Thursday, May 22, 2014
Mahu percaya
Aku melangkah dengan senang hati ke dalam bank Maybank Simpang Renggam. Sambil bersiul aku mengeluarkan kad ATM lalu aku memeriksa baki wang di dalam akaunku. Aku tersenyum melihat jumlah yang ada.
Senyumku bukanlah tanda baki wang yang bertimbun tetapi senyumku kerana gaji sudah masuk. Alhamdulillah syukur. Masih ada rezeki untukku bulan ini.
Aku menapak keluar dari bank dan aku terlihat seorang lelaki lingkungan dua puluhan yang kurus dan tidak terurus. Dia sedang meminta sedekah dan sedari tadi langsung tiada yang berminat untuk memberi sedekah.
Aku menggamit jari jemariku agar lelaki itu mampir ke arahku. Aku memulakan perbualan dengannya.
Aku: Kau buat apa kat sini
Dia: Duduk saja, saya lapar. Sakit batu karang.
Lalu dia menyelak bajunya menunjukkan fizikalnya yang kurus itu.
Aku: Kau duduk mana?
Dia: Belakang ni je
Aku: Mak ayah kau mana
Dia: Mak ayah saya dah tak ada. Saya yatim piatu.
Aku: Kau duduk soranglah?
Dia: Haah, rumah pun dah tak ada duit nak bayar sewa. Api ngan air pun dah kena potong. Nak cari duit nak beli lilin.
Aku: Kenapa kau tak kerja? Duduk kat sini je.
Dia: Sapa nak ambik saya kerja. Sakit. Kurus tak larat nak buat kerja.
Aku: Kau dah makan belum? Jom ikut aku, kita makan sekali. Kau biasa makan kat mana?
Dia: tak tahu. Ikut abang ah nak makan kat mana.
Aku: Hah, ambik ni. Dah pergi balik. Lepas ni aku tak nak tengok kau duduk kat sini.
Dia: Ok lah bang, terima kasih.
Aku berpusing seketika untuk mengambil helmet dari raga motorku. Apabila aku berpaling, dia sudah hilang.
“Lantaklah,”kata hatiku.
Dan kemudiannya aku terimbau kembali kisah-kisah yang pernah aku alami dan inilah sinopsisnya.
Di hentian putra, aku baharu sahaja melangkah keluar dari surau apabila seorang lelaki tua mampir kearahku. Dia bertanya khabarku dan mengajak aku berbual-bual dengannya. Kemudiannya, dia meminta wang dariku sambil mengatakan dia ditinggalkan saudaranya. Pak cik itu memberitahuku dia sebenarnya dalam perjalanan untuk membuat rawatan di kuala lumpur kerana mengidap penyakit sambil menunjukkan surat pengesahan dari doktor yang sudah agak kusam dan kekuningan. Iyalah, mungkin sudah ditunjuk dan dijaja kepada ramai orang.
Ianya juga seperti kisah seorang pakcik lingkungan 40-an juga di hentian putra yang meminta ehsanku kerana katanya mahu balik ke Seremban tetapi tiada duit yang cukup. Dia juga menyelitkan sedikit cerita yang mungkin mampu meruntun jiwa mereka yang percaya.
Aku juga teringat kisah seorang budak yang tidak cukup duit di kuala Terengganu yang baru pulang dari johor menaiki bas. Budak itu menceritakan yang dia mahu turun di dungun tetapi terlajak turun di kuala Terengganu kerana tertidur. Dia meminta sedikit wang untuk kembali ke dungun.
Kesemua kesudahan cerita ini adalah mereka berjaya mendapat wang dariku. Terlalu sukar untuk aku mengatakan tidak kerana seandainya betul cerita jajaan mereka, dan seandainya aku membuat keputusan untuk tidak percaya, aku telah menidakkan peluang yang telah Allah buka untuk aku membuat sedikit kebaikan terhadap insan lain.
Namun begitu, aku juga pernah terfikir, mungkinkah muka aku yang kebudak-budakan ini menjadi easy target kepada golongan-golongan seperti ini?
Entahlah,
Hanya Dia yang maha mengetahui.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment