasti akan tertanya-tanya jika ada yang merenungnya sebegitu
rupa. Di waktu itu saya sangat kecewa dan geram dengan diri saya kerana tidak
meluahkan apa yang saya rasa. Seolah-olah saya membenarkan perkataan mereka.
Mereka seakan-akan menghukum semua yang berpakaian sopan. Seolah-olah
berpakaian betul-betul mengikut tuntutan syariat itu tidak begitu penting.
Dan sebagai seorang manusia yang terlalu banyak aibnya
ditutup oleh Allah, saya masih tetap utuh mempertahankan bahawa seorang gadis
muslimah itu, sangat penting untuk dirinya berpakaian sebagai seorang muslimah.
Tidakkah saya dan juga rakan-rakan saya mengerti akan betapa banyaknya
ayat-ayat suci yang menyentuh perkara ini yakni perihal pemakaian sewajarnya
untuk wanita?Ahhhhh kenapa perlu banyaknya ayat sedangkan sepotong ayat mahupun
perkataan sudah cukup dalam meletakkan sesuatu hukum? Kenapa perlu saya dan rakan-rakan mendahulukan
akal dalam berfikir?
Setakat yang saya mampu fikirkan dengan secetek-cetek ilmu
yang Allah pinjamkan, saya tetapkan dalam pendirian saya bahawa wanita yang
baik itu mestilah wanita yang menjaga pemakaiannya. Ini bukanlah beerti saya
akan memandang serong wanita yang tidak berpakaian sewajarnya. Tidak sama
sekali kerana yang hanya mampu menghukum hanyalah pencipta kita. Hormatilah
mereka juga seperti wanita-wanita lainnya.
Dan saya tidak mampu untuk berceloteh panjang oleh ilmu yang
sangat terbatas ini. Semoga coretan kali ini tidak menjadi fitnah atas diri
saya. Saya menyeru diri saya dan rakan-rakan saya serta pelbagai jenis gadis di
luar sana agar kita sedar akan hakikat kehambaan kita ini. Hamba yang wajib menurut
perintah. Hamba yang tiada kudrat untuk membantah jauh sekali untuk menghukum.
No comments:
Post a Comment