Monday, November 28, 2016

Untuk awak


Awak..

Sedari zaman menuntut ilmu lagi diri ini sudah mengintai-ngintai akan kelibat awak. Saya tidak dapat nafikan sebuah keinginan dan perasaan yang semakin lama semakin menebal membalut hati saya. Namun saya cekalkan juga hati untuk menekan perasaan ini agar ianya tidak menguasai jiwa dan raga saya. Saya cuba untuk menganggap ini hanyalah sebuah mainan perasaan yang cuba untuk mengelabui akal fikir saya. Alhamdulillah, tuhan berkenan untuk mengurniakan kekuatan kepada saya agar memendamkan rasa ini. Sepanjang lebih 3 tahun saya berperang dengan diri ini agar tidak meluahkan rasa yang mungkin mengganggu gugat jiwa awak.


Awak..

Masihkah awak ingat, sewaktu belajar dulu, kita pernah sama-sama memberi minum susu kepada anak lembu sewaktu praktikal di kluang?

Masihkah awak ingat, sewaktu kursus ko-kurikulum bridget perdana di merang, sewaktu kita semua dikehendaki meredah hutan kecil di waktu malam, sewaktu kita semua berehat di tepi jalan, sewaktu saya sedang berbaring berlantaikan tar hitam, awak yang kebetulan berada disamping mengipas saya dengan kipas kecil di tangan?

Masihkah awak ingat, sewaktu belajar dulu, awak begitu berang apabila saya memanggil awak kakak sehinggakan sanggup membaling anak-anak batu?

Masihkah awak ingat, pernah kita sama-sama menyembelih ayam. Awak memegang dan saya tukang sembelihnya?

Masih banyak lagi kenangan yang bersisa andai mahu untuk saya segarkan kembali. Namun biarlah setakat ini coret kenang-kenangan ini. Biarlah yang lainnya saya simpan dalam benak ingatan. Biarlah saya tersenyum sendiri andai sekali-sekala ianya muncul di tabir ingatan.  

                                                                                                                                    
Awak..

Sesungguhnya segala apa yang terjadi antara kita tidak pernah dirancang. Ianya seakan-akan kebetulan. Kehendak kursus yang kadang-kadang memerlukan kita bekerja bersama telah menghasilkan buah kenangan yang sungguh manis bagi saya. Namun begitu, tidak pernah kita bergurau senda, berhilai tawa bersama. Terima kasih kerana tidak membenarkan semua itu terjadi dulu. Terima kasih kerana tidak melayan saya yang cuba untuk mengusik. Terima kasih kerana dingin terhadap saya. Terima kasih kerana tidak melayan saya yang dahulunya berserabut menahan rasa. Terima kasih kerana menjadi seorang yang bagi saya layak untuk dipanggil wanita. Wanita yang menjaga apa yang perlu di jaga.  


Awak..

Saya tidak faham apakah yang istimewa sehingga hati ini terpaut. Sehingga hati ini seakan-akan sudah tertutup untuk mengenali hati budi mereka yang lain. Sehinggakan mereka yang lain yang cuba mendekati hanya dipandang sepi. Kadang-kadang hati ini cuba menyelidiki apakah yang terlalu unik disitu. Apakah halnya sehingga hati ini sukar untuk melepaskan? Mungkinkah keserdehanaan yang terserlah dalam diri awak menjadi punca kepada segala kegalauan rasa ini? punca kepada sebuah keinginan yang sangat dalam ini?


Awak..

Setelah kita berpisah sementara apabila tamat belajar, pernah juga hati ini berusaha untuk membunuh segala rasa yang tercipta. Pernah hati ini cuba mendustakan diri dengan mengatakan segala yang dirasa hanyalah sebuah permainan yang tidak membawa erti apa-apa. Tidak sekejap juga saya berperang dengan perasaan ini namun saya akhirnya tertewas. Dikala saya seolah-olah sudah melupakan, saya telah dikhianati. Saya telah dikhianati oleh layar ingatan sendiri. Layar ingatan itu menderhaka kepada tuannya dengan menayang kembali kenangan lalu yang telah sekian lama ingin tuannya pendamkan.


Awak..

Di hari raya beberapa tahun yang lepas kenapa tiba-tiba awak memulakan perbualan dengan saya? Kenapa mesti awak bertanya akan khabar saya? Kenapa setelah sekian lama tidak berhubung, awak kembali menghantui diri ini? Walaupun hanya beberapa pesanan ringkas, ianya sudah cukup untuk menggegarkan jiwa dan raga saya. Ianya sudah cukup untuk menyegarkan kembali kenangan-kenangan lalu. ianya sudah cukup untuk memungkinkan kembali harapan-harapan masa lalu saya. 

