Pada suatu petang yang hening, aku duduk termenung seorang
diri menikmati keindahan alam yang bagiku sudah tidak alami lagi. Sudah terlalu
banyak gondolan-gondolan bukit disekelilingku. Sudah terlalu banyak tangan
manusia yang rakus memerah khasiat bumi untuk kepentingan mereka tetapi aku
rasa bukan hanya kepentingan mereka kerana sayur-mayur dan jagung-jagung itu
juga sudah pasti untuk kegunaan mereka yang berada di luar sana.
“Ah, biarlah. Asalkan mereka mengurus dengan betul pasti
tiada masalah,” desis hatiku.
Aku terus termenung jauh sambil memerhatikan matahari yang
hampir terbenam di ufuk barat. Aku mengeluh mengenangkan kesusahan hidup yang
aku alami. Cahaya kekuningan yang dihalangi asap-asap jerebu oleh kemarau
berpanjangan ini seperti mengiyakan betapa susahnya hidup yang sedang aku
jalani ini. Kuli yang saban hari menerima caci-maki yang sememangnya berbekas
di hati.
“woi, apa menung-menung, you phone itu orang call,” pekik
rakan sekerja aku yang berbangsa Nepal itu.
Cara percakapannya yang pelat itu memang selalu menjadi
bahan gurauan kami. Aku sendiri
kadang-kadang tidak faham apa butir percakapannya tapi tidak mengapalah asalkan
dia rajin bekerja, tidak menyusahkan aku, aku sudah cukup senang begitu.
Aku bangun sambil membetulkan sendi-sendiku. Berdetap-detap
bunyinya. Dengan perlahan-lahan aku berjalan di atas bumbung rebanku ini. Aku
perlu berhati-hati agar tidak berlaku kemalangan dan juga tidak membuatkan
ayam-ayam di dalam reban jagaanku stress.
Ah, bagaikan tidak puas duduk termenung di atas bumbung
rebanku ini walaupun saban hari aku berbuat perkara yang sama.
Siapalah yang telefon petang-petang begini. Aku melangkah
malas menuju ke stor dedak ayam yang menjadi tempat tidurku saban malam. Aku
senang begitu. Jika ada kecemasan tidak perlu aku terkejar-kejar untuk ke
reban.
“Hello, adik. Ada apa telefon petang-petang begini, biasanya
malam-malam?,” tanyaku pada adik, isteriku.
“abang, anak kita sakit demam bang,” balas adik dalam nada
yang sungguh sedih.
Aku mula tidak keruan. Manakan tidak. Anakku itu baru
usianya 5 bulan. Aku juga belum melihatnya dengan mataku sendiri. Aku belum
mendukungnya lagi. Aku belum mengucup dahinya lagi. Pasti kerinduan itu sedikit
sebanyak menggusarkan hati aku.
“Habis sudah dibawa jumpa doktor ke belum? Apa kata doktor?
Wangnya ada atau tidak?,” bertalu-talu soalan aku ajukan kepada isteriku itu.
“sudah, doktor kata demam-demam biasa saja. Abang doakanlah
anak kita cepat sembuh ya,” cakap isteriku.
“ia, itu sudah pasti,”balasku lalu mengakhiri perbualan
kami.
Malam itu selepas solat isyak, ya aku bersolat pada malam
itu, aku menuju ke arah rumah bosku. Aku ingin meminjam buku surah yasiin
darinya. Aku fikir elok juga aku membaca yasiin agar Dia berkenan untuk
menurunkan nikmat sihat kepada anakku.
“assalamualaikum bos,” aku memberi salam sambil mengetuk
lembut pintu rumah bosku.
“Ye, ada apa,”sahut bosku.
“Bos, saya mahu pinjam buku surah yasiin,” aku meminta.
“haha, kau dah buang tebiat ke mintak surah yasiin. Sejak bila
kau bertaubat ni,” sindir bosku.
Aku tersenyum kucing. Aku tidak ambil hati langsung akan
kata-kata bos aku tu. Aku tahu dia suka bergurau dan aku juga tahu tentang
perangai diri aku. Aku bukanlah manusia
yang patuh ajaran tuhan. Solat terlalu jarang aku lakukan apatah lagi membaca
quran. Dulu diwaktu mudaku, tidak
langsung aku berfikir tentang hal ini tapi sejak akhir-akhir ini aku seperti
mula sedar akan sesuatu. Aku mula sedar betapa kebergantungan kepada tuhan itu
sangat penting. Justeru itu aku meminjam yasiin dari bos. Semoga dengan sedikit
amal dengan ayat suci ini membuat tuhan redha dengan aku dan mengabulkan doa
aku. Ianya tidak mustahil.
Semoga anak kecilku itu sembuh dari sakitnya.
Aku tergagap-gagap membaca surah yassin sambil diperhatikan
pelik oleh kawan nepalku itu. Aku berasa lidahku sungguh liat untuk menyebut
makhraj-makhraj huruf didalam kitab suci itu. Aku tak mahu fikirkan soal
peraturan mahupun tajwid dalam bacaan kerana sememangnya aku tidak ambil pusing
semua itu. Buat apa mahu difikirkan sesuatu yang kita tidak tahu. Buat pening
saja.
Usai membaca yasiin, aku duduk termenung mengenangkan
nasibku. Aku terasa sungguh hina diri aku pada malam ini. Apabila inginkan
sesuatu barulah aku beribadat kepadaNya. Seperti ibadatku bersyarat pula. Sudah
pupuskah sifat kehambaan dalam diri aku?
Aku merasa sedikit sebak malam ini. Ya, aku akan cuba untuk
mengubah cara hidup aku. Mungkin aku akan mulakan dengan cuba untuk solat
sekurang-kurangnya satu waktu untuk sehari. Semoga tuhan kasihani aku. Semoga
tuhan bagi aku kudrat untuk beribadat kepadaNya. Dan sekali lagi, semoga anak
aku sembuh dari sakitnya.
Terima kasih tuhan kerana sedarkan aku malam ini. Ya, aku
mula mengerti, aku ini hamba, hamba yang sentiasa berkehendak kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment