Tuesday, April 15, 2014

Kemboja, aku datang...


Aku menapak masuk ke dalam rumah pekerja-pekerja aku. Aku terdengar suara hossen yang sedang dalam keriangan. Hossen memasak telur sambil bersiul menyanyikan lagu hafiz yang baru sahaja menjadi johan juara lagu di Malaysia.

“tinggalkanku….perlahan-lahan kuterima…………….,” dengan penuh syahdu hossen menyanyikannya. Aku tahu, bagi hossen, suaranya sungguh merdu tapi bagi aku suaranya hambar, langsung tiada daya tarik umpama menghalau kambing ke kandang sahaja bunyinya.

“Woi, hafiz kemboja, kamu buat apa? Apa kamu masak?” aku menyergahnya dengan pertanyaan secara tiba-tiba.

“eh bos buat apa kat sini? Pergi sana la,” dengan selambanya dia menghalau aku.

“ah saja saya mahu tengok kamu masak,” aku pantas menjawab.

“Eh janganlah macam tu bos, saya malu,” balas Hossen.

Apa hal budak ni. Malu langsung tak kena pada tempatnya. Bukannya aku ni nak kutuk ke apa. Saja bosan-bosan nak melihat kerenah orang-orang yang kerja sekali dengan aku. Aku melihat ke arah Hossen yang sedang tersenyum atau lebih tepat lagi, tersengih seperti kerang busuk.

“ah buat apa nak malu,” aku berkata selamba.

“Saya malu bos. Saya tak pandai masak,” cakap Hossen.

“Hah itulah, dulu dekat kampung, kamu tak mahu tolong bini masak. Tengok sekarang tak pandai masak. Bini ni kita kena tolong jugak sikit-sikit,” saja aku mengutuknya.

“eh mana ada macam tu. Saya selalu mahu ke dapur tapi bini saya marah. Dia cakap dia tak mahu saya susah-susah. Biar dia masak, saya makan saja. Dia mahu layan saya baik-baik,” terang hossen.

Aku hanya sekadar mendengar. Aku sendiri tidak tahu samada aku percaya atau tidak. Biarlah dia bercerita.
 
“betul bos, bini saya baik. Dia duduk sana pakai jubah baju kurung. Pernah dia datang Malaysia mahu kerja kilang tapi disuruh pakai seluar. Yang ketat-ketat pula. Dia kerja sehari sahaja. Lepas tu terus berhenti kerja. Dulu masa saya belum kahwin, bini saya tak pernah tegur saya. Saya pun tak pernah tegur dia. Dia jalan selalu tunduk saja. Susah mahu tengok muka dia. Ramai gadis-gadis kemboja yang muslim macam tu,” terang hossen dengan panjang lebar.

“Oh ye ke, ok la tu,” balasku sambil lewa.

Namun begitu aku tidak mampu untuk menidakkan bahawasanya tercuit juga hatiku mendengar kisahnya.
 Dan aku terfikir akan kemungkinan-kemungkinan hidup yang mungkin terjadi lalu aku melemparkan satu permintaan mantap kepada Hossen.

“Habis tu hossen, kamu carilah satu orang gadis kat sana. Saya mahu buat bini la,” pintaku.

“tak nak la bos,” balas hossen.

“eh kenapa pulak. Tadi cakap ramai gadis baik-baik. Bagilah saya satu orang. Betul, saya tak buat jahat. Saya mahu buat bini. Nanti dapat jadi orang Malaysia,” aku terus mendesak.

“eh saya tak mahu bos, saya tak pandai. Nanti apa-apa jadi, saya yang kena marah. Orang cakap saya tak elok nanti,” hossen cuba memberi alasan.

Aku ketawa berdekah-dekah lalu melangkah keluar dari rumah si hossen itu.Kemungkinan-kemungkinan hidup yang seakan-akan mahu bercambah itu terus berkubur begitu sahaja.

Mungkinkah nanti……….Kemboja, aku datang………….?

Aku ketawa geli hati seorang diri.

“asyik berangan bodoh,” kutuk hatiku…
 
  


No comments:

Post a Comment