Hari raya puasa yang pertama tanpa keluarga disisi pada
tahun lepas aku sambut dengan perasaan biasa sahaja. Kadang-kadang datang juga
rasa gembira kerana dapat merasai pengalaman baru beraya ditempat orang
walaupun raya aku hanya didalam ladang ayam. Tidak dapat melihat suasana
sebenar raya yang sibuk dengan manusia berziarah.
Untuk tahun ini juga aku tidak dapat pulang beraya oleh
kerana tuntutan kerja yang memaksa aku untuk menghadirkan diri ditempat kerja. Aku
beranggapan semua ini hanyalah seperti tahun sebelumnya. Namun sangkaan aku
meleset. Menyambut hari raya di perantauan berseorangan mewujudkan sepi yang
tidak sedikit dalam diri aku. Aku yang dulunya sangat kurang aktif dilaman
sosial facebook dan whats app kini merupakan antara pengguna yang aktif. Penangan
sepi sangat berkesan untuk mengubah diri.
Mendengar takbir raya, melihat live update dari keluarga,
rakan dan sanak saudara menimbulkan rasa rindu dan sedih yang bukan kepalang. Dua
tahun berturut-turut tidak dapat bercakap telefon di pagi syawal dengan mak aku
oleh sebab emak aku yang menangis tidak dapat menahan sebak sangat meruntun
hati aku. Aku mendapat pengalaman
pertama makan mi segera di hari raya pertama. Oh rindunya pada pelita, damar(tempurung
yang disusun dan dibakar) dan suasana hari raya. Juga rindu pada mereka yang
mengharapkan aku berada di depan mata.
Emak aku juga beritahu, aku bukan lagi anaknya jika tidak
balik beraya pada tahun akan datang. Aku hanya tertawa kerana aku tahu itu
hanya gurauan semata-mata. Namun begitu aku mesti meletakkan dalam fikiran aku
bahawa gurauan itu terhasil dari sebuah rasa kecewa, sedih dan harapan menggunung
untuk melihat kelibat anak sulungnya di hari raya.
2 atau 3 bulan sebelum raya, ayah aku menyuarakan hasrat
untuk membakar lemang kerana aku mengatakan aku mungkin berpeluang untuk beraya
dikampung. Pada bulan puasa, ayah aku membatalkan hasratnya kerana aku tidak
dapat pulang beraya. Katanya dia mahu aku ada bersama sewaktu membakar lemang. Dia
mahu mengajar aku agar warisan ini sentiasa ada dalam keturunan. Apa lagi mahu
aku katakan? Aku hanya diam.
Hati ini semakin cemburu melihat gambar yang pelbagai di
laman internet disertai cerita-cerita yang membawa maksud bahagia. Tidak kurang
juga gambar-gambar rakan beserta keluarga, rakan-rakan yang baru berbini dan
juga rakan-rakan yang baru menimang cahaya mata. Semua ini hanya mendera rasa
hati aku.
Secebis tulisan ini bukanlah untuk menggambarkan keluhan
insan hina seperti aku ini terhadap segala nikmatNya, tetapi hanyalah sebuah
perkongsian rasa untuk menjemput damai agar sudi untuk bertandang ke jiwa kecil
aku ini.
Hargailah detik yang dikurnia andai dapat bersama walau
seketika.
Selamat hari raya semua
Selamat hari raya semua
Ampun ya Allah…


No comments:
Post a Comment