Awak.. 

Maafkan saya kerana sudah tidak mampu untuk memendam rasa. Perasaan ini sudah tidak mampu untuk ditahan lagi. Ya saya mengaku, saya lemah untuk terus memendam rasa ini seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dua hari panggilan saya tidak bersahut dan masuk hari raya ketiga awak menjawab panggilan saya. Terima kasih kerana sudi menjawab panggilan saya. Ianya salah satu peristiwa yang besar dalam hidup saya. Buat kali pertamanya, saya telah berterus-terang kepada seorang gadis akan perasaan saya. Ya, saya sukakan awak. Maafkan saya kerana telah sedikit sebanyak mengusik hati awak.


Awak..

Saya sedar setelah membuat pengakuan itu, saya mula menghubungi awak. Walaupun tidaklah terlalu kerap, ianya sudah cukup untuk saya tahu dan mengerti bahawa awak sedang dalam keadaan yang sihat dan sejahtera. terima kasih tuhan atas nikmat ini. 

Namun begitu kadang-kadang saya keliru kerana setiap kali dihubungi reaksi awak tidak sama. Kekadang ceria, kekadang hambar. Sampai suatu tahap saya bimbang, awak tidak senang dengan cara saya menghubungi awak untuk bertanya khabar. Oleh kerana itu saya mula menjarakkan waktu untuk menghubungi awak. Saya mulai jarang menghubungi awak.


Awak..

Dalam waktu setahun dua itulah saya mula mengumpul kekuatan diri dan keberanian serta sedikit ilmu untuk bekalan menghadapi segala macam kemungkinan yang bakal datang. Waktu ini juga saya berusaha untuk mengukuhkan kewangan agar segala perancangan yang bakal saya laksanakan tidak terkandas ditengah jalan. Masih banyak yang pincang dalam perancangan ini namun jika menunggu waktu yang sempurna, mungkin tiada kesempatan lagi bagi saya. 


Awak..

Di saat saya bertanyakan awak untuk berkunjung ke rumah awak, saya sudah tekad, saya mesti pergi juga. Dengan atau tanpa keizinan awak sebab saya merasakan itu hak saya. Hak seorang pemuda untuk bertanyakan gadis pilihannya. Soal terima atau tidak itu yang soal yang kedua ketiga dan seterusnya. Saya tidak mampu menidakkan bahawa diri ini gementar namun apabila teringatkan diri awak, perasaan berani itu semakin menebal. Setelah mendapat izin kedua orang tua, saya pergi jua menemui ibu dan abah awak.  


Awak..

Sungguh hati ini sangat takut andai perasaan yang sudah sekian lama disemai ini tidak dapat untuk bercambah dan seterusnya hidup subur dan mekar hingga akhirnya. Hanya kepada tuhan saya pohon agar segala macam rasa ini dapat disatukan dalam sebuah ikatan yang utuh dan teguh.


Awak..

Disaat menunggu keputusan dari awak, hati ini berkecamuk dengan segala macam rasa dan pelbagai prasangka bermain dalam kepala. Mujurlah sedikit sabar yang dikurniakan mampu untuk menahan diri ini daripada bertindak diluar jangka.


Awak..

Setelah mendapat tahu akan keputusannya, hati saya melonjak gembira bagaikan dunia ini saya yang punya. Diri ini seakan-akan sudah gila ingin menggantung banner di lebuh raya sebagai medium hebahan kepada semua.


Awak..

Namun begitu saya juga gementar dan gelisah akan onak dan duri yang bakal mewarnai perjalanan hidup kita. Saya takut andai helaian tipis sabar yang saya miliki terkoyak dan akhirnya awak terluka.


Awak..

Akhirnya titik mula perjuangan kita bersama sudah tiba. Terima kasih tidak terhingga atas kesudian ini. Segunung penghargaan masih tidak cukup untuk menggambarkan betapa syukurnya saya apabila seorang bidadari sudi untuk singgah dan terus menetap di hati ini. Moga hatinya juga terbuka untuk saya fahami dan penuhi.




Awak..

Bergandinglah bersama saya dalam menghadapi segala ranjau dalam kehidupan ini. Siapa tahu jika awaklah kekuatan yang tuhan kurniakan kepada saya?  Siapa sangka jika awaklah asbab untuk tuhan kurniakan rezeki kepada saya? siapa mengerti jika awaklah yang tuhan datangkan untuk mengingatkan saya akan tanggungjawab dan amanah yang saya pikul terhadap orang tua kita, keluarga kita dan juga orang sekeliling kita? Siapa yang mampu faham akan semua hal ini kalau bukan kita?


Awak..

Usaha dan doa pilihan kita dan hasilnya milik Dia..



No comments:

Post a Comment