Tuesday, March 11, 2014

Hanya mahu bernakal-nakalan



Petang itu,  Syahir Saifuddin bermalas-malasan di atas kusyen buruk rumahnya sambil teringat kisah semasa dia sedang menuntut dikolej dahulu. Dia tersenyum sambil mengingat kembali setiap rentetan peristiwa itu.


**********************************

Syahir Saifuddin melangkah masuk ke dalam bilik pensyarah di tingkat dua bangunan pentadbiran kolej bersama temannya, Haziq Hanafi. Niat Syahir Saifudddin hanya satu iaitu ingin berjumpa pensyarahnya untuk menanyakan beberapa soalan. Dia mengajak temannya kerana dia sedikit pemalu untuk  mengadap gurunya itu berseorangan. Dia dan Haziq Hanafi duduk bertentangan dengan pensyarahnya itu, Puan Azizah.

Sedang Syahir Saifuddin  berbual-bual dengan Puan Azizah, Hanif Hanafi mencuitnya sambil memuncungkan mulut ke arah bersebelahan dengannya. Syahir Saifuddin berpaling sambil menyoalnya.

“Kenapa?”

“Aku cabar kau minta nombor telefon dia,”balas Haziq Hanafi sambil tersengih-sengih.

Syahir Saifuddin tersengih sambil berpaling ke arah Puan Azizah seolah-olah seperti meminta izin. Puan Azizah mengukir senyum kucing.

“Dia tu pelajar saya juga, nama dia Rohaida. Dulu belajar di MRSM. Pergilah, mana tahu, untung-untung dapat. Tapi dia ni jenis yang tak layan sangat benda-benda macam ni. Nasib badanlah kalau dapat.”terang Puan Azizah sambil tersenyum kambing.

Syahir Saifuddin dengan  bersemangat bangun sambil membetulkan kedudukan songkoknya. Dia berjalan perlahan-lahan mendekati Rohaida yang bertudung litup berwarna hitam yang sedang khusyuk menyelesaikan beberapa soalan di meja bersebelahan.
  
“Ehem...assalamualaikum..”Syahir Saifuddin berdehem sambil memberi salam.

Rohaida menoleh sambil memberikan sebuah raut wajah kehairanan menandakan dia tidak begitu senang dengan kehadiran Syahir Saifuddin.

“Ya, kenapa?” soal Rohaida perlahan.

“Erm, boleh tak kalau nak nombor telefon?” tanya Syahir Saifuddin.

“Nak buat apa?”

“Saja, nak bersahabat” laju jawapan muntah dari mulut Syahir Saifuddin.

Dan Syahir Saifuddin pun berhasil mendapatkan nombor telefon Rohaida.

Malam itu, demi mengingatkan seorang rakannya di PLKN dahulu yang satu sekolah dengan si Rohaida, maka dia pun menghantar mesej untuk bertanyakan perihal rakannya itu. Tiada balasan mahupun jawapan diterima. Syahir Saifuddin pun menceritakan hal itu kepada  Haziq Hanafi dan teman lain lalu mereka ketawa terbahak-bahak sambil menasihatkan agar dia mencari gadis lain. Syahir Saifuddin termenung seketika mengingatkan temannya yang salah faham tentang niatnya. Bukannya ingin dia mengurat tapi hanya mahu mengusik, mahu berbuat nakal. Tidak pernah terdetik di hatinya mahu mengurat dan menjalinkan hubungan karut-marut itu. Dan sejak itu, Syahir Saifuddin pun tidak lagi mengganggu gadis itu.

Sudah menjadi suatu kebiasaan untuk Syahir Saifuddin beserta Haziq Hanafi dan beberapa orang lagi rakan untuk tidak melelapkan mata di malam hujung minggu. Macam-macam hal dibuat daripada belajar hinggalah menonton DVD menggunakan laptop Haziq Hanafi. Dan paginya, mereka akan melepak sambil sarapan di kafe kegemaran mereka untuk menikmati bihun sup, soto mahupun nasi lemak. Dan pagi itu mereka meneruskan kebiasaan itu. Sedang Syahir Saifuddin menikmati soto yang masih hangat itu, sekumpulan gadis yang berpakaian sopan dalam erti kata mengikut syariat datang untuk bersarapan. Syahir Saifuddin tersenyum kerana rupanya Rohaida berada dalam kelompok itu juga. Syahir Saifuddin hanya memandang sepi ke arah kumpulan itu lalu menyambung menikmati soto tersebut. Selepas daripada peristiwa itu, Syahir Saifuddin selalu juga terserempak dengan kumpulan Rohaida tetapi Syahir Saifuddin hanya bersahaja kerana dia tidak mahu membesar-besarkan sisi nakalnya. Dan Syahir Saifuddin tahu dia hanya ke kafe itu untuk menikmati soto mahupun bihun sup sahaja. Tidak lebih dari itu.

Malam itu, Syahir Saifuddin melayan mesej seorang temannya di kolej itu. Sedang bermesej itu, Syahir Saifuddin menyatakan tentang dirinya yang lupa terhadap suatu perkara. Termenung seketika Syahir Saifuddin apabila menerima balasan mesej temannya itu.

.....macam mana nak ingat, kamukan sedang sibuk dalam proses mengenal seseorang....

Syahir Saifuddin mengandaikan ini pasti berkaitan si Rohaida. “Ramainya yang tahu, malu ni. Tapi biarlah, benda sudah berlaku,” detik hati Syahir Saifuddin yang sedikit kesal akan jiwanya yang mahu bernakal-nakalan.

Zaman kolej baru sahaja berlalu dalam hidup Syahir Saifuddin. Dia berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti begitu juga Haziq Hanafi dan teman-teman lain di kolej.  Setelah beberapa ketika di universiti, Syahir Saifuddin mengambil kesempatan menelefon teman-teman kolejnya.

Dia menelefon seorang teman sekelasnya untuk bertanya khabar dan perbualan berlanjutan hinggakan sebuah cerita terbongkar. Temannya itu melahirkan rasa geram terhadapnya kerana mengganggu Rohaida dahulu. Dia juga geram dengan kerenah Syahir Saifuddin yang sanggup datang bersarapan di kafe kediaman pelajar perempuan untuk melihat kelibat  Rohaida. Dia juga menceritakan perihal Rohaida yang begitu terganggu dengan sikapnya.

Syahir Saifuddin sebenarnya sangat terkejut kerana temannya yang seorang itu pun tahu akan hal ini. Tersebar luaskah kisah itu? Tapi tidak mengapalah, kerana yang terlebih penting ialah adakah Rohaida begitu terganggu dengan kerenahnya?

Disaat ini, Syahir Saifuddin begitu teringin untuk memohon ampun andai betul dia mengganggu Rohaida. Dia tidak menyangka hal ini boleh berlaku. Tapi apabila mengingatkan Rohaida, Syahir Saifuddin sedikit lega kerana baginya Rohaida pasti seorang gadis yang baik, bukanlah pendendam dan pasti seorang yang mudah untuk memaafkan.

Tidak lama selepas itu, hari raya menjelma. Syahir Saifuddin mengambil kesempatan menghantar mesej pada setiap rakannya bagi memohon ampun dan mengucapkan selamat hari raya. Tidak terkecuali juga si Rohaida dan kali ini si Rohaida membalas mesejnya.....

...sapa ni, maaf ya tak save no ni...

...tak apalah, tak perlu tahu siapa...

Dan itulah kali terakhir Syahir Saifuddin tahu tentang Rohaida.Biarlah dia tidak tahu kerana Syahir Saifuddin sudah serik untuk mengganggu.


*********************************


Syahir Saifuddin tersedar dari lamunannya lalu menoleh ke arah jam. Sudah pukul enam petang, dan dia pun bangun sambil berkira-kira mahu turun ke sungai untuk memancing. Baginya, kisah dulu berkesan menjadi guru untuk mengajarnya tidak melulu berbuat sesuatu.
 



    

No comments:

Post a Comment